KEBANYAKAN orang tahu Ramadan bulan yang penuh rahmat, kemuliaan dan keberkatan. Ramai yang berlumba-lumba untuk mengejar pahala dalam bulan Islam yang satu ini.

Apa tidaknya, ALLAH SWT menjanjikan ganjaran pahala berganda kepada sesiapa yang berbuat amal ibadah dan kebaikan sepanjang bulan al-Mubarak ini.

Namun begitu, semua manusia tidak sempurna. Pasti ada ‘cacat celanya’ di mana-mana. Barangkali ada kesilapan yang tanpa sedar kita lakukan.

Andai kata kita berbuat dosa dalam bulan Ramadan ini, benarkah dosa kita juga akan digandakan juga sepertimana pahala tadi?

Bukan apa, risau juga jika diri ini ada buat dosa, tapi tak sedar. Kemudian, tak mohon keampunan daripada ALLAH SWT. Rugi sangat rasanya.

Ini dia jawapan pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki ketika merungkaikan kemusykilan tersebut dalam Sinar Islam:

USTAZ MUSTAFAR

“Amal kebaikan dalam bulan Ramadan memang dilipatgandakan oleh ALLAH SWT. Sedangkan puasa itu sendiri diberikan pahala sehingga 700 kali ganda, bahkan tanpa batasan seperti dalam hadis sahih riwayat Imam Muslim.

Pahala boleh jadi bertambah atau dilipatgandakan atas sebab masa ibadah dilakukan seperti bulan Ramadan atau dalam keadaan orang melakukan ibadah yang istiqamah, menjauhi dirinya daripada riak dan sum’ah.

Iklan

Begitupun, para ulama berbeza pendapat sama ada dosa juga digandakan dalam bulan yang mulia ini. Imam Ibnu Muflih dalam kitabnya, al-Adab al-Syariah menyatakan, dosa juga boleh bertambah disebabkan faktor masa seperti Ramadan dan tempat yang mulia seperti Makkah.

Pandangan itu juga disebutkan oleh Sheikh Mustafa Sa’ad dalam kitabnya, Mathalib Ulin Nuha sambil membawa beberapa pandangan para sahabat seperti Saidina Abdullah bin Mas’ud dan Saidina Abdullah bin Abbas. Mereka juga menyatakan, dosa itu bertambah pada kualiti bukan kuantiti.

Sebahagian ulama lagi menyatakan, dosa tidak digandakan kerana atas rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT kepada kita.

Adapun yang paling terbaik dan berhati-hati adalah tidak melakukan dosa dalam bulan Ramadan sebagai latihan pada bulan-bulan yang lainnya. Terus istiqamah dalam ibadah dan hindari diri daripada dosa,” jelas beliau.

Iklan

Justeru, tak kiralah berapa besar pun dosa kita, mohon ampunlah kepada ALLAH. Jika melibatkan dosa dengan manusia lain, jangan lupa mendapatkan kemaafan orang tersebut.

Sempena hari baik, bulan baik ini, marilah kita perbaiki diri kita mana yang kurang. Semoga Ramadan kali ini bukan sahaja memberikan peluang kepada diri untuk berubah, tetapi juga istiqamah dengan apa yang kita lakukan sepanjang bulan penuh barakah ini.