PEJAM celik, pejam celik, rupanya hampir setengah purnama kita berada dalam bulan Syawal. Pantasnya masa berlalu. Rasanya macam baru saja kita dengar laungan takbir bergema di rumah dan melihat ketua keluarga masing-masing menyampaikan khutbah.

Momen yang tidak pernah langsung kita bayangkan dalam fikiran sebelum ini. Tapi itulah yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Mereka yang bernasib baik berpeluang bersama keluarga tercinta meraikan lebaran. Momen bergambar dan menikmati juadah warisan beramai-ramai pasti tersemat dalam ingatan.

Bagi sesetengah orang yang ‘terperangkap’ meraikan lebaran sendiri di rumah masing-masing akibat Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat, barangkali detik itu sukar dilupakan. Tapi apakan daya, raya tetap perlu diteruskan. Sebolehnya kita tidak mahu hal sama berulang pada masa akan datang.

Apa juga yang kita tempuhi tempoh hari memang tidak akan luput dalam ingatan. Ya, itulah suasana Aidilfitri norma baharu yang mungkin menjadi sejarah kepada diri kita yang pasti akan dikenang sampai bila-bila. Covid 19 mengajar manusia betapa sesuatu itu tidak mustahil dan betapa hebatnya kekuasaan ALLAH SWT.

Setelah hampir dua minggu, kita kembali melayari rutin harian seperti biasa. Ada yang sudah masuk ofis namun ketika norma baharu sekarang, lebih ramai bekerja dari rumah.

Di sebalik kesibukan itu, barangkali ada yang kembali terleka dibuai pelbagai nikmat dunia. Selepas sebulan menahan dahaga dan segala macam nafsu ketika Ramadan, kita mungkin sudah tidak menyentuh apatah lagi membaca kalam ALLAH. Secara tiba-tiba juga, kita tidak membasahkan bibir dengan zikirullah. Hanya ibadah wajib sahaja yang dilakukan.

Kenapa hal demikian banyak berlaku kepada kita? Bukankah terasa rugi rutin itu dibiarkan begitu sahaja? Bagaimana cara untuk kita kekal istiqamah selepas Ramadan? Apakah amalan yang boleh dilakukan?

Susun jadual

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau dikenali sebagai Da’i Fuad berkata, manusia sememangnya bersifat pelupa. Apatah lagi dalam keadaan riang gembira ketika menyambut perayaan.

DA’I FUAD

Jelas beliau, tidak salah untuk meraikan Syawal tetapi jangan sampai melupakan apa yang dilakukan sepanjang Ramadan.

“Suka saya mengingatkan, Ramadan adalah bulan untuk mendidik nafsu dan Syawal pula, melayan nafsu. Hari ini, ramai orang terjatuh dan tersungkur meninggalkan semangat pada bulan Ramadan kerana ketika tibanya Syawal, ramai yang memuaskan nafsu dengan mula memakai pakaian yang membuka aurat dan makan makanan yang berlebihan.

“Bukan itu saja, ada juga yang melewatkan solat. Perkara itu menjadikan masalah yang lebih besar hingga orang mula lupakan ibadah,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Tegas Da’i Fuad, Aidilfitri juga sepatutnya disambut dengan penuh tawaduk dan ketakwaan.

“Kita mesti saling ingat-mengingati, berpesan dan menasihati. Setiap orang dalam kalangan kita bertanggungjawab dalam memanifestasikan cinta kepada ALLAH supaya orang sekeliling tidak alpa kepadaNYA,” ujarnya yang menyarankan agar umat Islam bermujahadah dalam diri untuk mengekalkan momentum sepertimana yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Apa yang rahsia untuk terus beristiqamah? Jawab Da’i Fuad, setiap daripada kita digalakkan membuat jadual amalan harian.

“Kita sendiri susun jadual, umpamanya 10 amalan wajib yang boleh dilakukan setiap hari. Boleh senaraikan amalan zikir, baca al-Quran, sedekah infak, membaca buku, melakukan kerja rumah, membaca Surah al-Mulk sebelum tidur dan sebagainya. Beritahu diri sendiri bahawa hal-hal itu merupakan intipati wajib untuk dilakukan semata-mata kerana ALLAH.

“Sebagai hamba yang banyak dosa kepada ALLAH, kita ada banyak kekotoran dan kekurangan. Justeru, tatkala kita bertasbih dan beristighfar, ketika itulah ALLAH akan memberi keyakinan kepada kita untuk sentiasa mencari keberkatan dalam kehidupan,” terangnya.

Kita hamba ALLAH

Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, setiap orang perlu benar-benar mengenali diri masing-masing. Ingatlah bahawa kita merupakan amba ALLAH yang mengabdikan diri kepada-NYA, bukan menghambakan diri kepada Ramadan.

IMAM MUDA HASSAN

“Jika kita sedar status sebagai hamba ALLAH, tidak kisahlah dalam bulan apa sekalipun, kita tetap hamba-NYA dan beribadah untuk-NYA. Ya, memang kita faham bahawa peluang untuk beribadah pada bulan Ramadan itu nampak lebih jelas dengan adanya solat tarawih. Begitu juga peluang untuk berbuat baik seperti bersedekah lebih banyak pada bulan mulia itu.

“Memang tak dinafikan perkara itu ada disebutkan jelas dalam hadis. Namun bukan bermakna selepas Ramadan, kita tak boleh lakukan lagi. Fadilat itu masih lagi berjalan selagi mana kita hidup di dunia ini,” jelas beliau.

Kepada satu soalan, Imam Muda Hassan berkata, andai kata bulan Ramadan ditinggalkan tanpa apa-apa kesan dan perubahan kepada diri, ia merupakan satu kerugian yang sangat besar.

“(Pada bulan Ramadan) pintu neraka ditutup, pintu syurga dibuka dan syaitan pula dibelenggu. Semua tahu hadis masyhur berkenaan. Malangnya, kita pula tak ambil peluang yang ada untuk lakukan apa yang sepatutnya seolah-olah kita ini sombong dengan ALLAH. Ramadan dilalui tanpa memberi impak positif kepada kita.

Iklan

“Sekurang-kurangnya, pada bulan yang mulia, paling tidak, mesti ada sedikit perubahan dalam diri. Jika dulu, mungkin kita tak pandai baca al-Quran, tapi Ramadan kali ini sudah boleh mengaji. Sekiranya sebelum ini, kita panas baran, tetapi hasil tarbiah Ramadan, berkurang pula sifat berkenaan. Perubahan yang kita nampak itulah tanda yang baik,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (Riwayat al-Bukhari)

Melihat kepada ungkapan hadis berkenaan, Imam Muda Hassan berkata, sudah jelas bahawa ia menyarankan agar kita beristiqamah melakukan ibadah dan amal kebajikan.

“Kita ambil semangat Ramadan. Kalau tak berupaya buat semua, jangan tinggalkan langsung sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

“Sebagai contoh, seandainya kita tak mampu nak buat (ibadah) sepertimana pada bulan Ramadan, lepas solat Isyak, apa kata kita lakukan solat sunat ba’diyah atau solat sunat mutlak. Kepada yang selalu tunaikan solat tahajud, teruskanlah walaupun hanya sebulan sekali. Jangan tinggalkan terus amalan itu, jangan tunggu Ramadan akan datang baru nak buat,” pesannya.

Justeru, rumusannya, tidak kira pada bulan apapun, kewajipan kita kepada ALLAH SWT jangan sesekali disisihkan. Ketahuilah maut boleh menjemput manusia pada bila-bila masa. Harta dunia tidak akan dihitung, sebaliknya amalan kita di dunia menjadi bekal yang ampuh untuk menuju ke syurga-NYA.

Amal
JANGAN tinggalkan terus amalan lazim yang biasa dilakukan sepanjang Ramadan seperti membaca al-Quran.

ANEKDOT

Iklan

Tip kekal istiqamah selepas Ramadan

-Buat jadual rutin amalan harian yang mudah untuk dilakukan.

-Lakukan ibadah atau amal kebajikan secara berterusan walaupun sedikit.

-Ingatkan diri masing-masing bahawa kita hamba ALLAH SWT, bukan hamba kepada makhluk seperti Ramadan.

– Bergaullah dengan orang yang baik dan positif supaya kita sentiasa semangat beristiqamah untuk melakukan amalan baik.

Foto: Bernama