ISLAM sememangnya agama yang begitu indah, malah, agama suci ini mengajar umatnya agar sentiasa mengiringi setiap perbuatan yang dilakukan dengan doa.

Terdapat pelbagai jenis doa yang dianjurkan kepada kita.Semuanya mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Lazimnya, doa sebelum makan dan masuk ke tandas antara yang biasa dihafal oleh kebanyakan daripada kita. Malah, kanak-kanak tadika juga sudah diajar doa berkenaan.

Barangkali disebabkan itu, ramai yang jarang tinggalkan membaca dua doa berkenaan.

Semasa menyarungkan pakaian pula terutama baju baharu, berapa ramai yang membaca doa pada masa itu? Hanya kita sendiri yang tahu jawapannya.

Ketahuilah bahawa kelebihan membaca doa ketika menyarungkan pakaian ini bukan biasa-biasa.

Bayangkan hanya dengan membaca doa ketika memakai pakaian baharu, dosa kita yang terdahulu dan akan datang bakal diampunkan oleh ALLAH SWT.

Demikian jelas pendakwah terkemuka, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dalam video yang dikongsikan menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Beliau turut mengungkapkan sebuah hadis yang menceritakan tentang kelebihan amalan mulia tersebut.

Daripada Saidina Muadz bin Anas Al-Juhani RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memakai baju baharu, kemudian dia membaca Alhamdulillahil lazi kasani haza wa razaqnihi min ghairi haulim minni wala quwwah, maka ALLAH mengampunkan dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian.” (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan al-Hakim dalam al-Mustadrak)

Doa pakai pakaian baharu
BIASAKAN diri untuk membaca doa ketika memakai pakaian.

Doa itu membawa maksud: “Segala puji bagi ALLAH yang memberikan pakaian ini kepadaku dan memberi rezeki kepadaku tanpa daya dan upaya pada diriku.”

Justeru, Ustaz Don Daniyal menyarankan kita agar mengamalkan doa berkenaan ketika menyarungkan pakaian baharu.

Iklan

Selain itu, dalam sebuah hadis riwayat Ibnu As-Sunni menjelaskan bahawa apabila Nabi Muhammad SAW mengenakan pakaian atau serban, baginda akan berdoa; Allahumma inni asaluka min khairihi wa khairima huwalah, wa’auzubika min syarrihi wa syarrima huwalah (Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kebaikan pada-MU akan kebaikan pakaian ini dan kebaikan yang berkaitan dengannya, aku berlindung kepada-MU daripada kejahatannya dan kejahatan yang diciptakan baginya).

Melihat ungkapan hadis berkenaan, berdoa dengan memuji ALLAH SWT itu sebenarnya merupakan isyarat bahawa setiap nikmat itu termasuk dikurniakan pakaian yang selesa tadi datangnya daripada ALLAH.

Semoga dengan kebaikan yang dicipta pada pakaian tersebut akan memberi manfaat kepada diri kita.

Iklan

Usah pandang remeh meskipun dengan sepotong doa. Siapa tahu, amalan itulah yang akan menjadi bekalan kita di akhirat nanti.

Sumber: Instagram ddaniyaldbiyajid & republika.co.id

Foto: Freepik