SEBAGAI makmum yang mengikuti imam ketika solat berjemaah, seharusnya kita perlu mengikuti segala pergerakan solat dan perbuatan imam tadi.

Namun begitu, imam juga manusia biasa yang kadangkala terlupa rukun solat antaranya bilangan rakaat.

Andai kata, kita perasan imam terkurang atau terlebih bilangan rakaat, perlukah makmum ikut imam lagi? Bagaimanakah cara yang perlu dilakukan oleh makmum?

Bagi merungkaikan tanda tanya itu, pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki ada jawapannya.

Jom kita ikuti apa jawapan beliau;

“Hukum asal makmum adalah mengikut imam dalam solat berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti.”

Akan tetapi, pengecualian bagi hukum di atas jika imam terlupa fardu (rukun), seperti imam terus duduk bertasyahud akhir pada rakaat ketiga.

Dalam kitab al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaili dalam al-Muktamad berkata: “Jika imam meninggalkan suatu perbuatan fardu solat seperti duduk pada tempat yang sepatutnya berdiri, atau berdiri pada tempat yang sepatutnya dia duduk, tidak harus bagi makmum untuk mengikutinya, Sekiranya imam lupa pada perbuatan (solat), lalu meninggalkannya, atau ingin mengubahnya, maka mustahab (sunat) bagi makmum untuk bertasbih untuk memaklumkan imam.”

Disunatkan makmum bertasbih menegur imam yang terkurang rukun. Jika imam teringat dan dia bangun, maka teruskan solat berjemaah. Sekiranya imam tidak bangun dan meneruskan tasyahud akhir, maka wajib bagi makmum untuk niat mufaraqah bagi berpisah daripada imam dan menghabiskan solat secara sendirian.

Apabila imam tertambah rakaat pula, hendaklah makmum bertasbih menegur imam, makmum perlu berada pada tahiyat akhir menunggu salam bersama imam atau berniat mufaraqah jika imam meneruskan tambahan rukunnya.

Jika makmum bangun menambah rakaat bersama imam secara sengaja, maka batal makmum. Seandainya makmum tadi mengikut imam menambah rukun dalam keadaan jahil atau syak, maka ia dimaafkan,” terang beliau.

Ingat tau, bab berkaitan solat ini kita tak boleh buat main. Kalau batal solat tadi tanpa kita ketahui, kan sudah menyusahkan diri namanya.

Sama-samalah kita jaga solat dan hubungan dengan ALLAH SWT. Di akhirat kelak, solat menjadi soalan pertama yang akan ditanya nanti!