KEBANYAKAN daripada kita memang mengkhususkan selipar di tandas masing-masing. Selipar itulah yang akan digunakan setiap kali ke tandas.

Lazimnya, selipar itu tidak akan dibawa keluar daripada tandas atau digunakan sesuka hati dalam kawasan rumah kita.

Masakan tidak, selipar yang dipanggil sebagai selipar tandas tadi sudah dianggap kotor.

Namun, kadangkala anak-anak kita suka benar bermain selipar tandas hinggakan dibawa 'berjalan' keliling rumah.

Apabila berlaku perkara itu, adakah kawasan yang dilalui selipar tersebut menjadi najis? Jika betul ya, bagaimana cara mensucikannya?

Iklan

Jika kita benar-benar yakin bahawa selipar yang digunakan itu terkena najis, maka kawasan yang dilalui itu juga dikira bernajis.

Mahu atau tidak, kita perlu membersihkan kawasan najis berkenaan. Ia dengan cara menghilangkan najis dan membasuh kawasan terlibat dengan mengalirkan air mutlak ke kawasan yang dikenalpasti.

Ketika proses itu dilakukan, pastikan hilang tiga perkara dengan basuhan tadi iaitu hilang warna, bau dan rasa.

Bagaimanapun, jika tertinggal salah satu daripada warna, bau atau rasa disebabkan sukar untuk dihilangkan walaupun telah digosok dan dibasuh dengan air beberapa kali, maka ia dimaafkan dan dikira sebagai suci.

Iklan

Apa pun, kita dicadangkan agar menggunakan selipar yang berlainan untuk kegunaan di bilik air dan di luar bilik air.

Ia bukan sahaja memudahkan, tetapi demi kebaikan kita juga apabila ada pengkhususan sebegini.

Sumber: Himpunan Soal Jawab Agama Siri 1, Jabatan Mufti Negeri Selangor

Foto: Freepik