HARI kiamat pasti akan berlaku. Cuma, bila tarikh yang tepat, tiada siapa yabg mengetahuinya kecuali pemilik segala makhluk yang ada di muka bumi ini.

Sejak sekian lama, ramai orang sudah memperkatakan tentang tanda-tanda akhir zaman ini.

Tidak kurang juga ada segelintir orang berpendapat bahawa wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini sebagai memberi peringatan kepada kita agar kembali kepada Sang Pencipta yang paling agung.

Sesungguhnya kepada DIA tempat kita mengadu dan memohon pertolongan daripada segala sesuatu tidak kiralah dalam keadaan senang mahupun sukar.

Tidak kiralah cepat atau lambat hari kiamat itu, kita pasti akan melaluinya kelak.

Membicarakan tentang tanda-tanda kiamat, Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Kampus Pasir Gudang, Johor, Dr Mohd Ali Muhamad Don ada menukilkan perkara berkenaan.

Jom kita ikuti perkongsian beliau yang sempat berkunjung ke Tanah Suci baru-baru ini;

Akhir-akhir ini, tanda-tanda kiamat seperti yang digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam riwayatnya seakan mula diperlihatkan satu persatu.

Bukan mahu menakut-nakutkan, akan tetapi ketika kunjungan penulis ke Tanah Suci baru-baru ini, padang pasir dan kawasan gersang di sekitar Makkah dan Madinah sudah mula ditumbuhi rumput-rumput dan menjadi belukar di sesetengah tempat, berdasarkan pemerhatian penulis. 

Kawasan bukit-bukau yang dahulunya hanya bukit batu yang gondol kini mula menguning dengan rumput liar dan terdapat anak sungai yang mengalir. Keadaan itu agak menggusarkan kerana ia pernah disebutkan dalam sebuah riwayat hadis.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak akan terjadinya hari kiamat sehingga bumi Arab kembali menjadi kebun-kebun dan sungai-sungai dan sehingga pengembara dalam perjalanan di antara Iraq dan Makkah tidak merasa takut kecuali takut tersesat jalan. Dan terjadi banyak haraj.” Mereka bertanya apakah haraj ya Rasulullah? Jawab baginda; “Pembunuhan.” (Riwayat Ahmad dan Muslim)

Selain itu, aktiviti meratakan bukit bukau di sekitar Kota Makkah juga giat dijalankan bagi memberi laluan kepada pembesaran Kompleks Masjidil Haram. Kawasan Bukit Umar, Bukit Abi Qubaisy dan Bukit Qainiqian yang mengelilingi Kota Makkah juga tidak terlepas daripada arus pembangunan.

Banyak hotel baharu mula dibina di kawasan tersebut untuk menampung keperluan penginapan jutaan jemaah yang bertali arus sepanjang tahun, apatah lagi pada waktu kemuncak akhir Ramadan dan musim haji.

Namun begitu, peringatan Rasulullah SAW bahawa tidak akan berlaku hari kiamat apabila gunung-ganang beralih dari tempatnya cukup menginsafkan.

Tanda-tanda kiamat kecil

Tanda kiamat kecil juga kemungkinan mula kelihatan di mana-mana. Masakan tidak, banyak pusat beli-belah, gedung perniagaan dan pasar raya dibina tidak ubah seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Kedudukannya yang saling berdekatan antara satu sama lain seolah-olah mengiakan sabda Nabi Muhammad SAW dalam satu riwayat.

Baginda SAW bersabda: “Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah muncul banyak fitnah, banyak pembohongan dan pasar-pasar saling berdekatan.” (Riwayat Ahmad)

Dalam merungkaikan hadis itu, ada kalangan ulama yang menafsirkan bahawa mudahnya perhubungan dan kecanggihan teknologi sehingga proses membeli-belah menjadi mudah dan pantas. Sebagai contoh, perniagaan di pasar-pasar atas talian yang mudah diakses hanya di hujung jari.

Bukan itu sahaja, pergerakan masa yang cepat juga begitu merunsingkan. Terasa begitu cepat masa berlalu. Kini, kita berada pada bulan Mac tahun 2020. Baru sahaja rasanya berpuasa pada bulan Ramadan lalu. Kurang dua bulan, sekali lagi Ramadan akan muncul kembali.

Iklan

Ketahuilah bahawa perasaan seperti itu pernah digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis lain.

Sabda baginda SAW: “Tidak akan berlaku Kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.” (Riwayat al-Tirmizi)

Barangkali semua itu berlaku disebabkan oleh kesibukan manusia sehingga tidak perasan hari sudah berlalu. Terdapat juga ulama yang menafsirkan hadis itu sebagai hilang keberkatan masa apabila tidak diisi dengan perkara kebajikan dan amal soleh. Apatah lagi dengan kesibukan melayan aplikasi sosial dan teknologi masa kini, masa semakin pantas dan tidak menunggu sesiapa.

Adakah benar kejadian tersebut sebagai tanda kiamat atau sekadar fenomena alam semula jadi? Ia kekal menjadi rahsia milik ALLAH SWT YANG MAHA MENGETAHUI bila berlaku hari kiamat yang sebenar.

Hari kiamat
SEMENTARA ada kesempatan, segera bertaubat dan tinggalkan segala perbuatan dosa dan maksiat.

Sungguhpun begitu, tanda-tanda yang diperlihatkan pada ketika ini sepatutnya tidak dipandang remeh. Setiap sesuatu itu tidak berlaku sia-sia melainkan ada iktibar dan pedoman buat semua.

Sehubungan itu, masyarakat Islam diajak benar-benar beriman dengan hari kiamat. Tingkatkanlah persiapan sebelum tiba tanda kiamat yang besar. 

Iklan

Jangan sesal pada kemudian hari kerana tidak sempat mengumpul amal. Jika matahari terbit dari barat, sia-sialah penyesalan kita tadi kerana pintu taubat sudah pun ditutup.

Sementara ada kesempatan  sebelum berlaku huru-hara akhir zaman dan fitnah Dajal berleluasa, ayuhlah semua bertaubat dan meninggalkan perbuatan dosa maksiat. 

Penuhi waktu dengan memperbanyakkan amal ibadah agar bahagia hidup di dunia dan akhirat.

Barangkali ada yang pernah tidak berpuasa pada bulan Ramadan ataupun mengabaikan solat fardu, maka eloklah diganti segera. Jika ada dosa sesama manusia, bersegeralah memohon kemaafan.

Sebenarnya terdapat puluhan tanda kiamat kecil seperti dinyatakan dalam riwayat Rasulullah SAW yang mengajak manusia untuk melihat dengan pandangan mata hati seraya membuat persiapan rapi untuk menghadapinya. Setidak-tidaknya bersedialah untuk menghadapi mati yang merupakan kiamat yakni penghabisan kehidupan di dunia!