HATI mendongkol geram je bila melihat balang gula ada semut walaupun hanya beberapa ekor. Kadangkala semut hanya menghurung di luar balang saja, tapi rasa marah kita bukan kepalang.

Masakan tidak, makhluk itu begitu kecil dan halus sampai ada masanya kita tak perasan pun bila serangga itu ada dalam balang gula.

Bila dah tak perasan, gula yang ada dalam balang tu kita gunakan untuk buat minuman atau dimasukkan dalam masakan.

Dah jadi cerita lain pula. Sudahnya jadi air semut dengan lauk semut pula. Memang pusing kepala juga dibuatnya.

Siapalah yang nak makan hidangan atau minuman yang tercemar dengan serangga itu? Sudah tentu nasibnya dalam tong sampah saja atau dibuang.

Andai kata, kita termakan semut yang masuk dalam balang gula tadi, apakah hukumnya ya? Apa pandangan Islam tentang hal ini?

Asal hukum memakan semut sebenarnya adalah haram kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang menjijikkan apabila dimakan.

Malah, ada hadis yang melarang kita untuk membunuh semut.

Firman ALLAH SWT: “Dan baginda (Rasulullah SAW) menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” (Surah al-A’raf, ayat 157)

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi menerusi Mafatih al-Ghayb (15/381), dalam ayat ini, ALLAH SWT menyifatkan Nabi Muhammad SAW dengan sembilan sifat.

Antaranya menghalalkan bagi manusia akan benda-benda yang dihukumkan oleh ALLAH sebagai halal yakni dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang mengatakan ia haram.

“Rasulullah SAW juga mengharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah. Orang yang memakannya dianggap fasik.

“Dalam kata lain, semua benda yang ditanggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Maka setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum berbeza,” kata Imam Fakhruddin al-Razi.

Berdasarkan ayat itu, semut adalah haram dimakan kerana sifatnya sebagai bangkai; matinya tidak disembelih, jijik pada jiwa dan dilarang oleh Rasulullah SAW daripada membunuhnya.

Tapi dalam uruf masyarakat kita, memang semut tidak ‘dihidangkan’ bersama minuman atau makanan. Kalau ada pun, pasti sebab tak sengaja apabila kita masukkan gula.

Iklan

Justeru, semut yang masuk secara tidak sengaja sebenarnya tidak menajiskan air minuman kerana sifatnya hanyalah sebagai pengikut.

Bagaimanapun, dari segi hukum memakan semut dalam balang gula, ia adalah haram.

Ia kerana, semut merupakan bangkai yang diharamkan oleh syarak dan jijik untuk dimakan pada tabiat kebiasaan manusia.

Sekiranya ada semut masuk ke dalam gula, kita hendaklah sedaya upaya untuk mengeluarkan serangga berkenaan sama ada ia hidup atau mati.

Andai semut tadi masuk ke dalam minuman, hendaklah dikeluarkan juga sama ada hidup atau mati. Air berkenaan masih lagi suci dan boleh diminum serta tidak bernajis kerana masuknya semut secara tidak sengaja dan bukan tujuan utama.

Jika semut termasuk ke dalam air minuman, atau dalam cairan yang dimakan seperti madu atau kordial minuman, ia adalah dimaafkan untuk diminum jika bilangannya sedikit pada uruf, tidak menjijikkan dan tidak menyebabkan masalah kesihatan.

Seandainya semut termasuk dalam masakan pula, kemudian lebur bersamanya, maka itu juga dimaafkan jika tidak menjijikkan, sedikit pada uruf, dan tidak berbahaya kepada kesihatan.

Iklan

Sebagai kesimpulannya, kalau kita ternampak semut dalam makanan atau minuman, cepat-cepatlah keluarkan. Ia masih boleh diminum atau dimakan.

Tapi kalau sudah banyak sangat semut itu, sebaiknya jangan makan atau minum hidangan yang tercemar itu ya.

Sumber: Irsyad Al-Fatwa Siri ke-401: Hukum Makan Semut dalam Balang Gula, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan