Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

DALAM kitab suci al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! sesungguhnya, KAMI telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian KAMI menjadikan kamu berbangsabangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. ALLAH MAHA MENGETAHUI lagi MAHA TELITI.“ (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Ayat itu menjelaskan kepada kita bahawa kewujudan pelbagai kaum dan bangsa adalah suatu yang memang dimaksudkan oleh ALLAH SWT. Tujuannya adalah untuk kita saling mengenali dan berinteraksi antara satu sama lain.

Dalam menjalani kehidupan seharian, memang kita tidak boleh lari daripada bermuamalat dengan golongan bukan Islam. Melihat kepada realiti itu, Islam tidak pernah mengharamkan umatnya daripada berurus niaga dengan bukan Muslim.

Sebenarnya, ada beberapa peristiwa yang mengharuskan hukum bermuamalat dengan golongan berkenaan. Antaranya, peristiwa Rasulullah SAW menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi kerana baginda membeli makanan daripadanya secara hutang.

Sudah pasti Rasulullah SAW tidak akan lakukan perkara tersebut jika baginda tidak yakin dengan halalnya makanan yang dijual oleh orang Yahudi berkenaan.

Daripada peristiwa tersebut, dapat difahami bahawa tiada halangan dari segi syarak untuk kita berurus niaga dengan orang bukan Islam. Ia selagi mana urusan tersebut tidak bertentangan dengan syarak.

Ketahuilah, status bukan Muslim itu bukanlah asas kepada pengharaman sesuatu urusan. Dalam perbincangan fuqaha, ketika menggariskan syarat-syarat pihak yang berkontrak, mereka tidak meletakkan syarat ‘mestilah seorang Muslim‘ melainkan dalam kes tertentu seperti bab menjual al-Quran yang mana disyaratkan mestilah dijual kepada orang Islam.

(Artikel berkaitan: Bila orang bukan Islam beri salam, apa harus kita jawab?)

Bermuamalat dengan bukan Islam

BERMUAMALATLAH dengan sesiapa sahaja termasuk orang bukan Islam dalam sebarang urusan yang bebas daripada unsur-unsur yang dilarang dalam Islam seperti riba, gharar dan penipuan.

Itu pun masih ada ruang perbahasan lanjut melihat kepada situasi dan realiti sebenar yang saya tidak bermaksud untuk panjangkan perbincangan mengenainya dalam tulisan kali ini.

Apakah asas sebenar kepada pengharaman suatu urusan? Saya pernah menyebut dalam tulisan saya sebelum ini tentang kaedah umum yang digariskan oleh al-Quran dan hadis dalam bab muamalat maliyyah.

Rumusannya, urus niaga seseorang itu hanya akan dihukumkan haram sekiranya ia tidak mengikut kaedah yang telah ditetapkan iaitu mesti berasaskan kepada suka sama suka (taradhi) dan bebas daripada unsur-unsur yang dilarang dalam Islam seperti riba, gharar dan penipuan.

Iklan

Selain itu, umat Islam juga dilarang daripada melibatkan diri dalam urus niaga yang bersifat membantu bukan Islam untuk mengganggu gugat orang-orang Islam. Contoh klasik yang disebut dalam perbincangan fuqaha adalah menjual senjata kepada golongan bukan Islam yang memusuhi Islam.

Walaupun ia sekadar urusan jual beli sahaja, tetapi tetap memberi sumbangan tidak langsung kepada golongan itu untuk memerangi Islam.

Pada masa sama, umat Islam dilarang daripada terlibat dalam sebarang muamalah yang boleh membantu bertambahnya maksiat yang dilarang dalam Islam. Umpamanya, menjual buah anggur kepada pembuat arak. Ia bertujuan menjauhi kita daripada terlibat sama secara tidak langsung dalam menyumbang kepada aktiviti pembuatan arak.

Bermuamalat dengan bukan Islam
HARUS bermuamalat dengan golongan bukan Islam kecuali dalam hal yang boleh memberi mudarat kepada agama suci ini atau perkara yang dilarang oleh syarak.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam harus jelas dan faham. Meskipun secara umumnya Islam mengharuskan kita bermuamalat dengan orang bukan Islam, tetapi pada masa sama, kita hendaklah memastikan bahawa urus niaga tersebut bebas daripada perkaraperkara yang dilarang oleh agama suci ini.

Iklan

Antara perkara yang sangat perlu kita teliti adalah sejauh mana muamalat dengan orang bukan Islam itu tidak membawa mudarat kepada agama Islam itu sendiri untuk jangka masa panjang atau dalam bentuk sumbangan secara langsung. Wallahua’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik