WALAUPUN aktiviti ziarah hari raya hanya diberikan kelonggaran pada hari pertama Syawal minggu lalu dalam negeri yang sama, tapi tradisi memberikan duit raya masih diteruskan.

Bezanya, tiada lagi sampul raya seperti kebiasaan. Semua transaksi duit raya dibuat secara online dan mungkin hanya melibatkan keluarga terdekat saja. Mudahnya urusan tu.

Tapi bila cerita bab duit raya kepada kanak-kanak terutama anak buah, anak saudara dan sebagainya, sudah tentulah duit itu akan ‘sampai’ dulu kepada ibu bapa mereka.

Bab ini kenalah hati-hati, takut-takut mak-mak dan ayah-ayah ni terguna pula duit anak-anak tanpa disedari.

Kata pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki, memberi duit raya kepada anak-anak termasuk sebagai amalan yang baik dilakukan dalam bulan Syawal.

Namun, sebagai ibu bapa yang menguruskan kewangan anak-anak yang masih kecil, ia bukanlah tiket untuk kita sewenang-wenangnya menggunakan duit raya atau harta anak masing-masing.

Bagaimanakah jika ibu bapa gunakan duit raya anak untuk membeli kelengkapan sekolah atau barang keperluan mereka?

Mengulas tentang perkara ini, agamawan itu menjelaskan, pada asalnya, segala harta yang dimiliki oleh anak adalah milik ayahnya.

Iklan

Ia berdasarkan sebuah hadis sahih riwayat Ibnu Majah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Engkau dan hartamu milik ayahmu”.

“Namun, hadis itu tidak boleh difahami secara literal semata-mata. Imam al-Mubarakfuri dalam kitabnya, Tuhfah Ahwazi membawa perkataan Imam Ibn Roslan antara lain menyatakan, harta anak bukan pemilikan hak secara total bagi si ayah tetapi harus mengambilnya (harta anak) jika ada keperluan.

“Sebahagian ulama menyatakan, jika duit raya atau harta anak digunakan untuk kebaikan dirinya (anak itu sendiri), hukumnya diharuskan,” jelas beliau.

Begitupun, tegas Ustaz Mustafar, harta anak hanya boleh digunakan untuk tujuan yang dibenarkan oleh syarak sahaja.

“Jika digunakan harta anak sewenang-wenangnya untuk tujuan yang tidak dibenarkan syarak, maka hukumnya tidak boleh, apatah lagi ia boleh menganiayai anak-anak dan memudaratkannya,” pesan beliau.

Iklan

Justeru, bersikap jujur dan amanahlah ketika menjaga harta anak-anak sepertimana kita menjaga harta benda sendiri.

Walaupun kita merupakan ibu bapa yang melahirkannya, namun harta mereka adalah hak mereka yang tak boleh diusik secara semberono.