SELAIN kerap mencuci tangan dengan sabun, kita juga seringkali menggunakan hand sanitizer (pencuci tangan) sebagai salah satu cara meningkatkan kebersihan diri untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Masakan tidak, penggunaan hand sanitizer itu berupaya membunuh bakteria yang terdapat pada permukaan kulit.

Begitupun, masih ada segelintir orang yang musykil apabila menggunakannya ketika menunaikan solat.

Rasa waswas menyelubungi diri kerana umum mengetahui bahawa hand sanitizer mengandungi kandungan alkohol yang tinggi.

Justeru, adakah menggunakannya ketika solat dikira sebagai najis?

Sebelum menjawab tanda tanya itu, kita perlu mengetahui apakah kandungan utama yang terdapat dalam hand sanitizer.

Berdasarkan garis panduan Food and Drug Administration (FDA), setiap kandungan produk hand sanitizer yang dipasarkan perlu mengandungi ethyl alcohol (ethanol), isopropyl alcohol (isopropanol) atau benzalkonium klorida sebagai bahan utamanya.

Bukan itu sahaja, terdapat juga pencuci tangan yang menggunakan bahan selain daripada alkohol untuk membunuh mikroorganisma dan bakteria.

Namun begitu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menetapkan garis panduan sukatan tertentu dalam penghasilan hand sanitizer. Kapasiti bagi 10 liter produk berkenaan mestilah mengandungi 8,333 mililiter (ml) daripada 96 peratus ethanol, 417 daripada tiga peratus hydrogen proxide dan 145 daripada 98 peratus isopropyl alcohol, 417 ml daripada tiga peratus hydrogen peroxide dan 145 peratus daripada 98 peratus glycerol.

Sementara itu, dalam Islam, jumhur ulama menyatakan, alkohol merupakan najis kerana termasuk dalam cecair yang memabukkan.

Akan tetapi, Prof Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari menyebut dalam kitabnya bahawa para ulama berselisih pandangan tentang sama ada arak itu najis ataupun tidak.

Iklan

Ya, memang pada dasarnya para ulama bersepakat bahawa arak adalah najis, tetapi mereka berselisih pendapat tentang sifat kenajisannya.

Segolongan ulama berpendapat, arak merupakan najis dari segi ainnya, manakala menurut sebahagian pendapat yang lain, arak tidak najis dari segi ainnya. Sebaliknya, hanyalah najis dari segi maknawi iaitu tidak boleh diminum kerana ia merupakan sesuatu yang kotor seperti dadah dan seumpamanya.

Menelusuri semula keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-7 yang bersidang pada 11 hingga 12 April 1984, mereka sebulat suara menyatakan bahawa:

Iklan

1. Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak, hukumnya tidak najis, tetapi haram diminum.

2. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

3. Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.

4. Tapai halal dimakan.

5. Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.

6. Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

Hand sanitizer
PENGGUNAAN hand sanitizer adalah tidak najis dan boleh digunakan ketika hendak menunaikan solat.

Berdasarkan kepada pendapat ulama, dapat disimpulkan bahawa penggunaan hand sanitizer adalah tidak najis. Ia boleh digunakan ketika hendak menunaikan solat serta tidak menanggung najis.

Ia jelas sebagaimana yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan iaitu ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

Oleh yang demikian, tidak perlulah kita berasa ragu untuk menggunakan hand sanitizer semasa mendirikan solat. Menjaga kebersihan merupakan faktor utama bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

(Sumber: Al-Kafi #1652: Penggunaan Hand Sanitizer Ketika Melakukan Solat, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)