BERSEDEKAH dan melakukan amalan wakaf amat dituntut dalam agama Islam. Apatah lagi pada hari Jumaat yang mulia ini.

Ada banyak cara untuk melakukan amalan mulia itu. Ada yang gemar untuk dimasukkan dalam tabung masjid, surau dan seumpamanya.

Segelintir orang pula lebih gemar untuk melakukan wakaf seperti pembinaan madrasah, masjid dan seumpamanya.

Jika melibatkan wakaf atau sumbangan sebegini, lazimnya akan ada individu atau pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengutipnya.

Apakah hukumnya orang yang kutip derma ambil beberapa peratus daripada hasil kutipan dermanya sebagai upah?

Iklan

Jelas pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki, hukum asal samsarah atau komisen jualan adalah diharuskan seperti pendapat Imam Atha’ Ibrahim al-Nakhaie dan selainnya.

"Adapun komisen daripada kutipan derma atau wakaf diharuskan kerana qias kepada amil zakat mengikut sebahagian pandangan ulama," ujar beliau.

Iklan

Pun demikian, tegas agamawan itu, ia mengandungi beberapa syarat yang perlu diikuti.

"Pertama, setiap badan atau pihak-pihak tertentu hendaklah membuat pertimbangan dan garis panduan khusus tentang berapa peratus komisen yang ingin diambil dan dirujuk kepada pihak berkuasa agama tempat masing-masing.

"Kedua, wajib dinyatakan kepada penyumbang atau pewakaf berapakah jumlah komisen yang diambil.

"Sebagai contoh, derma RM10 oleh penyumbang. Lima peratus daripada jumlah itu iaitu 50 sen akan diambil untuk kos pengurusan dan pentadbiran," terang beliau.

Meskipun diharuskan dengan syarat tertentu, jelas Ustaz Mustafar lagi, apa yang penting adalah komisen itu mestilah telus dan tidak ada perkara yang disembunyikan apatah lagi menipu.

"Jika itulah yang berlaku, maka sudah tentu hukumnya tidak dibenarkan," tegasnya.

Ingatilah, tanamkan dalam diri dengan sifat jujur dan amanah. Ia jadi penentu tahap keimanan seseorang.