Boleh ke buat kenduri kahwin dan jamu tetamu makan daging korban?  

August 1, 2020
Nurulfatiha

HARI Raya Aidiladha pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat. Hari tersebut membawa kepada hujung minggu.

Maka, tidak hairanlah jika ramai yang mengambil peluang untuk mengadakan kenduri perkahwinan ketika ini.

Apa tidaknya, boleh dikatakan hampir setiap ahli keluarga akan berkumpul untuk menyambut hari raya bersama.

Alang-alang semua orang ada, memang tidak sukar untuk kita mengatur majlis perkahwinan yang ringkas.

Memandangkan majlis penuh makna itu diadakan ketika musim ibadah korban, bolehkah daging korban dibuat jamuan untuk majlis perkahwinan? Apakah hukumnya berbuat demikian?

Merujuk kepada Mazhab Syafie, umat Islam yang melakukan korban wajib menyedekahkan daging korban kepada golongan fakir atau miskin walaupun sedikit.

(Artikel berkaitan: Tak sempat sembelih haiwan korban hari ini, boleh ke buat hari lain?)

Dalam erti kata lain, kita tidak boleh makan atau ambil semua daging korban berkenaan.

Sebagai contoh, andai kata purata berat seekor lembu adalah 70 hingga 80 kilogram (kg), lalu 5 kg disedekahkan, manakala selebihnya dimakan sendiri, maka sah ibadah korban yang dilakukan.

Seperkara, daging korban yang wajib disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin itu hendaklah dalam bentuk yang masih mentah. Kita dilarang untuk menyedekahkan daging yang dimasak.

Umpamanya, jika 5 kg daging korban yang mentah disedekahkan, manakala yang selebihnya dimasak atau dijamukan kepada orang ramai, maka hukum korbannya adalah harus dan sah.

Berdasarkan hujah di atas, maka individu yang melakukan korban diharuskan untuk memasak daging korban untuk kenduri kahwin selagi mana dia memperuntukkan sedikit daging korban mentah itu untuk disedekahkan kepada orang fakir atau miskin.

Selain itu, kita juga diharuskan memberikan daging korban kepada orang kaya atau mereka yang bukan termasuk dalam kategori orang susah.

Namun begitu, kita tetap masih diwajibkan untuk memperuntukkan walaupun sedikit kepada fakir dan miskin.

Jika dilihat dari segi yang paling utama, lebih afdal jika daging korban yang mentah tadi diberikan kepada orang yang susah dan tidak susah dalam kuantiti yang banyak.

Sementara individu yang melakukan korban tadi hanya mengambil sedikit sahaja.

Semoga dengan sedekah dan ibadah korban yang dilakukan dapat mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, di samping berkongsi rezeki dengan mereka yang jarang sekali dapat merasai daging.

Sumber: 99 Soal Jawab Viral Netizen, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed

Gratitude yummi.club

About Nurulfatiha

Biodata Penulis