SETELAH sekian lama menanti, akhirnya ‘pintu’ rumah ALLAH mula dibuka semula pada hari ini dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

Masakan tidak, hampir dua bulan ia ditutup selepas semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan berjemaah ditangguhkan sejak pertengahan Mac lalu.

Walaupun hanya melibatkan masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di kawasan zon hijau sahaja yang dibuka, tetapi berita itu cukup memberi kelegaan kepada umat Islam di Malaysia.

Ya, itulah yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada sidang media khas di Putrajaya semalam.

Cuma, bilangan jemaah yang ditetapkan bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tak kurang tiga orang tidak termasuk imam dan tidak lebih daripada 30 orang.

Disebabkan ada orang yang mungkin tak berpeluang untuk ke masjid akibat kekangan dari segi had jemaah, ramai yang kurang jelas tentang perihal solat Zuhur mereka.

Adakah mereka wajib menunggu orang yang menunaikan solat Jumaat selesai mengerjakan ibadah fardu berkenaan untuk menunaikan solat Zuhur di tempat di mana mereka berada?

Menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed, pada asasnya, solat wajib dilaksanakan pada waktu yang telah ditetapkan.

Waktu Zuhur bermula masuk apabila matahari tergelincir di bahagian barat, maka dari situ bermula solat Zuhur diwajibkan. Sehinggalah bayang-bayang menyamai panjangnya objek dan ini bermakna solat Zuhur sudah tamat.

“Manakala bagi kaum Adam yang diwajibkan solat Jumaat, haram bagi mereka memilih solat Zuhur melainkan ada keuzuran yang menghalang untuk melaksanakan solat Jumaat seperti di musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Antara golongan-golongan yang tidak diwajibkan iaitu diuzurkan daripada solat Jumaat ialah wanita, kanak-kanak lelaki, orang sakit dan musafir. Meskipun mereka ini tidak diwajibkan solat Jumaat, namun mereka tetap diwajibkan solat Zuhur. Jadi golongan ini diharuskan solat Zuhur setelah masuk waktunya tanpa menunggu selesainya solat Jumaat,” jelas beliau menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Bahkan, kata Ustaz Syed Shahridzan, perkara itu ada dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitab Raudah at-Tolibin.

“Jika seseorang yang keuzuran (untuk mengerjakan solat Jumaat) melaksanakan solat Zuhur sebelum tamat solat Jumaat, maka solat Zuhurnya sah,” kata Imam Nawawi.

Iklan

Bukan itu sahaja, agamawan itu menjelaskan, mereka yang mempunyai keuzuran untuk solat Jumaat tadi, uzurnya hilang sepertimana sembuhnya penyakit apabila dia selesai mendirikan solat Zuhur.

Ia sebagaimana dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: “Jika seseorang yang uzur Jumaat telah melaksanakan solat Zuhur kemudian keuzuran hilang dan dia mampu untuk melaksanakan solat Jumaat, maka solat Zuhurnya tetap sah dan dia tidak dimestikan untuk solat Jumaat dengan sepakat (para ulama Mazhab Syafie).”

Tapi berlainan pula hukumnya jika seseorang yang tiada keuzuran, namun sengaja meninggalkan fardu Jumaat dengan memilih untuk mengerjakan solat Zuhur sahaja.

Dalam hal ini, kata Ustaz Syed Shahridzan, jika solat Zuhur itu dilaksanakan sebelum solat Jumaat didirikan, maka solat Zuhurnya tidak sah berserta dia menanggung dosa besar kerana sengaja meninggalkan fardu tersebut.

“Oleh itu, dia wajib mengulangi Zuhurnya setelah solat Jumaat didirikan. Ia sebagaimana dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam Raudah at-Tolibin,” jelasnya.

Jadi, golongan lelaki yang terhalang daripada melakukan solat Jumaat pada musim PKPB ini, bolehlah terus mengerjakan solat Zuhur selepas masuknya waktu tanpa wajib menunggu solat Jumaat selesai dilaksanakan.

Iklan

Apa pun, patuhilah arahan pihak berkuasa negeri masing-masing kerana mungkin ada perbezaan dari segi bilangan jemaah yang boleh tunaikan untuk solat Jumaat atau berjemaah di masjid.

Ini kerana, Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada dalam ruang lingkup dan bidang kuasa negeri yang tertakluk di bawah naungan Raja-Raja setiap negeri.

Jadi buat masa ini, Pok De dan Mok De tak perlu cepat-cepat ke masjid ya. Tunggu arahan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Foto: Bernama