SETIAP kali Hari Raya Aidiladha, ramai yang mengambil peluang untuk melakukan ibadah korban.

Ia manifestasi tanda syukur seorang hamba kepada Pencipta-NYA atas segala nikmat yang telah diberikan selama ini.

Selain itu, ibadah korban mengajar kita berkongsi rezeki dengan orang lain terutama golongan fakir dan miskin yang mungkin jarang-jarang merasainya.

Kebanyakan yang melakukan ibadah ini adalah mereka yang berkemampuan. Tidak kiralah sama ada korban satu bahagian atau seekor haiwan.

Adakalanya orang yang sama juga melakukan ibadah korban saban tahun.

Apakah hukumnya orang yang berkemampuan, tetapi tidak melaksanakan ibadah korban? Adakah wajib ke atasnya untuk melakukan korban pada setiap tahun?

Menjelaskan hukum melakukan ibadah korban, pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki berkata, jumhur ulama termasuk Mazhab Syafie menyatakan, hukumnya adalah sunat muakkad.

Iklan
USTAZ MUSTAFAR

“Perkara itu ada disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’,” katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Kata agamawan berkenaan, Imam al-Nawawi menyebutkan juga bahawa para ulama berselisih pendapat mengenai hukum kewajipan korban bagi mereka yang mampu.

“Namun, secara kesimpulannya Imam al-Nawawi menyatakan, tidak berdosa andai meninggalkannya tanpa keuzuran dan tidak perlu diganti.

“Hukum korban menjadi wajib apabila seseorang mewajibkan dirinya untuk berkorban seperti seseorang yang bernazar.

Iklan

“Akan tetapi, melakukan korban adalah satu amalan yang amat mulia dituntut oleh syarak. Maka amat dititikberatkan bagi mereka yang mampu melakukannya walaupun tidak wajib,” jelas beliau.

Justeru, andai berkemampuan, apa salahnya lakukan ibadah korban setiap tahun.