BERCAKAP tentang rambut, ramai sahaja orang lelaki yang menyimpan rambut panjang. Pelbagai stail rambut yang boleh dilihat.

Sesetengah kaum Adam lebih selesa untuk mengikat rambut mereka. Segelintirnya pula lebih gemar melepaskan rambut berkenaan begitu sahaja.

Tidak kisahlah mana satu pilihan mereka, janji rambut berkenaan disisir kemas dan rapi.

Begitupun, ada orang yang menganggap bahawa haram jika lelaki mengikat rambut atau membuat tocang bersandarkan sebuah hadis.

Benarkah Islam melarang lelaki berambut panjang mengikat rambut mereka?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman memperbetulkan tanggapan salah berkenaan.

“Ini adalah salah faham terhadap hadis yang melarangnya (mengikat rambut) ketika solat, tetapi harus diluar solat,” katanya sebagaimana dikongsikan menerusi hantaran menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Pendakwah itu turut mengemukakan hadis yang dimaksudkan.

Ibnu Abbas melihat Abdullah bin Harith solat dengan rambutnya yang disimpulkan rambutnya di belakang.

Lalu, Ibnu Abbas bangun dan merungkaikan rambutnya.

Setelah selesai, Abdullah pergi bertanyakan Ibnu Abbas: “Mengapa dengan rambutku?”

Ibnu Abbas menjawab: “Sesungguhnya ini dalam solat seumpama kedua tangannya terikat di bahunya.” (Sahih Muslim)

Iklan

(Artikel berkaitan: Haram lelaki ikat rambut ketika solat?)

Solat lelaki berambut panjang

PU Salman menambah, Imam al-Nawawi iaitu ulama Mazhab Syafie dalam Syarah Sahih Muslim menyatakan, para ulama daripada empat mazhab mengatakan makruh mengikat rambut, membuat tocang atau meletakkan rambutnya yang panjang di bawah serbannya ketika dalam solat.

Namun begitu, seandainya seseorang lelaki itu melakukan perkara tersebut di luar solat, ia adalah dibenarkan, terang beliau.

“Hukumnya harus jika rambut diikat, disimpul atau ditocang bagi golongan lelaki di luar solat masing-masing.

“Ia berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan olej at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW masuk ke Makkah dengan empat simpulan rambut yang diikat,” jelasnya.

PU Salman menukilkan pandangan Imam Bajuri tentang perkara itu.

Iklan

Jelas Imam Bajuri: “Harus mengikat rambut bagi lelaki dan ia tidak khusus bagi perempuan sekalipun kebanyakan negara pada zaman ini, ia khusus bagi wanita. Ini kerana ia tidak dikira. (Mawahib Laduniah Syarah Syamail Muhammadiah)

Kepada kaum Adam, lepaskan rambut ketika sedang menunaikan Rukun Islam ke-2. Jangan sesekali ikat atau sorokkan di bawah serban rambut yang panjang tadi.

Sumber: Facebook PU Salman

Foto: Freepik & 123rf