SETIAP orang mempunyai ‘prinsip’ kebersihan sendiri. Sebagai contoh, segelintir daripada kita tidak sanggup melihat sedikit debu pun pada papan pemuka kenderaan.

Namun, bagi sesetengah individu, mereka tidak kisah pun kalau sampah berupa plastik makanan, botol minuman atau resit tol bertimbun di dalam kereta.

Kadangkala, disebabkan terlalu malas, mereka sanggup membuangnya di merata-rata tempat. Meskipun semua itu nampak remeh, tetapi realitinya, hal tersebut memang kerap berlaku.

Dalam situasi yang lain, ada di antara kita yang sangat mementingkan kebersihan saat mahu melakukan ibadah, namun tidak pada perkara lain.

Rukun asas pembinaan masyarakat

Sinar Islam Plus menemubual pendakwah Abu Bakar Ali As-Sudani untuk berbicara lanjut mengenai topik tersebut.

ABU BAKAR ALI

Jelas beliau, Islam sebagai agama yang suci sememangnya sangat menitikberatkan perihal kebersihan. Bahkan, ia merupakan satu kewajiban syariat dan jalan untuk memelihara umatnya daripada kekotoran.

Walaupun perkara itu kelihatan remeh pada tanggapan segelintir masyarakat, namun beliau menegaskan, kebersihan adalah satu rukun asas dalam pembinaan masyarakat secara keseluruhannya.

Malah dalam Islam, katanya, perilaku mulia itu sebenarnya mencakupi dua aspek yang signifikan iaitu luaran (zahir) dan dalaman (batin).

“Dari segi luaran bermaksud bersih daripada kekotoran dan sifat-sifat atau perangai zahir yang keji.

“Bagi kebersihan batin pula, ia merangkumi sifat bersih daripada segala kekotoran dalaman, selain sifat-sifat terkeji yang dimiliki oleh manusia seperti riak, ujub dan seumpamanya,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “…Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Dalam satu riwayat hadis yang masyhur, Rasulullah SAW bersabda: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jelas Abu Bakar, terlalu banyak hadis yang memerihalkan betapa pentingnya menjaga kebersihan.

Nabi Muhammad SAW sendiri menyuruh kita menghilangkan perkara-perkara yang mengganggu seperti kekotoran. Bahkan, baginda juga seorang yang pembersih.

“Maka tidak hairanlah mengapa nabi menyuruh umatnya membersihkan segala anggota badan termasuklah memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan seumpamanya.

“Malah, ada di antara amalan tersebut digalakkan dilakukan pada hari-hari tertentu seperti hari Jumaat dan Hari Raya.

“Begitu juga halnya apabila kita diwajibkan untuk mandi wajib bagi sesiapa yang patut melakukannya, selain digalakkan mandi sunat,” jelasnya.

Sifat orang bertakwa

Menyambung hujah, Abu Bakar menjelaskan, Rasulullah SAW juga memberi amaran betapa pedihnya azab bagi orang yang tidak menjaga kebersihan.

Antaranya ancaman azab kubur bagi sesiapa yang tidak membersihkan kemaluannya daripada air kencing sebagaimana yang termaktub dalam hadis masyhur.

“Demikianlah juga nabi menyarankan kepada kita supaya membersihkan jiwa daripada sifat-sifat dan akhlak-akhlak tidak elok seperti bersangka buruk, dengki, riak, bangga diri dan sebagainya.

“Semua perangai tercela itu, selain sifat luaran yang tidak elok seperti bercakap kasar dan sebagainya perlu dihindari.

“Dalam erti kata lain, setiap tindak-tanduk manusia mestilah bersih zahir dan batin,” jelasnya.

Mengapa kebersihan itu sering kali dikaitkan dengan sifat orang bertakwa? Menjawab persoalan itu, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, ini kerana seseorang yang mendapat tasawur (gambaran) Islam yang jelas, mereka pasti akan sedaya upaya menjaga kebersihan.

DA’I FUAD

Masakan tidak, terasa malu sekiranya seseorang itu menyatakan dirinya seorang penganut agama Islam, tetapi masih tidak berpakaian kemas, penampilan kusut-masai dan tidak menjaga jambangnya dengan baik, terang beliau.

“Sama juga halnya dengan orang yang mengaku beragama Islam, tetapi tidak berusaha menyucikan diri mereka. Sedangkan, Islam itu sebenarnya kehidupan kita. Bahkan, kebersihan itu termasuk daripada pucuk-pucuk keimanan kita kepada ALLAH SWT.

“Jadi seandainya seseorang itu mempunyai sifat syukur kepada ALLAH SWT, maka golongan itu akan memahami pengertian kebersihan dalam erti kata sebenar. Maka tidak hairanlah mengapa mereka mendapat panduan dan sokongan daripada-NYA.

“Ingatlah kebersihan fizikal dan rohani saling berkait rapat antara satu sama lain. Bayangkan apabila kita hendak bertemu ALLAH SWT pada suatu hari nanti, wajib bagi kita untuk bersuci.

Iklan

“Apabila seseorang itu mengingati prinsip asas itu, nescaya dia pasti akan bersuci jika berjumpa dengan makhluk ciptaan ALLAH SWT yang lain.

“Orang yang beriman pasti akan bersuci, sementelah orang yang bersuci itu, insya-ALLAH beriman sekiranya dirinya melakukannya atas nama-NYA,” katanya.

Konsep kebersihan sebenar

Dalam pada itu, Da’i Fuad menegur sikap sebilangan masyarakat yang begitu menjaga kebersihan dari segi luaran, tetapi kurang menitikberatkan dari aspek dalaman. Contohnya, menyimpan hasad dengki dengan orang lain.

Ujar beliau, jelas sekali individu tersebut tidak mengaplikasikan konsep kebersihan yang sebenar mengikut pandangan agama.

Apatah lagi gagal untuk meluruskan hati mereka dengan menyimpan perasaan benci di dalam hatinya.

“Jika diteliti, hasad dengki bermaksud bercita-cita supaya nikmat yang dikurniakan kepada orang dibenci itu hilang. Ini menunjukkan betapa keruhnya hati dan perasaan mereka. Ketahuilah, ini bukan maksud pembersih yang benar.

“Andai kita berhasrat untuk menyucikan tubuh badan masing-masing, niatkanlah sekali untuk menyucikan juga seluruh hati kita,” katanya.

Membicarakan tentang topik kebersihan juga, pendakwah berkenaan mengajak umat Islam untuk mencontohi perilaku Imam al-Ghazali, .

Katanya, ulama tasawuf yang agung itu telah berpesan, ketika kita membasuh kepala dan muka, mintalah kepada-NYA; ‘Ya ALLAH, kalau ada dosa dari mata dan mulutku, ENGKAU alirkanlah dosa itu sepertimana mengalirnya air ini, ya ALLAH’.

Iklan

“Bukan itu sahaja, Imam al-Ghazali waima ketika mandi harus ataupun sunat pasti akan meminta kepada ALLAH SWT agar membersihkan hatinya sepertimana bersihnya jasadnya apabila air melalui pada bahagian tubuhnya. Pada masa sama, ilmuan hebat tersebut juga meminta agar setiap laluan air tadi diampunkan oleh ALLAH SWT.

“Sewajarnya, kita perlu beri perhatian dalam soal kebersihan yang begitu signifikan dalam agama suci ini. Bayangkan membuang sampah merata-rata itu pun dikira sebagai dosa kecil, apatah lagi tidak menghargai alam dan merosakkan pelbagai jenis tumbuhan dan kawasan semula jadi.

“Oleh itu, fahamilah perkara ini secara dasar agar kita sentiasa memelihara diri dan tubuh serta memastikan keseluruhan kehidupan kita berada dalam keadaan baik lagi mulia,” katanya.

Seperkara lagi, Da’i Fuad turut mengingatkan bahawa soal kebersihan dan kesucian, bukan sahaja berkait dengan perihal ibadah semata-mata.

Tidak kurang juga pentingnya adalah perkara yang berkaitan tentang tempat dan ruang ibadah, pakaian serta segenap perkara yang digunakan berkaitan dengannya.

Artikel berkaitan: ‘Contohi Rasululullah yang sentiasa amalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan baginda’ 

“Seandainya kain atau seluar mereka gunakan terkena percikan air kencing, maka ia menjadi najis dan tidak sah dibawa dalam solat.

“Oleh sebab itu, pembersihan terhadap ruang ibadah dan pakaian yang dipakai menjadi keperluan utama untuk memastikan bahawa ibadah kita diterima oleh ALLAH SWT.

“Bahkan, pada awal ibadah fardu lagi, diwajibkan untuk kita berwuduk. Wuduk itu bukan sahaja bertujuan membersihkan diri, malah sebagai persiapan yang suci bagi menghadap ILAHI,” ujarnya.