MACAM-MACAM fiil masyarakat kita ni. Nama saja berpuasa, tapi tabiat buruk sendiri kadangkala sukar untuk dikikis biarpun kita dalam bulan Ramadan ini.

Antara sikap yang mungkin tanpa sedar dilakukan adalah berbohong. Walaupun nampak kecil saja perkara itu, namun sedikit sebanyak akan spoil juga ibadah puasa yang sedang kita lakukan.

Paling ditakutkan andai kita puasa, tapi tak dapat apa-apa. Yang kita peroleh hanya penat berlapar dan tahan dahaga seharian.

Ya ALLAH, minta-mintalah kita dijauhkan daripada perkara ini ya.

Ketahuilah bahawa berbohong ketika puasa itu sedikit sebanyak akan mencacatkan Rukun Islam ketiga yang sedang kita lakukan dari segi pahala.

Malah, perbuatan berbohong sebenarnya termasuk dalam himpunan dosa-dosa besar.

Firman ALLAH SWT: “Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.” (Surah al-Hajj, ayat 30)

Berdasarkan ayat di atas, perbuatan berbohong diselarikan kedudukan dan sebutannya dengan perbuatan menyembah berhala.

Oleh yang demikian, kedua-dua perbuatan itu dianggap sebagai sama iaitu perbuatan berdosa besar.

Justeru, berbohong dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan dosa orang tersebut bertambah beratnya.

Dosa dan pahala seseorang itu boleh berbeza kadar ganjaran serta hukumannya mengikut perbezaan faktor seperti tempat ia dilakukan dan masa ia dilakukan.

Begitupun, perbuatan bohong tidaklah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Iklan

Akan tetapi, perbuatan itu tidak dinafikan boleh mengurangkan pahala puasa seseorang.

Apapun, ia perlu dielakkan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Jadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk mentarbiah diri agar menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat.

Iklan

Ingat, jangan sesekali berbohong. Kelak, buruk padahnya.

Tidak kiralah sama ada kita sedang berpuasa atau tidak, kita dalam bulan Ramadan atau tak, pokok pangkalnya kita tetap tidak boleh berbohong!

(Sumber: Irsyad al-Fatwa Khas Ramadan Siri ke-113: Adakah Berbohong Membatalkan Puasa?, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)