MUSIM haji tahun ini tidak seperti musim-musim sebelumnya. Bayangkan hanya 1,000 orang jemaah yang dibenarkan untuk menyempurnakan ibadah haji tahun ini.

Itulah normal baharu yang harus kita terima dengan hati yang penuh berlapang dada.

Jumlah itu amat kecil jika dibandingkan dengan 2.5 juta jemaah saban tahun. Namun, pandemik Covid-19 menyebabkan langkah mengehadkan para jemaah Tanah Suci terpaksa dilakukan.

Beruntunglah sesiapa yang dapat menjadi tetamu ALLAH pada tahun ini. Semoga mereka terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan ibadah di sana.

Bercakap tentang kesihatan ini, nampaknya kerajaan Arab Saudi begitu menjaga para jemaah.

Memetik portal berita Arabnews.com, mereka bukan sahaja dikuarantin sebelum menunaikan haji sahaja. Sebaliknya, proses sama juga akan dilakukan sebaik sahaja menyempurnakan Rukun Islam ke-5 itu.

Laporan itu turut menyebut, para tetamu ALLAH yang terpilih itu memulakan proses kuarantin sejak Ahad lalu selama tujuh hari.

Ia merupakan antara cara dilakukan bagi memastikan keselamatan mereka di tengah-tengah pandemik yang masih belum ada penawarnya.

Bukan itu sahaja, seorang penuntut di Universiti Islam Madinah, Muhammad Uwais Mohd Rosli yang menetap di Madinah memberitahu, para jemaah juga dibekalkan dengan gelang tangan.

Ia bukanlah gelang biasa. Sebaliknya ‘gelang’ itu mampu mengesan lokasi mereka bagi memastikan para jemaah itu mengikut prosedur operasi standard di rumah sebelum dan selepas haji.

Iklan

Demikian jelas Muhammad Uwais menerusi hantaran yang dikongsikan beliau di laman sosial Facebook Madinah di Hati pada hari ini.

Jom ikuti perkongsian beliau:

“Nampak bersungguh betul kerajaan Arab Saudi untuk menjaga dan mengawal penularan wabak Covid-19 semasa pelaksanaan haji pada tahun ini.

Tak cukup dengan ‘akujanji’ untuk kekal kuarantin di rumah, doktor sendiri datang bersama pasukannya ke rumah setiap jemaah haji kali ini.

Pada awalnya diberikan taklimat dan nasihat kesihatan sambil melakukan ujian swab melalui hidung bakal jemaah haji. Kemudian dicucuknya pula vaksin untuk mengelakkan jangkitan kuman.

Akhirnya disarungkan gelang tangan (seperti dalam gambar) yang boleh mengesan lokasi setiap jemaah sebelum pergi haji lagi untuk pastikan para jemaah ikut SOP kuarantin di rumah sebelum dan selepas haji.

Gelang tangan ini disambungkan terus kepada telefon pintar para jemaah haji. Telefon pintar tersebut wajib sentiasa dibuka Bluetooth, Internet dan juga GPS (alat pengesanan lokasi),” kongsinya.

Gelang tangan jemaah haji
PERKONGSIAN Muhammad Uwais menerusi Facebook Madinah Di Hati tentang gelang tangan para jemaah haji musim ini.

Bukan itu sahaja, Muhammad Uwais turut mencoretkan pesanan doktor agar tidak melanggar arahan kuarantin.

Iklan

“Sebelum doktor pulang pagi semalam, sempat beliau berpesan; ‘Jangan cuba-cuba nak langgar arahan kuarantin ini. Saya akan perhatikan 25 jam sehari pergerakan awak.’

“Haha. Bergurau, tapi pesannya itu jelas nampak keprihatinan beliau tentang kondisi dan kesihatan para dhuyufurrahman bagi memastikan haji tahun ini berjalan dengan lancar,” kongsi beliau.

Semoga para jemaah akan mendapat haji yang mabrur. Pada masa sama, berdoalah agar Covid-19 segera menemui penawarnya dan berakhir.

Doakan juga agar kita dapat jejakkan kaki ke Tanah Suci tahun depan.

Sumber & Foto: Arabnews.com & Facebook Madinah Di Hati