SETIAP kali ingin menukar mood baharu di dalam rumah, tukar cat antara yang menjadi pilihan ramai.

Suasana kediaman akan berubah jika kita pandai memadankan dengan warna yang sesuai.

Begitu juga jika kita ingin menjual atau menyewakan rumah kepada orang lain. Sudah pasti kediaman tadi akan dicat semula.

Segelintir orang lebih selesa untuk mengecat rumah sendiri. Bagi mereka, rasa puas apabila melakukan semuanya atas usaha sendiri.

Namun, dalam proses untuk kita menyediakan kelengkapan bagi mengecat rumah, ada satu perkara yang perlu diutamakan iaitu pemilihan berus cat.

Ini kerana ada banyak berus cat di pasaran. Carilah berus cat yang bukan diperbuat daripada bulu khinzir.

Seandainya kita telah mengecat rumah dengan berus cat yang dikhuatiri diperbuat daripada bulu khinzir, apakah yang patut dilakukan?

Adakah dinding rumah tadi bernajis? Apakah ibadah yang kita dan keluarga lakukan tidak sah kerana menyentuh dan memegang dinding berkenaan?

Memang haram hukumnya jika kita menggunakan dan mengambil manfaat daripada mana-mana bahagian tubuh khinzir.

Akan tetapi, jika seseorang itu berada dalam keadaan yang darurat seperti membawa kepada kematian dan kecelakaan, maka dia dibolehkan untuk mengambil manfaat tadi.

Dalam hal berus cat itu, jika ia hanya dikhuatiri diperbuat daripada bulu khinzir iaitu melibatkan peringkat syak sahaja, usahlah kita hiraukan syak wasangka berkenaan.

Kaedah dalam Islam menyebut: “Keyakinan tidak terluput dengan syak.”

Begitu juga, kaedah lain menyebutkan bahawa: “Apa yang ditetapkan dengan yakin tidak diangkat melainkan dengan suatu yang yakin juga.”

Ia disebabkan perkara syak sebenarnya tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap satu keyakinan.

Firman ALLAH SWT: “Padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).” (Surah al-Najm, ayat 28)

Berus cat bulu babi
PILIHLAH berus cat yang benar-benar diyakini halal.

Bagaimanapun, seelok-eloknya tukarlah berus cat berkenaan dengan berus yang benar-benar diyakini halal bagi mengecat baki ruangan yang masih belum dicat.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW: “Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Justeru, seandainya apa yang kita rasakan tadi sekadar sangkaan sahaja, ia bukanlah sesuatu yang benar-benar pasti dengan bukti yang nyata.

Buangkanlah perasaan syak wasangka itu jauh-jauh dan yakinlah dengan berpegang asal kepada kesuciannya.

Ingatlah bahawa ALLAH SWT tidak memberatkan seseorang hamba-NYA daripada syariat yang ditetapkan oleh-NYA.

Apa pun, kita kena bersikap lebih berhati-hati sebelum membeli berus cat di kedai.

Sumber: Irsyad Al-Fatwa Siri ke-328: Mengecat Rumah dengan Berus yang Disangka daripada Bulu Khinzir, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Freepik