PADA Khamis lepas, cuaca pada sebelah pagi membawa hingga ke petang dirasakan sungguh syahdu. Mentari seolah-oleh menyembunyikan seketika ‘dirinya’ pada sebelah tengah hari.

Memasuki jam 2.53 petang, hujan rintik-rintik mula membasahi bumi. Pukul 3.16 petang, hujan dari celah-celah awan turun lebat membawa rahmat ke atas penduduk muka bumi.

Suasana yang begitu indah itu seolah-olah seperti meraikan kegembiraan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Perasaan Senorita bercampur-baur ketika itu. Terbit rasa hiba, rindu, riang, terharu, namun pada saat tertentu lebih banyak berasakan bahawa diri ini terlalu kecil, naif dan hina kerana kerapuhan iman dan takwa meskipun usia tidak muda lagi.

Mendengar tazkirah dan ceramah Ustaz Wadi Anuar menerusi laman Youtube sejak berbulan lalu, membuatkan Senorita dan barangkali kepada semua pendengar merenung diri sendiri.

Betapa sayangnya baginda kepada umatnya, sehinggakan pada akhir hayat Rasulullah, baginda berasa risau memikirkan bagaimanakah umatnya selepas kewafatannya. Perkara itu ada disebutkan oleh Imam At-Tabarani dalam kitab Al-Mu’jam al-Kabir.

Al-Quran juga telah menyifatkan baginda sebagai uswatun hasanah atau sebaik-baik teladan yang perlu dicontohi. Akhlak Rasulullah juga adalah al-Quran.

Sesungguhnya, baginda tidak akan berbuat sesuatu kecuali berdasarkan panduan wahyu, sebagaimana firman-NYA: “Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Surah An-Najm, ayat 3 hingga 4)

Bercakap tentang aspek pengurusan baginda pula, Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Nur Najwa Hanani Abd Rahman berkata, aspek pengurusan Rasulullah SAW adalah (pengurusan) yang universal (syamil), baik dari segi waktu mahupun tempat.

“Ia (pengurusan) baginda dapat diterapkan di mana-mana, bila-bila dan oleh sesiapa sahaja,” katanya kepada SinarPlus.

Beliau kemudian memberi beberapa situasi menggambarkan pengurusan hebat dan ideal baginda:

i) Seorang guru boleh menjadikan Rasulullah sebagai contoh dalam mengurus murid-muridnya.
-Pengurusan Rasulullah SAW terbukti menghasilkan murid-murid yang luar biasa, misalnya Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, Saidina Umar Al-Khatab, Saidina Uthman Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib.

ii) Seorang panglima tentera boleh mencontohi pengurusan Rasulullah. dalam melahirkan tentera-tentera yang hebat seperti Khalid ibn al-Walid, Saidina Ali Abi Talib, Saidina Umar Al-Khatab dan Usamah ibn Zaid.
-Khalid adalah panglima perang yang tiada tandingan di medan perang, manakala Usamah adalah panglima perang termuda yang masih berumur belasan tahun.

(Baca juga: Maulidur Rasul: Ini doa yang sering kali dilazimkan oleh Rasulullah SAW… )

(Baca juga: [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Begitu mulianya akhlak Nabi Muhammad SAW yang perlu kita tahu…)

iii) Ahli ekonomi atau perniagaan juga boleh mencontohi Rasulullah dalam melahirkan ahli korporat yang dermawan seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman dan Abdurrahman bin Auf.
-Abu Bakar pernah menginfakkan ratusan unta beserta isinya ketika Madinah mengalami kegawatan.

iv) Seorang ilmuwan boleh mencontohi Rasulullah dalam melahirkan ilmuwan dan para pemikir ulung.
-Misalnya Saidina Umar yang terkenal dengan ijtihad-ijtihadnya yang hebat. Abu Hurairah dengan kekuatan hafalannya dalam mengumpulkan hadis. Abdullah bin Umar, Abdullah bin Mas’ud dan ibnu Abbas, Ali dan Aisyah adalah pakar-pakar hukum hakam yang tersohor.

Ujar Dr Nur Najwa lagi, dalam mendidik manusia yang sederhana, wara’ (hati-hati) dan tawaduk, kita dapat melihat anak didik Rasulullah yang lain. Misalnya Abu Dzar Al-Ghifari, Ali Bilal, Abu Hurairah dan Abdullah Ummi Maktum.

“Hampir 100 peratus anak-anak didik Rasulullah iaitu para sahabat memiliki sifat dan peribadi yang unik dan bersejarah berkat kredibilti baginda dalam menguruskan umatnya,” katanya.

Selain itu, kehebatan pengurusan Rasulullah juga dapat kita saksikan dalam urusan rumah tangga. Bayangkan 11 orang isteri baginda mampu menjadikan keluarganya sebagai keluarga yang sakinah mawaddah wa rahmah. (tenang, kasih saying dan rahmat) sebagaimana dalam al- Quran yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cemerlang dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Rum, ayat 21)

KEMANUSIAAN

Sesungguhnya, Rasulullah adalah pengurus yang bersifat kemanusiaan. Corak pengurusannya sesuai dan selaras dengan kehidupan manusia kerana Rasulullah adalah manusia biasa.

Sehinggakan semua sikap, perilaku dan prestasinya dapat kita contohi, kata pensyarah berkenaan.

Bezanya, Rasulullah menerima wahyu dan terlindung dari dosa dan kesalahan (ma’shum) sementara kita tidak. Sebagaimana firman Allah SWT:
“Katakanlah, sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu yang diwahyukan kepadaku ‘Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa’. Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalm beribadah kepada Tuhannya.” (Surah Al-Kahfi, ayat 110).

(Baca juga:[SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Kalau tak berselawat, itu tandanya kita bakhil…)

Terdapat kisah seorang nenek datang kepada Rasulullah dan mohon agar ia masuk syurga bersama Rasulullah.
Maka baginda menjawab: “Wahai hamba Allah, sesungguhnya syurga tidak boleh dimasuki oleh orang tua.”

Kemudian nenek tersebut terus pergi sambil menangis. Kemudian Rasulullah memanggilnya dan berkata: “Engkau tidak boleh masuk syurga dalam keadaan tua bangka, sebab Allah akan membangkitkan kembali para wanita tua dalam umur yang masih muda.”

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) secara langsung. Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan. Penuh kasih sayang sebaya umurnya.” (Surah Al-Waqi’ah, ayat 35 hingga 37)

Wanita tua itu akhirnya tertawa riang mendengar senda gurau Rasulullah itu. Menurut riwayat, wanita tua itu adalah ibu saudara Rasulullah yang bernama Safiyyah.

(Baca juga: [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL]: Ada dua sunah nabi yang dilupakan…Ini yang perlu kita tahu dan amalkan)

(Baca juga: Rasa sebak dan sayu bila melihat kayu sugi peninggalan Rasulullah SAW ini)

Kongsi Dr Nur Najwa lagi, kadangkala Rasulullah bergurau juga bersama sahabatnya. Baginda juga tersenyum hingga nampak gigi gerahamnya.

Saidina Umar bin Al-Khatab berkata: “Dulu aku melihat Hasan dan Husin di atas leher Nabi, aku berkata, ‘Sebaik-baik tunggangan adalah yang kamu tunggangi.’ Nabi menyahut: “Dan sebaik-baik penunggang adalah kalian berdua.”

Dalam pelbagai siri peperangan pula, Rasulullah juga seperti manusia biasa.

“Baginda menggunakan alat pelindung. Misalnya dalam Perang Uhud, Rasulullah memakai dua baju besi sebagai perisai dan dilindungi oleh para sahabat. Padahal baginda dijamin keselamatannya oleh ALLAH.

“Dalam perang tersebut, Rasulullah menderita dan luka-luka. Beberapa buah pecahan rantai besi mengenai wajahnya. Selain itu, beberapa batang gigi Rasulullah juga patah dan topi besinya pecah,” kongsi ahli akademik berkenaan.

Meskipun dijamin masuk syurga, Rasulullah tetap sibuk beribadah kepada Allah sehingga bengkak kakinya. Sehinggakan ketika Aisyah RA bertanya: “Bukakankah engkau telah dijamin masuk syurga? Rasulullah menjawab: ‘Tidak bolehkan aku menjadi hamba yang bersyukur’.”

Segala huraian ringkas mengenai Nabi Muhammad SAW dalam ruangan pojok ini hanya secebis daripada parameter besar peribadi baginda. Sebenarnya terlalu banyak untuk diceritakan. Terlalu banyak…

Namun besar harapan Senorita agar umat Islam sentiasa mencinta baginda yang tidak pernah sesekali melupakan umatnya. Cintailah Rasulullah SAW juga merupakan satu tuntutan agama.

Tuntutan tersebut ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga diriku menjadi orang yang paling dicintai melebihi ibu bapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Bagi mendapatkan jaminan syafaat daripada Nabi Muhammad SAW, marilah kita sama-sama membasahkan bibir dengan berselawat ke atas baginda pagi, petang, siang dan malam.

Sumber foto: Pixabay, Freepik dan Unsplash