Comelnya kek watak kartun, tapi apa hukum beli dan memakannya ya?

Kek watak kartun
March 27, 2020
Nurulfatiha

ALAHAI comel betul tengok kek ada gambar watak kartun. Nak makan pun rasa sayang sangat.

Membayangkan kek itu pun sudah terliur dibuatnya. Apatah lagi, jika kita nampak kek itu di depan mata sendiri.

Itulah kek yang seringkali menjadi pilihan ramai ibu bapa untuk membuat tempahan sempena hari jadi anak masing-masing. Anak-anak pula bukan main seronok sebab dapat kek watak kartun yang disukai mereka.

Begitupun, masih ada segelintir orang lagi yang musykil untuk membeli dan makan kek berkenaan kerana ia melibatkan lukisan seolah-olah makhluk bernyawa.

Apakah pandangan Islam tentang hal ini? Bolehkah kita membeli dan makan kek watak kartun berkenaan.

Jom kita ikuti apa pandangan pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki tentang perkara ini.

“Pertamanya, dari segi hukum, tidak boleh mengukir atau melukis apa sahaja bentuk benda hidup secara lengkap.

Ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dalam hadis sahih riwayat Imam Muslim: “Setiap pelukis (pengukir) diseksa di dalam neraka, dijadikan setiap gambar yang digambarkan sebagai ruh, maka ia menjadi alat penyeksanya di dalam neraka jahanam.”

Berdasarkan hadis di atas, Imam Zakaria Al-Ansari dalam kitabnya menyebut, haram mengukir apa-apa yang berbentuk haiwan sama ada di atas tanah atau pada pakaian dan lain-lain.

Akan tetapi, jika apa yang diukir itu bukan dengan bentuk yang lengkap seperti diukir atau dilukis dengan ketiadaan kepala atau separuh kepala atau tiada tangan, maka hukumnya dibenarkan mengikut pendapat Imam Ikrimah.

Menjawab pertanyaan di atas, harus hukumnya untuk membeli dan makan kek yang berukir kartun selagi mana bahan buatannya halal. Ia disebabkan ia bukanlah berbentuk lukisan asal makhluk bernyawa. Namun demikian, jika ia dielakkan adalah lebih baik,” jelas beliau.

Sudah tahu bab hukumnya, jangan rasa waswas lagi ya. Jika boleh dielakkan, kita sama-sama cuba berbuat demikian untuk kebaikan bersama.

About Nurulfatiha

Biodata Penulis