SIFAT pengotor sememangnya bertentangan dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya supaya menjaga kebersihan.

Pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz menjelaskan, kekotoran itu bukan sahaja dari segi luaran seseorang, malah merangkumi akidah, syariat, akhlak dan muamalat.

Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz.

“Dari segi akidah misalnya, perbuatan seseorang merosakkan kepercayaan kepada ALLAH SWT yang dicampur adukkan dengan fahaman jahiliah dan perkara karut-marut. Jika melibatkan kekotoran dari segi syariat, ia melibatkan perihal hukum-hakam seperti makan benda yang kotor dan tidak kisah benda yang halal mahupun haram.

“Mudah kata, umat Islam dituntut menjaga kebersihan bukan sahaja dari segi zahir, tetapi juga batiniah (kerohanian). Andai mereka tidak ambil kisah dari segi syariat, makanannya, kebersihan pakaian dan seumpamanya, sukar untuk mereka mendekatkan diri dengan YANG MAHA ESA,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Dalam pada itu, agamawan tersebut mengingatkan bahawa berdosa andai kita bersifaf pengotor. Namun, dosa berkenaan bergantung kepada tindak-tanduk seseorang.

“Terdapat dosa yang berat, contohnya pada badan seseorang itu ada najis seperti sentuhan khinzir dan tahi cicak. Ada pula melibatkan kesalahan yang masuk dalam kategori dosa ringan dan boleh kita beristighfar serta bertaubat dengannya.

“Dosa seperti mendedahkan aurat, melalak dan berpakaian tidak mengikut syariat, ini juga termasuk dalam kategori tidak menjaga kebersihan tubuh badan.

“Sedangkan ALLAH SWT telah memberikan nikmat yang cukup kepada kita. Banyak pakaian mengikut syariat yang mampu kita beli untuk menutup badan kita.

“Usahlah kita kotorkan badan dengan membiarkan orang lain memerhatikan tubuh kita. Tindakan itu menyebabkan mata orang lain yang melihat berdosa, telinga mahupun tangan orang lain juga berdosa apabila menyentuh kita seperti berjabat tangan dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Iklan

Begitupun, bagi orang yang berkelakuan sedemikian rupa kerana kejahilannya, jelas Hassan Mahmud, semua itu boleh akan diampunkan sekiranya mereka bertaubat dengan bersungguh-sungguh.

“Misalnya, orang yang termakan benda-benda haram boleh menyucikan dirinya dengan bertaubat dan beristighfar kepada ALLAH,” terangnya.

Iklan

Bukan itu sahaja, pendakwah itu berkata, sikap jelik tersebut juga boleh membawa penyakit kepada tubuh badan dan masyarakat.

“Ketahuilah, orang yang bersih itu amalannya diterima oleh ALLAH SWT. Mereka juga dijanjikan ganjaran pahala di akhirat. Bahkan, rakan-rakan sekeliling juga rasa selesa, tambahan orang yang jaga kebersihan biasanya akan dikurniakan kesihatan yang baik.

“Justeru, jangan campakkan diri kita kepada keburukan dan kekotoran. Sebaiknya, ikutilah cara Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mengamalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan tidak kiralah sama ada ketika hendak tidur, makan dan sebagainya,” pesan beliau.