GARA-GARA sikap mementingkan diri sendiri, akhirnya anak menjadi mangsa. Nafkah anak diabaikan begitu sahaja. Itulah realiti kes yang berlaku kepada segelintir pasangan suami isteri yang sudah berpisah.

Jika dibelek di dada akhbar, televisyen mahupun media sosial, isu nafkah kerap kali menjadi topik perbincangan hangat.

Dalam banyak keadaan, bapalah yang lebih kerap dilihat culas menunaikan tanggungjawab berkenaan. Mereka selalu menganggap tugas sebagai ketua keluarga telah selesai selepas terlerainya ikatan perkahwinan dengan bekas isteri.

Lebih parah lagi, apabila ada pula segelintir orang sanggup berbuat demikian lantaran dendam kesumat dan geram berpanjangan terhadap pasangan.

Disebabkan itulah, akhirnya perkara yang mudah seperti itu terpaksa dibawa ke muka pengadilan. Maka, bermulalah episod turun naik mahkamah syariah. Kadangkala kes berjalan selama bertahun-tahun lamanya gara-gara tiada kerjasama daripada bekas suami atau isteri.

Walaupun mahkamah telah memberi kata putus, namun masih ramai yang berani ingkar. Mereka lebih rela disumbat ke dalam penjara.

Buktinya, lapan lelaki berusia antara 20 hingga 40-an telah dijel selama enam tahun sebagaimana dilaporkan oleh media tempatan tiga tahun lalu. Semuanya gara-gara liat membayar nafkah selepas bercerai dalam kes di Terengganu.

Ketahuilah bahawa kewajipan memberi nafkah kepada anak tidak akan terputus sekalipun hubungan suami isteri sudah berakhir.

Perpisahan hanya melibatkan ibu bapa, tetapi tidak kepada anak-anak. Mereka tetap darah daging kita sampai bila-bila.

Adakah pemberian nafkah ketika masih dalam ikatan perkahwinan dan selepas berpisah masih lagi sama? Apa pula natijahnya jika si bapa gagal membayar nafkah zuriat sendiri?

Jenis nafkah

Bagi membincangkan topik hangat itu, Sinar Islam mengajak pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz membicarakan lanjut tentang perihal berkenaan.

HASSAN MAHMUD

Memperincikan perkara itu, Hassan Mahmud menjelaskan, nafkah merupakan kewajipan ayah kepada anak berdasarkan kemampuannya. Ia perlu diberikan sehinggalah darah dagingnya itu berkahwin.

“Andai kata, sebelum tempoh berkenaan, ibu bapanya berpisah dan tidak duduk sekali, si bapa masih bertanggungjawab memberi nafkah.

“Ia bukan melibatkan nafkah belanja saja, tetapi juga nafkah pelajaran, dari segi keselamatan, tempat tinggal, wang ringgit dan satu lagi adalah nafkah kasih sayang. Ia tak boleh putus, (ayah) kena hubungi dan jumpa dengan anaknya.

“Ingatlah, dia (ayah) cuma berpisah dengan ibunya, tapi tidak dengan anak. Pendek kata, dengan anak, dia langsung tak terputus hubungan,“ tegasnya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Sekiranya berlaku apa-apa perkara kepada anak-anaknya, tegas agamawan itu, si bapa tadi perlu bertanggungjawab. Ia termasuklah urusan persekolahan atau sakit demam anak.

“Mahkamah syariah boleh ambil tindakan jika bapa lepas tangan jika kes seperti ini dibawa ke muka pengadilan.

“Seorang bapa tidak boleh lari daripada tanggungjawabnya menjaga anak, menyekolahkan anak, makan dan minum, tempat tinggal, keselamatan dan kesihatan anak mereka.

“Semua perkara itu tiada tolak ansurnya selagi mana anak itu merupakan darah dagingnya,“ ujar beliau.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin menyusui secara sempurna. Dan kewajipan ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang sepatutnya. Seseorang tidak dibebani lebih daripada kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kerana anaknya dan jangan pula seorang ayah (menderita) kerana anaknya. Ahli waris pun (berkewajipan) seperti itu juga. Apabila kedua-duanya ingin menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan dan bermesyuarat antara kedua-duanya, maka tiada dosa atas kedua-duanya. Dan jika kamu ingin menyusukan anakmu kepada orang lain, maka tiada dosa bagimu memberikan pembayaran dengan cara yang patut. Bertakwalah kepada ALLAH dan ketahuilah bahawa ALLAH MAHA MELIHAT apa yang kamu lakukan.“ (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Kepada satu soalan, Hassan Mahmud menjelaskan: “Jika nafkah anak tidak dibayar, ia bukan saja jadi hutang di akhirat. Di dunia pun, bapa tadi boleh kena hukuman jika ingkar perintah mahkamah.

“Fahamilah bahawa ibu bapa bertanggungjawab menjaga dan menyusukan anak hingga usia dua tahun, kemudian hadanah, pembelajaran dan lain-lain. Itulah peringkat-peringkat (kewajipan nafkah kepada anak) dalam Islam,“ katanya.

Tuntutan

Senada dengan Hassan Mahmud ialah Peguam Syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah. Pengamal undang-undang itu sekali lagi menegaskan, tiada perbezaan tetang nafkah anak sama ada ketika masih mempunyai hubungan suami isteri atau sudah berpisah.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

“Pada saya, keperluan anak tetap sama saja sama ada (ketika) dalam perkahwinan ataupun selepas perceraian, yang membezakannya adalah pengurusan nafkah anak itu sendiri,” katanya ketika panel dalam program bual bicara Borak Bibir Merah siri keenam bertajuk ‘Nafkah Anak Selepas Ibu Bapa Bercerai: Ibu Kena Tuntut, Ayah Jangan Buat-Buat Lupa!’ anjuran SinarPlus di Studio Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Sekiranya ibu mampu menanggung nafkah anaknya sendiri, jelas beliau, tiada masalah jika wanita itu enggan membuat tuntutan nafkah anak di mahkamah.

“Jika ada masalah (seperti) ibu yang terpaksa menanggung nafkah anak dan si bapa mengabaikannya atau ibu inginkan jaminan supaya bapa tidak culas pada masa akan datang, menjadi keperluan kepada ibu-ibu tersebut untuk menuntut nafkah anak di mahkamah syariah.

“Terdapat dua jenis nafkah (yang boleh dituntut) iaitu keperluan bulanan yang merangkumi makan minum, tempat tinggal, pakaian, perubatan, kesihatan dan keperluan tahunan iaitu perbelanjaan perayaan dan persekolahan,” jelasnya.

Seperkara, peguam itu turut memberitahu, tuntutan nafkah berkenaan boleh diperbaharui sesuai dengan keperluan mengikut usia anak masing-masing.

Nafkah anak
NAFKAH kepada anak-anak bukan sahaja merangkumi wang ringgit, tetapi juga meliputi pelajaran, keselamatan, tempat tinggal dan kasih sayang.

Memperincikan lebih lanjut, jelas Nurain Akmal Khairunnisa, tiada pengiraan spesifik untuk menentukan berapa kadar nafkah bagi seorang anak.

“Setiap anak itu berbeza keperluannya. Jadi, apabila ada masalah seperti ini (tuntutan nafkah), kita minta ibu menyenaraikan keperluan semasa anak tersebut dengan perincian berapa jumlahnya sebulan. Dari situ, kita boleh nampak keperluan seorang anak dalam sebulan.

“Bagi ibu yang menuntut nafkah anak, perintah yang dikuatkuasakan oleh mahkamah adalah sehingga umur anaknya 18 tahun. Selepas 18 tahun, jika anak itu masih lagi ingin ‘dinafkahi’ oleh bapanya, dia kena mewakili diri sendiri di mahkamah untuk membuat tuntutan (nafkah).”Umur maksimum terima nafkah adalah sehingga anak tadi menamatkan ijazah yang pertama iaitu dalam usia sekitar 23 atau 24 tahun. Seandainya sebelum usia berkenaan, anak tadi sudah berkahwin atau berkerjaya, maka terputuslah (nafkah), tidak kiralah sama ada anak lelaki atau perempuan,” jelas beliau.

Tidak mampu

Bagaimana jika seorang bapa tidak mampu membayar nafkah kerana dibuang kerja? Nurain Akmal Khairunnisa menasihatkan para isteri dinasihatkan untuk ke mahkamah bagi membuat tuntutan nafkah anak di mahkamah syariah.

“Mahkamah akan menimbang tara kemampuan bapa itu dari sudut yang mana ‘selagi bapa itu bekerja, selagi itu ada pendapatan, selagi itu akan ada kemampuan’. Mesti akan ada nafkah anak daripada bapa, cumanya akan ditimbang tara oleh mahkamah,” katanya.

Bagi kes suami yang telah meninggal dunia, tanggungjawab nafkah anak akan berubah kepada ahli waris suami. Ia seperti bapa dan datuk di sebelah suami, terangnya.

“Namun, ia tidaklah secara automatik. Sebaliknya si ibu kena menuntut nafkah berkenaan. Jika tiada ahli waris lelaki sebelah bekas suami, maka tanggungjawab itu akan beralih kepada waris perempuan sebelah suami seperti ibu dan kakaknya,” katanya.

Iklan

Sekalipun seorang wanita itu telah berkahwin lain dan anak hasil perkahwinan terdahulu tinggal bersamanya, tegas peguam syarie daripada Shazril Khairy Mustafa & Associates itu, tanggungjawab nafkah masih lagi di bawah tanggungan ayah kandungnya.

“(Tanggungan nafkah) ayah tiri itu untuk anak semasa, tetapi menjadi satu ihsan kalau ayah tiri itu hendak menanggung nafkah anak tirinya,” katanya.

Nafkah anak
KEPERLUAN anak tetap sama ketika ibu bapa masih dalam perkahwinan atau selepas berpisah.

Menjawab satu soalan lain, peguam itu menjelaskan: “Sebenarnya, tak disyaratkan pun dalam mana-mana enakmen undang-undang Islam bahawa ibu yang tidak bekerja tak boleh dapat hak jagaan anak.

“Jadi, apabila ibu yang tak bekerja, tapi anak itu di bawah jagaannya, ibu ini kena bersikap proaktif. Dia kena pergi ke mahkamah untuk membuat tuntutan nafkah. Ibu yang mendapat jagaan anak ini kena bertindak untuk mendapatkan keadilannya,” jelasnya,

Justeru, jangan sesekali malas dalam menjalankan tanggungjawab terhadap zuriat. Usah sia-siakan amal kebaikan kita dengan ‘hutang’ yang satu ini.

Tuntut nafkah anak walaupun mampu tanggung – Mawar Karim

Bagi wanita yang sudah berpisah dengan pasangan masing-masing, amat penting untuk mereka membuat tuntutan nafkah anak di mahkamah.

Pendapat itu disuarakan usahawan jelita, Mawar Abdul Karim. Baginya, nafkah itu merupakan hak wajib anak-anak walaupun ibu mampu memenuhi keperluan mereka.

MAWAR

“Kadangkala kita mengalami masalah kewangan. Kita juga tidak tahu pasang surut (kehidupan) kita bagaimana. Pada saya, seorang bapa yang bagus, dia tak akan pernah lupa tanggungjawab walaupun sudah berpisah.

“Sama ada ketika dalam perkahwinan atau sudah berpisah, tanggungjawab nafkah perlu dilunaskan. Walaupun kita dan pasangan hadapi masalah, kita tak mahu anak terkesan.

“Kepada para wanita dan golongan ibu tunggal, tuntutlah nafkah anak. Kalau boleh, jangan rujuk atau minta nasihat orang terdekat seperti ahli keluarga semata-mata.

“Sebaliknya, rujuklah peguam dan pejabat agama untuk dapatkan jawapan lebih tepat,“ katanya dalam program Borak Bibir Merah bertajuk ‘Nafkah Anak Selepas Ibu Bapa Bercerai: Ibu Kena Tuntut, Ayah Jangan Buat-Buat Lupa!‘ anjuran SinarPlus di Studio Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Iklan

Meskipun tiada masalah berhubung dengan nafkah anak selepas berpisah dengan bekas suami, pelakon Fizo Omar lebih setahun lalu, Mawar, 31, masih dalam proses tuntutan hak interim hadanah bagi anaknya, Wan Maryam, dua tahun.

“Saya fikirkan masa depan dia (Maryam) hingga umur 18 tahun. Apa yang saya tuntut adalah keadilan. Ia juga supaya anak saya tak keliru kerana sekejap duduk dengan bapanya, sekejap dengan saya. Kes saya masih berjalan di mahkamah. Cuma buat masa ini, Fizo mendapat hak jagaan dua minggu sekali,“ katanya.

Mawar menambah, dalam bab nafkah anak, perbincangan bersama bekas suami sangat penting. Ia perlu dilakukan walaupun barangkali masing-masing masih menyimpan perasaan sakit hati.

“Mahu atau tidak, kita kena hadap juga muka (bekas suami), temukan anak dengannya, senaraikan segala kos terlibat. Sama ada dia nak beri ataupun tidak, terpulang kepadanya. Konsepnya adalah ukur baju di badan sendiri dan anak itu ingin dididik dengan cara yang bagaimana.

“Saya percaya, bapa yang bertanggungjawab akan lakukan (beri nafkah). Jika tidak, mereka akan jawab di akhirat kelak,“ jelas beliau.

Selebriti itu menasihatkan masyarakat agar tidak memberikan apa-apa label kepada wanita yang turun naik mahkamah demi menuntut nafkah anak masing-masing.

“Jangan kata mereka sombong atau ego. Itu hak dia. Mereka sendiri yang hadapi, bukan kita. Kepada wanita yang berdepan dengan perkara ini, pertama sekali, kita kena bermusahabah diri.

“Tak semua perkara yang kita buat betul, jadi mengadulah dengan ALLAH. Percayalah apa yang berlaku itu akan mendekatkan diri kita kepada ALLAH,“ ujar beliau.