Dapatkan ‘smart’ pahala Ramadan, bermula sekarang

April 4, 2020
Oleh Nurulfatiha

JIKA dihitung, lagi 20 hari kita akan masuk bulan Ramadan. Pejam celik, pejam celik memang tak lama dah bulan puasa akan tiba.

Lazimnya ketika ini kita sudah sibuk buat persiapan untuk berhari raya. Ya, masa inilah kita nak rasa sampel kuih raya dan kemudian buat tempahan. Mestilah nak rasa dulu kuih raya sebelum buat tempahan, bukan?


Namun dalam keadaan Tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) ini memang tak bolehlah kita nak buat macam dulu lagi. Sebaiknya, patuhi sahaja arahan kerajaan kerana ia demi kebaikan bersama.

Namun dengan masa yang ada bersama keluarga sekarang, kita kena manfaatkannya. Oleh sebab bulan Syaaban pula datang ketika musim PKP, ada baiknya jika kita tidak melepaskan waktu yang ada untuk membuat persiapan menghadapi bulan Ramadan al-Mubarak.

Itulah yang disarankan oleh pendakwah, Senator Ustazah Asmak Husin kepada Sinar Plus baru-baru ini.

Iklan

USTAZAH ASMAK

“Barangkali sebelum ini kita ada buat persiapan, namun ada sedikit kekangan disebabkan sibuk dengan kerja dan sebagainya. Namun kini, gunakan peluang PKP ini untuk bermuhasabah, membina hubungan dan ‘membangunkan’ Syaaban bersama keluarga.

“Apatah lagi tidak lama lagi kita akan menyambut bulan Ramadan dijangka pada hujung bulan ini,” katanya kepada Sinar Plus.

Iklan

Bagi membuat persiapan bulan Ramadan, kata Ustazah Asmak, kita perlukan persediaan fizikal atau jasmani yang mana ia memerlukan aktiviti senaman agar badan sihat dan cergas.

“Boleh lakukan aktiviti seperti joging bersama keluarga di rumah. Kalau boleh, kita mahukan supaya bulan puasa nanti tidak demam dan badan sentiasa sihat serta cergas. Bukan apa, kita mahu kejar ibadah sebanyak mungkin antaranya solat tarawih, solat tahajud dan sebagainya selama 30 hari. Ia termasuklah soal penjagaan pemakanan yang kena bermula dari┬ásekarang.

“Bukan itu sahaja, kita juga memerlukan persediaan dari sudut ibadah. Ketika musim PKP pada bulan Syaaban ini, ayuh kita saling ingat mengingati ilmu-ilmu berkaitan dengan bulan Ramadan. Barangkali, kita boleh lakukan tazkirah pendek selepas Maghrib atau Zuhur mengikut kesesuaian dan memberikan fokus kepada Ramadan,” jelas beliau.

Untuk mendapatkan pahala yang sempurna pada bulan Ramadan, Ustazah Asmak mencadangkan agar perihal fikah berkaitan Ramadan turut dititikberatkan.

“Siapa yang tidak mahukan smart pahala iaitu pahala berganda-ganda ketika Ramadan, bukan? Jadi mulakan belajar fikah Ramadan dari sekarang. Inilah juga masanya kita hendak memperbetulkan segala ibadah kita agar pahalanya sempurna. Berdoalah agar puasa kita nanti diberikan pahala, bukan hanya dapat letih dan dahaga.

“Di samping itu, jangan lupa dengan persediaan rohani iaitu memupuk keimanan. Fahamilah apa itu beriman kepada ALLAH, rasul, qada dan qadar, hadi kiamat, al-Quran dan sebagainya. Tiada salahnya jika kita mengadakan perbincangan sebegini dengan anak-anak,” ujar beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis