NAMA Al-Khazini tidak pernah lekang daripada bidang sains. Sumbangan dan pencapaiannya memang tiada tolok bandingnya. Malah, ilmuan Islam itu pernah mendapat jolokan ahli fizik terhebat dalam sejarah oleh Editor Kamus Saintifik Bibliografi, Charles C.

Pemilik nama sebenar Abu Fath Abdu Ar-Rahman atau Abu Abdu Ar-Rahman Mansur Al-Khazini yang berbangsa Greek diletakkan antara individu paling berjaya pada abad ke-12.

Sisi peribadinya begitu tragik untuk diamati. Beliau sebenarnya anak seorang hamba dari Merv, Turkmenistan. Lebih menyayat hati, ibu bapanya ditakdirkan meninggal dunia semasa Al-Khazini masih kecil lagi. Meskipun dihambat rasa duka, namun semangat beliau terhadap ilmu sangat tinggi.

Sejak kecil lagi, minatnya untuk belajar telah mendorong dirinya kerap menjejakkan kaki ke perpustakaan. Gara-gara minatnya itulah, pada usia15 tahun, beliau meminta izin daripada tuannya, Ali Marwazi untuk bekerja di gedung ilmu berkenaan.

Ali Marwazi membenarkannya kerana sangat yakin pada suatu hari nanti hambanya itu bakal menjadi seorang cendekiawan hebat.

Saban malam, Al-Khazini bertungkuslumus menimba ilmu pengetahuan melalui kuliah yang didengarinya melalui tingkap-tingkap istana. Ternyata usaha dan peritjerihnya telah menjentik emosi tuannya sehinggakan beliau membawa bersama Al-Khazini mengikuti kelas-kelas ilmu berkenaan di istana.

Akhirnya, Ali Marwazi memerdekakan tokoh hebat itu. Sejak itu, Al-Khazini terus mempelajari pelbagai cabang ilmu antaranya astronomi, fizik dan ilmu-ilmu agama.

Al-Khazini disifatkan seorang yang bersifat rendah diri. Sikapnya itu membuatkan sultan sangat menyenanginya sehinggakan baginda mahu menghadiahkan istana kepadanya kerana kedudukan ilmu beliau yang tinggi.

Begitupun, semua itu ditolak secara baik oleh Al-Khazini. Baginya, cinta terhadap ilmu melebihi segala-galanya termasuk perihal kebendaan.

(Artikel berkaitan: Al-Biruni ilmuan genius bidang astronomi, namanya turut diabadikan pada kawah bulan)

Dunia astronomi, graviti

Al-Khazini
ANTARA kajian dan penemuan Al-Khazini yang menjadi rujukan ramai sehingga pada hari ini.

Terlalu banyak sumbangannya terhadap dunia sehingga ke hari ini dan yang paling dominan adalah dalam bidang astronomi.

Beliau terkenal dengan penemuan Jadual Sinjaric yang dinukilkan dalam risalahnya berjudul az-Zij as-Sanjari. Naskhah itu memerihalkan tentang jam air 24 jam yang dirancang untuk tujuan astronomi. Ciptaan beliau itu merupakan antara jam astronomi pertama yang dikenali dalam dunia Islam.

Selain itu juga, Al-Khazini juga antara individu terpenting yang menjelaskan tentang kedudukan 46 bintang.

Menerusi karya monumentalnya, Al-Khazini’s Zij as-Sanjari, semua itu diterangkan secara terperinci sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani oleh Gregory Choniades pada abad ke-13. Bahkan, buku berkenaan menjadi rujukan terpenting para saintis dan pelajar pada Empayar Byzantine.

Dalam bidang fizik pula, menerusi karyanya berjudul Mizan al-Hikmah, AlKhazini memperincikan tentang pemikiran dan teori mengenai keseimbangan hidrostatik, teori statistik atau sains keseimbangan (graviti) dan hidrostatik.

Mizan al-Hikmah turut membincangkan prinsip keseimbangan hidrostatik dengan tahap ketepatan objek. Selain itu, beliau juga mengisahkan perkembangan sains dari saintis zaman sebelumnya sehinggalah sezaman dengannya.

Pendek kata, Al-Khazini antara saintis Islam yang merintis ilmu berkaitan dengan graviti. Ilmu berkenaan kemudiannya berkembang di Eropah dan diletakkan sebagai dasar pengembangan mekanik klasik pada era Renaissance Eropah.

Menurut riwayat yang masyhur, beliau wafat sekitar tahun 1130 Masihi.

PROFIL

Iklan
Al-Khazini
AL-KHAZINI

Nama penuh: Abu Fath Abdu Ar-Rahman atau Abu Abdu Ar-Rahman Mansur Al-Khazini

Gelaran: Al-Khazini Asal: Merv, Turkmenistan

Tahun kelahiran: 1077 Masihi

Tahun kematian: 1130 Masihi

Kepakaran: Astronomi, fizik, biologi, kimia, matematik dan falsafah

Iklan

Sumbangan: Perintis teori graviti, menentukan penunjuk arah kiblat di kebanyakan negara Muslim, mencipta jam air 24 jam untuk tujuan astronomi dan kajian kedudukan 46 bintang

Karya agung: Mizan al-Hikmah dan Zij as-Sanjari

BAIT MUTIARA

“Darjat seseorang ditentukan oleh akal dan ilmu yang dimilikinya, bukan kehebatan tempat tinggalnya.” -Al-Khazini

Sumber & Foto: Dr Yazid Abdul Manap (Menerokai Kegemilangan Sains Islam terbitan Karya Bestari), https://gulfnews.com/, Republika.co.id, muslimheritage.com, researchgate.net & historyofsciences.blogspot.com