KADANGKALA dalam bab mendidik anak-anak, kita sebagai ibu bapa selalu bertegas dengan mereka, selain menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi.

Seandainya ia tidak dipenuhi, hukuman denda menanti. Paling tidak pun, anak tersebut pasti dimarahi oleh kedua ibu bapanya gara-gara tidak mengikut ‘undang-undang’ yang ditetapkan.

Antara contoh paling mudah, kita menyuruh anak-anak berada di dalam rumah pada jam 7 malam dan bersiap-siap untuk menunaikan solat Maghrib.

Namun begitu, kita sendiri pula masih leka dengan gajet masing-masing walaupun jam ketika itu menunjukkan pukul 7.20 malam. Hal itu membuatkan anak-anak kadangkala diasak dengan pelbagai perasaan gara-gara peraturan ibu bapa sendiri.

Tambah menyakitkan hati apabila ibu bapa sendiri tidak mengikut apa yang diajarkannya kepada anak masing-masing. Siapa pula yang mahu mendenda ibu bapa?

Demikianlah yang dipanggil sebagai cakap tak serupa bikin. Perasan atau tidak, perkara itu seringkali berlaku dalam kehidupan seharian walaupun dengan anak-anak yang masih kecil.

(Artikel berkaitan: Cakap tak serupa bikin, ALLAH benci orang yang tak beramal dengan apa yang dia cakapkan)

Pendakwah Ustaz Elyas Ismail mengingatkan agar ibu bapa mengambil berat tentang perkara itu sekalipun ia kelihatan remeh.

USTAZ ELYAS

“Kadang-kadang anak pun jadi keliru. Si ayah cakap lain, tetapi buat lain. Kalau dia buat tidak mengapa pula.

“Namun, kalau anak pula yang buat, asyik kena denda memanjang dan tak boleh bawa bincang,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Beliau turut menasihatkan agar ibu bapa sebaiknya ikutilah juga peraturan yang telah mereka perkenalkan kepada anak masing-masing.

Ia penting kerana melibatkan didikan melalui teladan yang dipamerkan dan diterjemahkan oleh ibu bapa dalam kehidupan seharian.

 

Contoh kepada anak-anak
BERILAH contoh yang baik kepada anak-anak agar mereka boleh meniru sikap ibu bapa.

“Kepada ibu bapa, tolonglah cakap serupa bikin. Jika tidak berani bikin, usahlah cakap. Sebaiknya didiklah anak melalui teladan.

Iklan

“Sebab itulah kita mesti mendidik anak-anak dengan cakap serupa bikin,” nasihatnya.

Ketahuilah bahawa ALLAH bagitu membenci perbuatan yang tidak seiring dengan apa yang dituturkan.

Ia sebagaimana yang disebutkan menerusi firman-NYA dalam kalam ALLAH: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saf, ayat 2-3)

Iklan
Contoh kepada anak-anak
ANAK-ANAK kerap dimarahi apabila mereka tidak mengikut apa yang diaturkan oleh ibu bapa. Hakikatnya, ibu bapa sendiri juga tidak mematuhi apa yang diajarkan kepada anaknya. Jauhkanlah sifat sebegini dalam mendidik anak masing-masing.

Justeru, elakkanlah diri daripada melakukan perkara yang tidak seiring dengan apa yang dilontarkan oleh bibir kita.

Didiklah anak-anak melalui teladan. Pendek kata, kita sebagai ibu bapa, praktiskanlah apa yang diperkatakan agar anak-anak boleh meniru sikap kita.

Sumber: Instagram @ustazelyasismail

Foto: Freepik