PUAS menghitung hari, akhirnya detik 1 Ramadan yang amat dinanti-nantikan tiba jua.

Pada hari ini, terdapat 15 kawasan terpilih untuk melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam.

Insya-ALLAH kita dijangka mula berpuasa esok iaitu pada hari Jumaat.

Sebelum menunaikan ibadah berkenaan yang merupakan Rukun Islam ke-3, kita perlu niat berpuasa terlebih dahulu.

Ada orang lebih suka berniat puasa Ramadan untuk sebulan sekali gus kerana takut terlupa, manakala segelintir orang pula lebih suka untuk berniat puasa pada setiap hari.

Hakikatnya, bagaimanakah cara niat puasa yang sebenar? Bagaimanakah cara berniat puasa Ramadan yang terbaik?

Sebelum mengupas jawapannya, pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki mengajak kita memahami tentang kepentingan niat.

USTAZ MUSTAFAR

Ujar beliau, niat merupakan salah satu rukun daripada ibadah yang hendak dikerjakan semata-mata kerana ALLAH SWT.

“Niat bermaksud keazaman yang sungguh dalam hati untuk melakukan sesuatu perkara dengan ditentukan jenis dan waktunya,” katanya kepada Sinar Plus.

Bagi puasa Ramadan, kata Ustaz Mustafar, waktu berniat adalah bermula selepas masuknya waktu Maghrib sehingga masuknya waktu Subuh keesokan harinya sepertimana pendapat ulama feqah Mazhab Syafie dan Hanbali.

Iklan

Ia berdasarkan hadis daripada Saidatina Hafsah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak berniat pada malam hari sebelum terbit fajar, maka tidak ada puasa baginya.” (Riwayat Abu Dawud)

Bagaimanapun, ujar agamawan itu, seandainya kita berniat puasa sebulan kerana bimbang takut terlupa atau sebagainya, ada perselisihan dalam kalangan ulama feqah.

“Imam al-Syirazi dan al-Nawawi menyatakan, tidak sah melainkan pada hari yang pertama, manakala Imam Zufar dalam Mazhab Maliki mengangap ia adalah sah.

“Namun begitu, niat yang paling sempurna dan terbaik adalah meniatkan berpuasa pada setiap hari,” katanya.

Tambahan pula, waktu berniat itu adalah panjang.

Iklan

Justeru, jangan lupa untuk berniat puasa pada malam ini selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja mengumumkan tarikh puasa.

Untuk memudahkan kita, setiap kali selesai menunaikan solat tarawih, teruslah berniat puasa untuk keesokannya.

Selamat berpuasa semua umat Islam. Semoga Ramadan kali ini memberi sinar baharu kepada kita walaupun terpaksa ‘berkurung’ di dalam rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika permulaan puasa.