SEBAGAI seorang hamba kepada Sang Pencipta, semestinya berdoa tidak akan lekang dalam hidup kita. Ia merupakan senjata orang Mukmin yang ampuh.

Ketahuilah bahawa hari ini merupakan hari Arafah yang mana ia adalah waktu berdoa yang paling mustajab. Bahkan, ia merupakan amalan terbaik pada hari wukuf di Arafah.

Diriwayatkan, berdoa pada hari Arafah juga adalah paling dekat untuk dimakbulkan. Perkara ini banyak disebutkan dalam beberapa hadis sahih.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah: Tidak ada yang berhak disembah selain ALLAH yang satu, tidak ada sekutu bagi-NYA, milik-NYA kekuasaan dan milik-NYA segala pujian dan DIA MAHA BERKUASA atas segala sesuatu.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Satu lagi hadis, baginda SAW bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Riwayat Imam Malik)

Bagi para jemaah haji, mereka boleh mula berdoa selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijah (30 Julai) hingga tenggelamnya matahari pada waktu maghrib.

Walaupun wukuf dan doa mustajab itu adalah dikhususkan kepada jemaah haji yang berada di Arafah, namun umat Islam yang tidak berpeluang ke Tanah Suci juga boleh mengambil peluang yang hanya datang sekali dalam setahun ini.

Tiada masalah jika kita berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh berkenaan mengikut zon waktu di negara kita.

Dalam hal ini, sebenarnya tiada had tempoh masa tertentu untuk kita berdoa. Bahkan, umat Islam dianjurkan untuk berdoa sepanjang tempoh berwukuf.

Iklan

Ini kerana, tiada dalil khusus yang mengehadkan tempoh berkenaan.

Selain itu, satu lagi amalan sunat yang boleh kita lakukan adalah berpuasa pada hari Arafah.

Justeru, jangan lepaskan peluang untuk berdoa bila-bila masa sepanjang hari ini.

Iklan

Berdoalah yang baik-baik untuk diri kita, keluarga, agama dan negara kita. Siapa tahu, doa kita yang ikhlas dan bersungguh-sungguh akan dimakbulkan oleh-NYA.

Sumber: Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia