APABILA melakukan suatu kesalahan, sudah pastilah diri kita yang bakal menanggung akibatnya.

Secara logiknya, tidak adil jika orang lain yang menanggung dosa kita akibat daripada kesalahan yang kita lakukan.

Bahkan, agama Islam menganjurkan umatnya saling memaafkan antara satu sama lain.

Adat apabila telah melakukan dosa dengan orang lain, kenalah minta maaf dengan individu berkenaan.

Begitupun, dalam kes melibatkan seorang yang berstatus anak atau isteri, sering kali kita dengar bahawa dosa mereka akan ditanggung oleh bapa atau suaminya.

“Kenapa kau buat benda tu tadi? Kau tak kasihan ke pada ayah kau, dia yang akan tanggung dosa kau tu.”

Demikian antara ayat yang acap kali kita dengar daripada orang di sekeliling kita.

Apakah pandangan Islam tentang perkara ini? Adakah memang benar dosa seorang anak atau isteri akan ditanggung oleh bapa atau suaminya?

Bagaimana pula jika seorang isteri sudah bercerai dengan suaminya? Adakah dosa-dosa yang dilakukan wanita tadi juga ‘jatuh’ kepada bapanya pula?

Iklan

Pendakwah Syed Yahya Al-Bakri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU Syed) berkongsi perincian jawapan kepada soalan berkenaan menerusi Instagram miliknya pada hari ini.

Jelas beliau, secara asasnya, dosa seseorang hanya akan ditanggung oleh dirinya sendiri, bukannya oleh orang lain.

Bagaimanapun, ada dua keadaan yang mana dosa berkenaan turut ditanggung oleh orang lain.

“Pertama, jika seseorang itu adalah perintis kepada suatu perbuatan dosa, maka dia turut akan menerima dosa kering daripada orang-orang yang mengikuti perbuatannya.

“Kedua, jika kita reda dan suka, bahkan (ada) penggalak kepada kemaksiatan yang dilakukan (itu) seperti suami atau ayah yang meminta isteri atau anak-anaknya berpakaian mendedahkan aurat, berzina dan sebagainya, maka mereka semua akan menanggung dosa. Ia sama ada dosa khas bagi si pelaku dan dosa kering bagi si penggalak itu,” kongsinya.

DALAMI dan fahami ilmu yang diajarkan oleh Islam agar diri terhindar daripada melakukan dosa.

Justeru, PU Syed menasihatkan kita agar memahami agama Islam dengan sebaiknya supaya diri kita jauh daripada dosa.

“(Ia termasuklah perkara) halal dan haramnya agar kita selamat di dunia dan juga akhirat,” nasihat beliau.

Iklan

Apa pun, janganlah sesekali kita mengajak atau mengajar orang lain melakukan perkara yang boleh menjebakkan mereka dan diri kita ke dalam kancah dosa.

Sebaliknya, lakukanlah perkara yang bermanfaat yang boleh melorongkan kita ke arah kebaikan, seterusnya menambah saham kita di akhirat kelak.

Sumber: Instagram syedbakri_alyahyaofficial