APABILA seseorang itu tertinggal solat kerana tertidur atau terlupa, wajib untuk mereka menggantikannya iaitu qada dengan kadar yang segera.

Walaupun boleh digantikan, namun ia bukanlah alasan untuk kita sewenang-wenangnya meninggalkan solat.

Masakan tidak, solat itu begitu penting kerana ia menjadi kefarduan kepada semua umat Islam.

Mereka yang sengaja meninggalkan solat yakni kerana mengingkari kewajipan, maka kafirlah orang tersebut dan terkeluar daripada agama Islam.

Begitupun, bagi mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya, bukan sahaja mendapat dosa, tetapi wajib untuk menggantikan solat berkenaan.

Seandainya solat berkenaan sudah digantikan semula, adakah terhapus dosa-dosa tersebut?

Sebelum menjawab persoalan itu, perlu difahami bahawa perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja sebenarnya termasuk dalam dosa-dosa besar.

Dosa-dosa besar itu tidak akan ‘diangkat’ atau diampunkan hanya dengan menggantikan solat fardu.

Iklan

Sebaliknya, ia perlu disertai dengan taubat kepada ALLAH SWT iaitu kembali kepada ALLAH SWT dengan menjauhi perbuatan berkenaan, menyesal atas dosa yang dilakukan dan berazam serta bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Ketahuilah bahawa solat-solat fardu hanya boleh mengangkat dosa-dosa yang kecil sepertimana disebutkan dalam sebuah hadis.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat lima waktu, dari (solat) Jumaat ke (solat) Jumaat yang lain dan dari (puasa) Ramadan ke (puasa) Ramadan yang lain adalah penghapus dosa-dosa kecil di antara waktu-waktu tersebut selama tidak melakukan dosa besar.” (Riwayat Muslim)

Iklan

Justeru, jangan pandang remeh tentang perkara ini. Sesungguhnya, solat merupakan tiang agama. Dengan menunaikan solat, ia menjadi benteng utama kepada diri kita untuk membentuk keperibadian diri.

(Sumber: Al-Kafi #1525: Adakah Dosa Meninggalkan Solat Terhapus dengan Menggantikannya, portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)