Dua nikmat yang sering kita lupa… 

March 28, 2020
Nurulfatiha

“ADUH, sakitnya. Sembuhkanlah aku, ya ALLAH.”

Apabila sakit, perkataan spontan itu akan terpacul daripada bibir kita tanpa disedari. Nampak macam suatu bentuk keluhan, tetapi pada masa sama, kita meminta ALLAH segera menyembuhkan kesakitan yang dialami walaupun hanya pening kepala. 

Begitu juga dalam keadaan kita susah, pasti kita akan merintih dan menyebut nama-NYA. 

Ketahuilah manusia memang sering kali alpa dalam dua keadaan iaitu sihat dan ketika waktu lapang seperti mana yang disebutkan dalam sebuah hadis. 

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.” (Riwayat al-Bukhari)

Keadaan itulah yang sering membuatkan kita lupa hinggakan ada yang lupa diri dan lupa kepada ALLAH. 

Kenapa boleh jadi begitu? 

Menurut pendakwah, Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul, kejahilan tentang hakikat sebenar kesenangan membuatkan kita lupa dan leka. 

IMAM MUDA FAKHRUL

“Hakikatnya, al-Quran menyebut bahawa kesenangan dunia ini adalah benda yang main-main, permainan, hiburan dan semuanya hanyalah sia-sia belaka. Semuanya adalah tipu daya semata-mata. 

“Senang yang sebenar adalah di akhirat. Jadi, kalau kita tertipu dengan kesenangan dunia dan lupa diri dengan kesenangan dunia, itu sebenarnya kita tidak tahu ataupun jahil dengan hakikat dunia yang sebenar,” katanya kepada Sinar Plus baru-baru ini. 

Justeru, Imam Muda Fakhrul mengingatkan kita agar terus berdoa dengan ikhlas supaya ALLAH mengangkat wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini. 

Dua nikmat
JANGAN putus berdoa kepada ALLAH agar wabak Covid-19 ‘diangkat’ oleh-NYA.

“Hanya ALLAH sahaja yang mampu angkat bala ini.

“Waktu ALLAH uji ini, barulah kita rasa betapa nikmatnya kehidupan sebelum ini boleh ke mana-mana, boleh balik kampung, tidak dikawal pergerakan, boleh berkerja macam biasa cari rezeki, tapi sekarang semuanya dikawal. ALLAH telah sempitkan,” jelas beliau. 

Sentiasalah mengingatkan diri kita apabila datang banyak mana nikmat kesenangan, jadikanlah dunia itu hanya di tangan, bukan dalam hati. 

Sesungguhnya, hati manusia mudah berbolak-balik. Kepada-NYALAH kita memohon agar hati ditetapkan dalam iman sehingga menemui-NYA kelak. 

About Nurulfatiha

Biodata Penulis