MENJADI kebiasaan kebanyakan daripada kita untuk keluar makan bersama rakan-rakan sekerja apabila berada di pejabat.

Begitu juga apabila bersama keluarga di rumah, pasti kita akan bersama-sama suami, isteri, anak, ibu bapa dan ahli keluarga masing-masing untuk menikmati hidangan.

Jarang sekali kita lihat orang makan bersendirian kecuali dalam keadaan tertentu sahaja. Itu pun jika keadaan terlalu mendesak.

Tidak kiralah sama ada makan beramai-ramai atau sendirian, ada adab yang perlu dijaga ketika makan.

Kadangkala selepas menghabiskan makanan, terdengar pula ada rakan atau ahli keluarga yang sendawa dengan begitu kuat. Tanpa segan-silu dan buat muka seolah-olah tiada perasaan apa-apa selepas itu.

Orang lain yang mendengarnya pula yang terasa segan dengan individu yang sendawa kuat tadi. Apatah lagi, jika makan di kedai makan yang ramai orang hinggakan orang meja sebelah pun tertoleh-toleh ke meja yang kita duduki.

Ketahuilah, Rasulullah SAW telah mendidik kita agar tidak memperdengarkan sendawa kita di hadapan orang lain, kata Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi.

DR AHMAD SANUSI

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini, jelas beliau, adab berkenaan diajar oleh baginda sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis. Baginda SAW pernah menegur seorang lelaki yang sendawa di hadapan sahabat lain.

Sabda Rasulullah SAW: “Tahanlah sendawamu di hadapan kami. Kerana orang yang paling kenyang di dunia, (dibimbangi) paling lama laparnya di hari kiamat.” (Riwayat al-Tirmizi)

(Artikel berkaitan: Syaitan akan jamah makanan dan minuman tak bertutup…Inilah sebab-sebabnya)

Dr Ahmad Sanusi turut menukilkan pandangan al-Imam al-Mubarakfuri ketika menghuraikan hadis berkenaan.

Kata ulama itu, larangan tersebut membawa maksud galakan agar menahan diri daripada melakukan sedemikian. (Tuhfah al-Ahwazi)

“Justeru, perbuatan sendawa di hadapan orang lain bukanlah sesuatu yang haram, namun ia kelihatan tidak elok di sisi adab,” katanya.

Perlukah seseorang yang sendawa itu menutup mulutnya? Menjawab persoalan itu, Dr Ahmad Sanusi mengemukakan pandangan daripada al-Imam Zakaria al-Ansari yang menyatakan, ia adalah panduan dari aspek adab seorang Muslim sebagaimana dipetik menerusi kitab Asna al-Matalib.

Sendawa

“Selain itu, al-Imam Ahmad turut menghuraikan perkara itu dari aspek adab.

“Ini kerana orang yang sendawa berupaya mengeluarkan angin kesan makanan yang dimakan.

“Bayangkan dalam satu kumpulan manusia, duduk pula di dalam bilik yang kedap udara. Apabila salah seorang daripada mereka bersendawa dengan bau durian atau petai, perkara ini mungkin boleh mengguris jiwa dan perasaan orang lain yang menghidunya,” ujarnya.

Meskipun perbuatan itu tidaklah sampai jatuh hukum haram, tetapi alangkah baiknya jika perkara itu dielakkan.

Jagalah hati rakan-rakan dan ahli keluarga yang makan bersama dengan kita. Risau pula dengan perbuatan sendawa kita tadi yang mendatangkan bau kurang menyenangkan membuatkan selera makan orang lain terbantut.

Sumber: Facebook Dr Ahmad Sanusi

Foto: Freepik & Unsplash