AL-QURAN merupakan kalam ALLAH yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW secara mutawatir (bersambung). Ia terkandung dengan pelbagai isi.

Antaranya seperti kisah ibadah, sejarah, ilmu pengetahuan, cerita umat terdahulu, hari akhirat, pembalasan, dosa, pahala dan banyak lagi.

Seseorang akan diberi pahala yang tidak terhitung daripada-NYA jika membaca setiap ayat dengan hati tulus dan ikhlas.

Daripada Ibnu Mas‘ud RA Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab ALLAH (al-Quran), maka baginya satu hasanah (kebaikan) dan satu hasanah itu sama dengan 10 kali lipatnya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.“ (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Menyentuh tentang al-Quran, salah satu cara untuk mendapat ganjaran yang besar dan berpanjangan di dunia juga di akhirat adalah melalui wakaf. Apakah fadilat di sebalik melakukan wakaf al-Quran? Apa cara terbaik untuk mewakafkan kitabullah? Di mana lokasi yang sesuai untuk berbuat demikian, selain di masjid dan sekolah pondok?

Mekanisme pelaksanaan

Kepada Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor, Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob, Sinar Islam Plus mengajukan beberapa soalan signifikan.

Jelas Dr Mohd Ashrof, wakaf al-Quran adalah bermaksud suatu dana yang dikumpulkan untuk pembelian kitab suci untuk diletakkan di suatu tempat agar dapat dibaca oleh sesiapa sahaja.

Para pewakaf akan mendapat pahala setiap kali ada pembaca menggunakan al-Quran tersebut. Ia merupakan usaha yang mulia dan perlu diperluaskan ke tempat-tempat yang sukar untuk mendapatkan kitab suci itu.

Pun demikian, tatacara pengendalian al-Quran yang diwakafkan perlu ditetapkan dengan jelas agar kehormatannya terpelihara, tidak rosak dan boleh digunakan berulang kali agar pahala individu yang berwakaf sentiasa berterusan,“ katanya yang juga Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM.

 

Mengulas lanjut, pendakwah berkenaan berkata, amalan mulia tersebut telah wujud pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Kemuncak kepada pelaksanaan wakaf selepas turunnya ayat 92, Surah Ali Imran.

Antara sahabat baginda yang bersegera menyahut saranan agung itu ialah Saidina Umar Al-Khattab RA. Beliau telah meminta pandangan Rasulullah berkaitan harta yang paling disayanginya iaitu sebidang tanah di Khaibar yang nilainya amat tinggi sekali.

Asas menjalankan proses wakaf boleh difahami berdasarkan jawapan baginda kepada Saidina Umar al-Khattab. Rasulullah bersabda: “Tahanlah pokoknya dan bersedekahlah dengannya (iaitu manfaatnya).“

Berdasarkan hadis tersebut, para ulama meletakkannya sebagai konsep asas ibadah wakaf iaitu tahbis al-asl bermaksud menahan pokok atau asas harta daripada rosak atau musnah dan tasbil al-thamarah (menyalurkan buah atau manfaat harta kepada penerima wakaf).

Dalam konteks wakaf al-Quran, asas harta iaitu al-Quran ‘ditahan‘ (dipelihara dengan baik), manakala manfaat untuk membaca kalamullah tersebut disalurkan kepada orang ramai.

Menyambung penjelasannya, Dr Mohd Ashrof berkata, wakaf al-Quran tidak pernah dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW kerana kitab suci tersebut masih dalam proses penurunan secara beransur-ansur melalui wahyu.

 

 

“Begitu juga pada era para sahabat kerana mushaf al-Quran masih lagi terpisah antara satu sama lain dan tidak dikumpulkan. Semua para sahabat menghafal al-Quran di dalam dada mereka dengan penuh amanah. Sejarah mencatatkan sehingga 700 orang yang menghafaz ayat suci al-Quran gugur syahid dalam Perang al-Yamamah.

“Peristiwa ini telah menyebabkan Saidina Umar al-Khattab mengemukakan cadangan kepada Khalifah Abu Bakar al-Siddiq supaya memulakan usaha pengumpulan al-Quran,“ katanya.

Saidina Zaid bin Thabit RA kemudian telah dilantik untuk menyalin semula kitab agung itu, maka terhasillah kalamullah yang pertama dalam bentuk lembaran Suhuf.

Walaupun amalan wakaf al-Quran tidak pernah dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat RA, itu tak bermaksud ia tidak boleh dilakukan pada era ini. Konsep asas pelaksanaannya adalah berdasarkan instrumen wakaf yang jelas dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat,“ jelasnya.

Sesungguhnya, kata agamawan tersebut, sekiranya ibadah mulia itu disemarakkan, ia akan menjamin pahala berpanjangan bagi pelaksananya.
“Pun demikian, seperti yang saya katakan tadi, mekanisme (pelaksanaannya) perlu dirancang dengan teliti dan mengambil kira aspek tahbis al-asl iaitu mengawal harta wakaf tersebut daripada rosak atau musnah, termasuk juga tempoh ketahanan agar manfaat diperoleh untuk tempoh masa lama.

“Aspek kedua adalah tasbil al-thamarah (penyaluran manfaat harta) iaitu sasaran penerima manfaat. Penentuan perlu dilakukan kerana sasaran tepat akan memaksimumkan kegunaan, mengelakkan pembaziran sumber dan meluaskan penyebaran manfaat kepada segenap masyarakat,“ ungkapnya.

Dengan berwakaf, ia juga mampu memperkenalkan al-Quran kepada orang bukan Islam, khususnya golongan yang tidak memahami dan memusuhi agama suci ini gara-gara kekurangan ilmu.

Dengan memperkenalkan kitab suci umat Islam melalui cara ini, ia akan memberikan gambaran yang jelas mengenai segala ajaran dan mukjizat yang terkandung di dalamnya. Secara tak langsung, pendekatan itu membantu sebar luaskan al-Quran kepada orang ramai agar lebih mengenali kitab teristimewa ini,“ katanya.

Wakaf di dua masjid agung

Kepada satu soalan, pendakwah itu berkata, adalah diharuskan untuk mewakafkan al-Quran kepada orang yang telah meninggal dunia. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (wakaf) atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.“ (Hadis Riwayat Imam Muslim, al-Nasa‘i, al-Tirmizi dan Abu Daud)

Terang Dr Mohd Ashrof, Al-Khatib al-Syarbini menyatakan, ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah‘ dalam hadis tersebut dengan maksud wakaf seperti mana kata Imam al-Rafi‘i.

“Hadis ini juga dengan jelas menyatakan bahawa pahala amalan berwakaf akan berterusan, walaupun seseorang telah meninggalkan dunia ini. Sudah pastinya ia akan sampai kepada si mati dan akan menjadi ‘penolongnya’ di alam barzakh nanti,“ katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Universiti Teknologi Malaysia, Amir Irsyad Saim berkata, salah satu kaedah terbaik berwakaf adalah dengan menyalurkannya ke tempat yang benar-benar memerlukan al-Quran.

 

Selain masjid dan sekolah pondok, wakaf al-Quran juga boleh dilakukan di pusat jagaan warga emas atau pusat pemulihan akhlak yang mana manfaatnya dapat digunakan bersama,“ kata beliau.

Ketika dilontarkan pertanyaan adakah dengan mewakafkan al-Quran di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi akan membawa lebih keberkatan?

Pendakwah itu lantas berkata, meskipun tiada dalil khusus mengenai fadilat wakaf di dua masjid agung tersebut, beliau mahu seluruh umat Islam merenung kembali Hadis Riwayat Ahmad yang meriwayatkan tentang kelebihan bersolat di Makkah dan Madinah yang bermaksud: “Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 solat di tempat yang lain, melainkan Masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100,000 solat di tempat lain.“

Menerusi hadis yang dinukilkan itu, dapatlah difahami bahawa beribadah di dua masjid suci tersebut mendatangkan beribu kemaslahatan. Antaranya pahala yang berlipat kali ganda.

Tidak terkecuali sekiranya ada pewakaf yang ingin berwakaf di Masjidil al-Haram dan Masjid Nabawi. Walaupun pahala yang akan diperoleh (selagi barang yang diwakaf itu kekal) tidak sehebat pahala menunaikan solat, namun begitu, ia tetap satu amalan yang mendatangkan pahala jariah yang terbaik. Wallahualam,“ katanya.

Ya, tidak semua manusia dilahirkan mempunyai wang melimpah-ruah. Namun, jangan disebabkan tidak berharta, ia membataskan kita untuk melakukan wakaf, kata Amir Irsyad.

Tidak kiralah RM20, RM30 mahupun berjuta-juta ringgit yang dikeluarkan kepada jalan ALLAH, semuanya akan mengalir berkekalan selagi ia (harta atau ain seperti al-Quran) masih kekal.

“Bezanya hanyalah, lebih banyak kita beri, banyak jugalah pahala yang dijanjikan oleh ALLAH. Pokok pangkalnya, betulkan niat ketika berwakaf semata-mata kerana-NYA. DIA lebih tahu akan apa yang kita berikan dan apa yang kita niatkan sekalipun nilainya kecil pada pandangan manusia,“ katanya.

Seperti kata Dr Mohd Ashrof, jadikan wakaf al-Quran sebagai budaya hidup kerana ia merupakan sebahagian daripada saranan Rasulullah SAW, di samping mendekatkan diri dengan ALLAH YANG MAHA ESA.

 

Iklan

Memahami perbezaan antara zakat, sedekah dan wakaf

SECARA umumnya, terdapat beberapa perbezaan antara zakat, sedekah dan wakaf, kata Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohammad Naqib Hamdan.

Ujar Dr Mohammad Naqib, zakat merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan wajib bagi harta yang mencapai nisab dan haul jika berkaitan.

“Orang yang tidak mahu membayar zakat pula akan berdosa besar. Malah, ia akan kekal hutang jika pembayar lewat atau enggan membayarnya,“ katanya.
Sedekah pula adalah suatu ibadah melibatkan pemberian harta kepada orang lain bukan disebabkan kewajipan.

Jumlah pemberian (sedekah) adalah bergantung kepada keikhlasan si pemberi.

Berbeza dengan zakat dan sedekah, harta wakaf mesti dikekalkan, sama ada dalam bentuk fizikal asal atau nilai. Dalam sesetengah keadaan, istilah sadaqah jariah turut merujuk kepada wakaf.

Menurut pendakwah berkenaan lagi, sama seperti sedekah, hukum wakaf juga adalah sunat dan ia boleh digunakan oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang agama dan kewangan.

Harta yang boleh diberikan wakaf juga tidak terhad kepada jenis-jenis tertentu walaupun terdapat sebahagian pandangan ulama yang mengehadkannya kepada harta yang boleh kekal di suatu tempat dalam keadaan fizikal yang asal. Tiada juga limitasi tertentu bagi pemberian kadar wakaf,“ ungkapnya.

Menjawab pertanyaan mengenai situasi seseorang yang membawa pulang dan menyimpan al-Quran yang diwakaf kerana menyangkakan harta tersebut boleh diambil, berikut jawapan Dr Mohammad Naqib: “Sesungguhnya, al-Quran tersebut perlulah dipulangkan jika naskhah itu masih dalam keadaan elok dan berada dalam simpanannya.

“Seandainya sudah hilang atau rosak teruk, maka dia perlu menggantikannya dengan al-Quran yang lain dan memulangkan semula ke masjid atau surau yang berkenaan.”