SELEPAS bersin, segelintir orang suka menuturkan perkataan excuse me sebagai tanda memohon maaf kepada orang di sekelilingnya.

Barangkali ada orang yang kurang selesa dengan keadaan itu. Apa tidaknya, kadangkala ada titisan cecair dari mulut atau hidung kita turut terkeluar sama yang mungkin terkena pada orang lain.

Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang mana kita semua sedang berdepan dengan koronavirus (Covid-19).

Langkah-langkah pencegahan perlu diambil dengan memakai topeng muka dan sentiasa membasuh tangan atau memakai hand sanitizer bagi mengelakkan kita terkena virus berkenaan.

Dalam Islam, bersin sebenarnya merupakan satu nikmat semula jadi yang diberikan ALLAH SWT kepada setiap insan.

Bahkan, ALLAH begitu menyukai orang yang bersin kerana dengan bersin itu, ia dapat mengeluarkan penyakit daripada tubuh badannya.

Ia sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT menyukai bersin dan membenci menguap.” (Riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam Ibnu Hajar, maksud ALLAH SWT menyukai orang yang bersin kerana bersin dapat meringankan badan dan membuka liang-liang roma. (Lihat Fath al-Bari li Ibnu Hajar, 10/607)

Oleh sebab bersin merupakan anugerah ALLAH, Islam sebenarnya mengajar umatnya etika dan adab ketika bersin menerusi apa yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, utusan ALLAH.

Berikut adalah adab ketika bersin menurut Islam yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian:

1. Seseorang yang bersin hendaklah mengucapkan kalimah tahmid iaitu Alhamdulillah atau Alhamdulillahi ala kulli hal. 

2. Seseorang yang mendengar orang yang bersin dan menyebut kalimah tahmid hendaklah menjawab Yarhamukaallah. 

Iklan

3. Kemudian orang yang bersin itu membalas dengan Yahdikumullah wa yuslih baalkum. 

4. Sekiranya orang yang bersin itu melebihi tiga kali, maka yang mendengarnya hendaklah mendoakan kesembuhan ke atasnya.

5. Seseorang yang bersin itu sebaiknya menutup mukanya dan tidak menghalakan mukanya ke arah orang ramai dan juga makanan. Ia bagi mengelakkan jangkitan kuman kepada orang lain.

Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Bahawasanya apabila Nabi Muhammad SAW bersin, baginda menutup wajah dengan tangan atau kainnya sambil merendahkan suaranya.” (Riwayat al-Tirmizi) 

Sesungguhnya, begitu cantik aturan yang telah digariskan oleh Islam. Malah, kebanyakan saranan pakar tentang aspek kebersihan ketika bersin juga sama dengan anjuran Islam.

Iklan

Jadi selepas ini, apa kata kita gantikan perkataan excuse me tadi dengan ucapan Alhamdulillah ketika bersin.

Orang yang mendengar kita bersin pula akan menyambutnya dengan kalimah tahmid juga. Alangkah seronoknya kita saling mendoakan sesama kita.

(Sumber: Al-Kafi #1683: Adab-Adab Ketika Bersin, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)