Gara-gara cemburu, ilmuan hebat Islam, Ibnu Rusyd dipinggirkan. Kecemburuan itu kerana kehebatan dan sumbangan perdananya dalam banyak bidang

Ibnu Rusyd
July 3, 2020
Nurulfatiha

ISLAM sememangnya mempunyai ramai cendekiawan hebat yang telah banyak menyumbang keringat, jasa dan buah fikiran untuk kesenangan kita pada hari ini.

Salah seorang tokoh hebat Islam yang tercatat dalam lembaran sejarah ialah Ibnu Rusyd. Namanya gah sekitar abad ke-12.

Menjadi resam seorang ilmuan tidak hanya faqih dalam satu bidang sahaja. Tokoh hebat itu juga bukan calang-calang ilmunya. Beliau menguasai pelbagai disiplin ilmu dan terkenal sebagai ahli falsafah, perubatan, matematik, teologi, ahli fiqah Mazhab Maliki, astronomi, geografi dan sains.

Menjejaki sisi peribadinya, pemilik nama lengkap Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad merupakan anak kelahiran kota Cordoba di Andalusia (kini dikenali sebagai Sepanyol) pada 1126 Masihi. Kelahirannya dianggap sebagai ahli falsafah paling agung yang pernah dilahirkan dalam sejarah Islam.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, pengaruh Ibnu Rusyd bukan biasa-biasa. Bukan sahaja dalam dunia Islam, tetapi darjah ‘populariti’ Ibnu Rusyd boleh diukur apabila beliau mempunyai gelaran tersendiri dalam kalangan orang Barat apabila diberi nama Averroes.

Betapa hebatnya seorang Ibnu Rusyd apabila hasil karyanya telah mempengaruhi dan menjadi tulang belakang buat negara Eropah yang mahu keluar dari ‘zaman gelap’ mereka.

Penulisan legenda Islam itu turut berjaya membuka mata dan memberikan idea kepada dua ahli falsafah Barat iaitu Voltaire dan Rousseau. Voltaire dan Rousseau dikatakan telah menggunakan konsep pemikiran dan gagasan fikrah Ibnu Rusyd yang akhirnya berjaya mencetuskan era Renaissance yang berjaya mengubah landskap Eropah seperti yang kita dapat lihat pada hari ini.

Pemikiran

Sesungguhnya, Ibnu Rusyd begitu beruntung kerana dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu. Bapanya dan datuknya merupakan hakim di Cordoba.

Ibnu Rusyd
KEHEBATAN Ibnu Rusyd dalam pelbagai cabang ilmu bukan calang-calang sehingga membibitkan perasaan cemburu orang terhadap dirinya.

Sejak kecil, beliau sudah didedahkan ilmu-ilmu agama oleh bapanya. Beliau juga berguru dengan ramai ilmuan antaranya Abu al-Qasim, Abu Marwan Ibn Massarat, Abu Abdullah Marzi, Hafidz Abu Muhammad Ibn Rizqi, Ibnu Zuhr dan ramai lagi.

Figura hebat itu juga merupakan pengikut aliran Fiqh Maliki yang merupakan mazhab fiqah negara kelahirannya ketika itu. Beliau juga mempelajari dan menghafaz karya agung Imam Malik iaitu al-Muwattak.

Tidak terhenti di situ, beliau turut mendalami bidang pengetahuan seperti al-Quran, kesusasteraan Arab al-Mutanabbi dan ilmu kalam.

Menyoroti kesan peninggalannya yang berharga, figura Islam sebenarnya telah memberi banyak sumbangan ke dalam falsafah Aristotle, ilmu perubatan dan pandangan Islam mengenainya. Beliau antara lain telah menulis terjemahan hasil karya Aristotle yang telah dilupai oleh Barat.

Sepanjang hayatnya, beliau telah menukilkan puluhan buah kitab. Kebanyakan karyanya tentang falsafah dan perubatan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan Hebrew.

Kitab Kulliyat fi al-Tibb antara yang menjadi tumpuan. Ia mengandungi 16 jilid yang menghuraikan pelbagai aspek perubatan termasuklah diagnosis, rawatan dan pencegahan penyakit.

Pandangan Ibnu Rusyd telah mendahului zamannya apabila tokoh itu menyatakan bahawa demam campak hanya akan dialami oleh setiap orang sekali seumur hidup. Ternyata, firasat itu benar belaka.

Kecerdikannya itu juga membuatkan tiada siapa yang mempertikaikan apabila dirinya dilantik sebagai hakim di Sevilla pada 1169 Masihi iaitu ketika era pemerintahan Khalifah Abu Yaqub Yusuf, pada zaman Khalifah Muwahhidun. Beliau juga dilantik jawatan yang sama di Cordoba.

Sekitar 1182 Masihi, Ibnu Rusyd menjadi doktor istana menggantikan Ibnu Tufail, salah seorang cendekiawan ulung Islam.

Namun begitu, khidmatnya untuk menabur bakti lebih lama terpaksa berkubur begitu sahaja. Gara-gara desakan dan tekanan pihak tertentu, beliau dibuang ke Lucena, Cordoba pada 1195 Masihi. Semuanya disebabkan akibat perasaan cemburu orang terhadap kehebatannya.

Malah beberapa riwayat yang masyhur menyebut, beberapa karyanya turut dibakar gara-gara fitnah yang dilontarkan kepadanya.

Pun demikian, dua tahun kemudian, khalifah menarik balik hukuman yang dikenakan ke atas Ibnu Rusyd. Ilmuan yang berhati waja itu meninggal dunia pada 1198 Masihi ketika usianya 72 tahun di Marrakesh, Maghribi.

Sesungguhnya, mendasari hikayat hidup Ibnu Rusyd begitu menginsafkan. Kecintaannya kepada ilmu melebihi daripada dirinya dan hal itu semakin sukar dicari dalam kalangan kita pada hari ini.

PROFIL

Nama penuh: Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad

Gelaran: Ibnu Rusyd dan Averroes

Asal: Cordoba, Andalusia (kini dikenali Sepanyol)

Tahun kelahiran: 1128 Masihi

Tahun kematian: 1198 Masihi

Kepakaran: Ahli falsafah, perubatan, matematik, teologi, ahli fikah Mazhab Maliki, astronomi, geografi dan sains

Karya agung: Bidayat al-Mujtahid (kitab fiqah), Kuliyyah fi al-Tibb (perubatan), pengulas agung falsafah Aristotle, Fasl al-Maqal, Tafahut al-Tafahut dan Kitab fi Harakat al-Falak (pergerakan astronomi)

EKSTRA tentang Ibnu Rusyd

– Ibnu Rusyd diyakini sebagai seorang pemikir dan saintis teragung pada kurun ke-12. Menurut Philip Hitti, Ibnu Rusyd mempengaruhi pemikiran Barat dari kurun ke-12 hingga ke-16.

– Figura hebat itu mengulas bahawa Islam menyasarkan pengetahuan yang benar iaitu pengetahuan mengenai Tuhan dan ciptaan-NYA. Ia melibatkan perkara untuk mengetahui pelbagai cara yang membawa kepada kepuasan duniawi dan menghindari kesengsaraan di alam akhirat.

– Beliau membandingkan undang-undang rohani dengan perubatan dalam kesan kedua-duanya ke atas manusia secara fizikal, moral dan rohani. Ilmuan hebat itu menyatakan, kesihatan rohani diistilahkan sebagai takwa dalam al-Quran.

– Dalam bidang astronomi, Ibnu Rusyd merupakan individu yang berjaya menentukan titik suria.

– Tokoh itu juga dikatakan sebagai sosok ilmuan Muslim terakhir yang berjuang menekankan betapa pentingnya penggunaan logik dan kaedah saintifik.

Sumber & Foto: kompasiana.com, idntimes.com, thepatriots.com, academia.edu, Pinterest, republika.co.id, reserachgate.net dan https://ordinaryphilosophy.com/

About Nurulfatiha

Biodata Penulis