Gara-gara nikah sindiket, anak dapat bahana

PERASAAN cinta sememangnya lumrah bagi setiap insan. Namun, ia haruslah diterjemahkan dan disemai mengikut saluran yang betul. Ini kerana cinta itu buta dan tidak mengenal siapa pun.

Demikian yang dirasakan oleh Syamsul Sulaiman (bukan nama sebenar). Lelaki itu sebenarnya sudah berkahwin dan memiliki seorang anak. Namun, entah apa yang merasuk fikirannya, dirinya kembali jatuh cinta dengan wanita lain.

Entah mengapa sukar benar Syamsul mahu menidakkan rasa sayangnya dengan seorang janda, Suhaila Ariffin (bukan nama sebenar) biarpun baru mengenalinya selama empat bulan.

Bukannya lelaki itu tidak sayangkan isterinya. Barangkali kerana terlalu tunduk dengan desakan hati, beliau akhirnya memilih untuk memperisterikan Suhaila sebagai isteri kedua.

Lalu, pernikahan diaturkan. Oleh sebab tidak mendapat restu keluarga, mereka bernikah menggunakan wali hakim di sebuah negeri di selatan tanah air. Perkahwinan itu disifatkan pasangan itu sah kerana menggunakan jurunikah bertauliah. Tambahan pula, Suhaila seorang janda. Jadi, prosedurnya tidaklah serumit mana. Mereka juga diberi sijil nikah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Sepertimana pasangan lain, kehidupan mereka diulit bahagia. Biarpun Syamsul terpaksa membahagikan masanya dengan adil dengan isteri pertamanya, Suhaila tidak kisah kerana sedar status dirinya.

Iklan
Iklan

Kehidupan mereka semakin bertaut erat apabila diserikan lagi dengan kehadiran zuriat sebagai pengikat kasih. Syamsul dan Suhaila dikurniakan seorang bayi lelaki yang comel.

Pada masa itu, barulah Syamsul dan Suhaila seakan tersedar sesuatu. Mereka dihambat rasa ragu-ragu tentang status anak tersebut. Masakan tidak, pasangan itu berkahwin dengan wali hakim dan tidak mendapat persetujuan bapa Suhaila. Syamsul juga berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertamanya.

Sebelum menasabkan bayi lelaki itu, kedua-dua mereka sepakat untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah syariah untuk pengesahan taraf anak.

Dalam kes pasangan itu, mahkamah syariah terlebih dahulu melihat proses perkahwinan tersebut sama ada mengikut rukun dan syarat-syarat sah nikah. Namun, Syamsul dan Suhaila gagal mengemukakan sebarang saksi.

Bagaimanapun, hakim telah menggunakan kaedah syarie. Jurunikah berkenaan dipanggil untuk memberikan keterangan. Rupa-rupanya, ketika tarikh pernikahan itu, beliau sudah menamatkan perkhidmatan sebagai jurunikah. Malah, nombor kad pengenalan dan nama jurunikah itu juga dieja dengan salah. Bahkan, surat nikah itu juga diperakui palsu oleh pihak JAIN.

Setelah meneliti semua pengesahan autoriti pihak berwajib, mahkamah memutuskan perkahwinan tersebut tidak menepati kehendak rukun dan syaratsyarat sah nikah. Hakim juga berpendapat, Syamsul dan Suhaila tertipu dengan pernikahan tersebut. Mahkamah juga menganggap bahawa pernikahan tersebut merupakan satu sindiket nikah yang menjalankan operasi tanpa mengenal mangsa.

Oleh sebab status perkahwinan itu tidak sah, mahkamah tidak boleh mensabitkan nasab anak tersebut sebagai anak sah taraf kepada bapanya. Oleh itu, kes itu telah diketepikan dan permohonan ditolak.

(Artikel berkaitan: Sudahlah ceraikan isteri talak tiga, lepas itu tak mengaku anak sendiri pula…)

Mendengar keputusan itu, Syamsul dan Suhaila dihantui rasa sesal akibat kejahilan masing-masing. Apatah lagi apabila mengenangkan masa depan anak yang tidak berdosa itu.

Wajib dapatkan permohonan wali hakim di mahkamah

Kurang pengetahuan agama dan tunduk dengan keinginan menurut hawa nafsu menyebabkan kebanyakan pasangan mengambil langkah mudah dengan berkahwin lari atau terjebak dengan pernikahan sindiket.

Itu yang terjadi ke atas pasangan Syamsul Sulaiman dan Suhaila Ariffin (kedua-duanya bukan nama sebenar).

Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof berkata, walaupun pasangan itu tidak tahu atau tertipu dengan ejen yang menjalankan operasi sindiket pernikahan, ia bukanlah ‘tiket’ untuk menentukan kesahan suatu perkahwinan.

FAZRU ANUAR

“Perkahwinan mereka tidak sah kerana tidak menepati rukun dan syarat sah nikah berkaitan wali. Kejahilan dalam agama atau sesuatu ilmu tidak boleh menjadi penyebab suatu kesalahan itu dibenarkan.

“Selain itu, mereka juga tidak mengikuti proses yang betul dalam menjalankan pernikahan. Tidak salah bagi Syamsul jika mahu berpoligami, namun perlulah mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu,“ katanya sebagaimana termaktub dalam Seksyen 22 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Terengganu.

Ditanya tentang syarat-syarat yang membolehkan penggunaan wali hakim, pengamal undang-undang itu menjelaskan, ia boleh digunakan jika wali enggan menikahkan.

Begitu juga halnya apabila bakal pengantin wanita tiada wali nasab, wali qarab (terhampir) yang tidak cukup syarat-syarat, ketiadaan wali ab’ad dan perkahwinan melibatkan anak tidak sah taraf atau anak angkat, jelasnya.

“Seseorang wali yang mempunyai hak untuk mengahwinkan perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan iaitu Islam, adil, baligh, berakal, tiada penyakit yang mencacatkan fikiran, tidak terhalang daripada menguruskan hartanya kerana boros dan bukan dalam keadaan ihram haji atau umrah.

“Oleh itu, jika dalam situasi seseorang wali aqrab itu tidak memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan untuk menjadi wali dan tiadanya wali ab’ad, maka wali hakim boleh digunakan,” katanya.

Begitupun, bagi setiap perkahwinan yang menggunakan wali hakim, permohonan hendaklah dibuat terlebih dahulu ke mahkamah syariah melalui Notis Permohonan dan Afidavit Sokongan dengan menyatakan alasan-alasan berbuat demikian.

“Secara prosedurnya, wali hakim terdiri daripada pegawai awam yang dilantik khas oleh sultan sebuah negeri. Sekiranya mahkamah berpuas hati dengan alasan-alasan permohonan wali hakim, perintah untuk membenarkan perkahwinan dan pelantikan wali hakim akan dikeluarkan,” ujarnya.

Kepada pasangan yang mahu berkahwin, Fazru Anuar menasihatkan, elakkanlah bernikah di luar Malaysia. Jika wali enggan menikahkan, buatlah permohonan perkahwinan menggunakan wali hakim di Mahkamah Syariah.

“Sekiranya terdapat apa-apa masalah atau isu berbangkit, boleh segera berunding dan minta nasihat daripada mana-mana peguam syarie atau pegawai di Pejabat Agama Islam. Elakkan meminta nasihat daripada pihak yang tidak berkelayakan,“ nasihatnya.

Foto: Freepik

Share
Nurulfatiha

Biodata Penulis

Recent Posts

Awas! Perkhidmatan BJAK tiada kelulusan JPJ, 10 info perlu tahu

PERNAH menggunakan perkhidmatan Tindakan BJAK Sdn Bhd (BJAK)? Tahukah anda bahawa perkhidmatan urus niaga pembaharuan…

3 hours ago

Bella Astilah bawa anak-anak melawat Zoo Negara, gelagat Ara & Ayden asyik panggil mummy bikin sebak.’ Momen paling indah…’

KESIBUKAN dengan urusan kerjaya tidak membataskan Bella Astilah untuk memberi tumpuan kepada anak-anaknya. Sementelah permata…

4 hours ago

Penyanyi era 70-an, Hail Amir meninggal dunia pada usia 76 tahun

PENYANYI dan pelakon popular era 1970-an, Datuk Abdul Hail Amir, 76, dilaporkan meninggal dunia pada…

4 hours ago

‘Awak nak teman, ‘instant family’ silakan… bukan bab anak’. Yasmin Hani pilih pasangan kewangan stabil bina keluarga

KEWANGAN stabil, menerima diri serta anak-anak merupakan kriteria utama pelakon dan pengacara, Yasmin Hani memilih…

6 hours ago

‘Dia my bestie, tak jemu beri semangat…’ Sambut anniversary ke-19, Aidid Marcello kongsi pengorbanan Norzie Pak Wan Chek

'DIA my bestie, tempat meluahkan macam-macam. Orang yang tidak pernah jemu beri semangat. Penasihat yang…

6 hours ago

Kenal tak sampai setahun terus dilamar, Afifah sifatkan Syed Hariz tak buang masa. ‘Terima kasih cipta kisah cinta yang indah’

SELAMAT pengantin baharu diucapkan buat pelakon Afifah Nasir yang kini bergelar suri hati kepada kepada…

10 hours ago