SUSAH betul hendak suruh anak mengaji apabila sudah ‘melekat’ di rumah. Kadangkala ‘berbuih’ jugalah mulut ibu bapa membebel kepada anak-anak suruh mereka baca al-Quran.

Namun, mereka ini tetap tak makan ‘saman’. Dibuatnya tak tahu saja. Terus bermain dan buat aktiviti lain yang disukai mereka.

Walhal, kita cuma hendak minta mereka buat aktiviti yang mendatangkan pahala, bukannya perkara yang tak baik, bukan?

Benar, bukannya anak-anak sahaja, malah kita sendiri pun kadangkala rasa kurang bersemangat dan malas untuk mengaji.

Ish, sayang betullah kalau tak mengaji sekarang ini. Apatah lagi, kita kan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Ada banyak masa yang boleh diisi dengan aktiviti berfaedah.

Bagaimana hendak bagi anak-anak ini supaya mereka semangat dan rasa seronok hendak mengaji?

Di sini, Sinar Plus kongsikan 5 tip yang kita boleh lakukan untuk membangkitkan keseronokan anak-anak mengaji.

1. Sediakan ruang yang selesa.

Anak seronok mengaji
SEDIAKAN bilik atau ruang yang selesa untuk mewujudkan suasana kondusif dan tenang apabila anak-anak mengaji.

Caranya mudah sahaja. Kalau ibu bapa mampu, sediakan satu bilik khas untuk mengaji. Di dalamnya, letakkan meja, kerusi dan al-Quran atau Iqra’ di situ.

Boleh juga kalau kita hendak hias bilik itu dengan hiasan ala-ala kubah masjid atau kartun kegemaran mereka yang sedang mengaji.

Cadangan lain, kalau tidak mampu sediakan bilik, apa kata kita sediakan satu sudut khas untuk mengaji. Asalkan ia selesa dan paling penting ruang itu boleh mewujudkan suasana kondusif dan tenang apabila kita baca kalam ALLAH.

2. Belikan eBook atau cakera padat (CD) mengaji.

Anak seronok mengaji
EBOOK akan membuatkan proses ngaji anak bertambah seronok. -Foto: Sumber Internet

Zaman sekarang tidak macam dulu lagi. Kita sudah ada banyak eBook belajar mengaji di pasaran pada hari ini. Jika tidak mampu, bolehlah belikan CD mengaji.

Kedua-duanya akan membuatkan pembacaan al-Quran anak-anak lebih seronok. Apa tidaknya, cara penyampaian mengaji itu menjadi lebih menarik.

Misalnya, CD kebanyakannya didatangkan dalam bentuk muzik dan alunan ngaji yang mudah dihafal oleh kanak-kanak.

Ya, kanak-kanak secara fitrahnya memang suka bermain. Apa salahnya kita berikan pengalaman mereka baca al-Quran dalam suasana menyeronokkan!

3. Baca al-Quran bersama-sama.

Anak seronok mengaji
IBU BAPA bolehlah mengaji bersama dengan anak.

Anak-anak sememangnya akan bertambah semangat jika ibu bapa turut sama sertai mereka ketika mengaji. Bukan apa, selain dapat memperbetulkan bacaan al-Quran anak-anak, ia juga membina hubungan kekeluargaan yang erat.

Jika cara itu dilazimi kita pada setiap hari, pasti anak-anak akan rasa seronok dan menjadikan mengaji sebagai amalan wajib mereka.

Iklan

4. Buat jadual mengaji.

Anak seronok mengaji
PILIH waktu yang sesuai untuk anak kita mengaji.

Nampak perkara ini macam remeh, tetapi percayalah jika kita boleh menyediakan jadual itu untuk mereka patuhi, lama-kelamaan anak-anak sudah terbiasa.

Kalau boleh, pilihlah waktu yang benar-benar sesuai dan anak pun selesa. Contohnya selepas maghrib selama 10 ke 15 minit kerana pada waktu itu mereka dalam keadaan segar baru lepas mandi petang dan sudah berehat sebentar selepas melalui hari yang penat belajar atau bermain pada waktu siang.

Ingat ya, jadual itu bukan sekadar jadual tau. Ia sebenarnya boleh mendidik anak kita menjadi seorang yang berdisiplin.

Namun, kalau mereka memang sudah ada guru mengaji sebelum ini, ikutlah jadual tersebut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

5. Beri ganjaran apabila anak berjaya tamatkan satu mushaf al-Quran atau Iqra’.

Iklan
Anak seronok mengaji
BERILAH hadiah atau ganjaran mengikut kemampuan ibu bapa jika anak berjaya khatam al-Quran atau Iqra’.

Siapa yang tidak seronok jika diberi ganjaran atau hadiah. Kalau kita sendiri yang dewasa pun rasa begitu, apatah lagi anak-anak kita.

Jadi, kalau mereka berjaya khatam Iqra’ atau al-Quran, berilah mereka hadiah atau ganjaran yang sesuai.

Bukannya perlu bagi hadiah atau ganjaran yang mahal-mahal pun, cukuplah memberinya ikut kepada keperluan ibu bapa.

Umpamanya belanja anak-anak makan di kedai kegemaran atau menghadiahkan mereka dengan barang yang mereka impikan.

Semoga hadiah atau ganjaran tadi akan membuatkan mereka terus termotivasi dan istiqamah untuk mengaji!

Jom kita sama-sama praktikkan di rumah. Insya-ALLAH, usaha yang baik akan dipermudahkan oleh-NYA.