DUA minggu lalu, sejarah baharu terlakar dengan pembukaan monumen ikonik Turki, Hagia Sophia sebagai sebuah masjid. Ia memberikan makna yang begitu besar bukan sahaja kepada rakyat di negara itu, tetapi juga seluruh dunia.

Sebagai simbolik pembukaan bangunan yang kembali menjadi rumah ibadah umat Islam selepas lebih lapan dekad, Presiden Recep Tayyib Erdogan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran yang bergema di segenap ruang bangunan bersejarah itu. Presiden Turki itu dirakam membaca Surah al-Fatihah dan ayat 1 hingga 5, Surah al-Baqarah dengan penuh tertib dan tawaduk.

Suaranya begitu mendayu-dayu menitipkan satu persatu kalam ALLAH. Mereka yang bertandang ke masjid itu dilihat begitu sebak. Linangan air mata kesyukuran yang membasahi pipi membuatkan umat Islam tidak mengendahkan rakaman kamera yang mengarahkan pada mereka.

Bagi rakyat Turki, perjuangan memulangkan semula peranan Hagia Sophia sebagai sebuah masjid daripada terus menjadi muzium sudah mutlak. Mereka sangat berterima kasih dengan usaha berani Erdogan. Erdogan juga tidak menyembunyikan rasa terharunya.

Pengorbanannya bersama pasukan untuk menukar status bangunan ikonik yang terletak di Istanbul, Turki itu telah dimakbulkan YANG MAHA ESA. Saat azan dikumandangkan, semua jemaah beribadah dengan penuh khusyuk.

Bukan sahaja penulis malah pembaca yang menonton video yang tular itu, meremang bulu roma tatkala empat muazin melaungkan azan serentak di empat buah menara Masjid Hagia Sophia.

Sesungguhnya, itulah detik yang amat dinanti-nantikan masyarakat Muslim bukan sahaja di Turki, malah seantero dunia. Hari Jumaat penghulu segala hari telah dipilih untuk menjadi saksi kepada pembukaan semula Masjid Hagia Sophia. Bayangkan, hanya selepas 86 tahun, momen itu dapat disaksikan semula! Penantian yang sangat berbaloi.

Pada hari yang mulia itu juga, BBC melaporkan, kira-kira 1,000 orang hadir dan terpaksa melalui prosedur operasi standard yang ketat semata-mata untuk menunaikan solat Jumaat pertama di masjid ikonik berkenaan.

Namun mengikut perkiraan tidak rasmi, terdapat lebih kurang 350,000 orang turut menyertai detik bersejarah itu dengan sanggup menunaikan solat di luar masjid iaitu di sekitar Sultanahmet Square.

Bukan sahaja penduduk Turki, malah, ia dihadiri rakyat dari pelbagai negara. “Saya sangat gembira. Orang Islam Afrika tahu tentang Hagia Sophia, Constantinople dan Byzantium. Ia sangat penting kepada Islam,“ kata Abdulazim Gassama, seorang penuntut dari Mali kepada The Guardian.

Wujud sejak 1,500 tahun lalu

Pada Hari Raya Aidiladha lalu, sekali lagi masjid agung Hagia Sophia menjadi tumpuan apabila ribuan jemaah hadir untuk menunaikan solat sunat. Kepada yang baru mengetahui Hagia Sophia, mengapa ia begitu istimewa sekali kepada umat Islam sejagat?

Hagia Sophia
KEHEBATAN dan kesungguhan Erdogan (tengah) mengembalikan semula Hagia Sophia sebagai rumah ibadah orang Islam wajar dipuji kerana berjaya mengambalikan hak kepada pihak yang berhak.

Menyelak kembali lembaran historiografinya, Hagia Sophia menyimpan satu jalan cerita yang panjang. Bangunan yang dinamakan semula sebagai Masjid Agung Hagia Sophia itu sudah ada sejak 1,500 tahun lalu.

Ketika itu, empayar Byzantine Justinian (Rom Timur) membina gereja sekitar tahun 537 Masihi. Namun, fungsinya sebagai gereja berakhir dengan kejatuhan Constantinople ke tangan Empayar Uthmaniyah.

Apabila Sultan Mehmed II (Sultan Muhammad Al-Fateh) menguasai tempat itu, Constantinople kemudian dinamakan Istanbul pada 1453. Hagia Sophia pula telah ditukar menjadi masjid.

Sultan Mehmed II yang pernah mengetuai solat Jumaat di Hagia Sophia kemudian mengarahkan struktur bangunan berkenaan diubah suai sebagai masjid.

Arkitek terkenal, Mimar Sinan diberi tanggungjawab memulihara bangunan itu. Sinan mereka bentuk dan memasang menara lambang masjid di luar selain mihrab dan mimbar di dalamnya. Ia kemudian menjadi salah satu monumen seni bina dunia yang paling penting.

Hampir 500 tahun lamanya, bangunan itu menjadi tumpuan umat Islam untuk melakukan ibadah. Bahkan, bangunan bersejarah itu juga menjadi model kepada masjid lain di kota berkenaan. Antaranya Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru), Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Pada tahun 1934, segala-galanya berubah. Pihak berkuasa Turki pasca-Uthmaniyah di bawah pengasas republik moden yang juga presiden pertama negara itu, Mustafa Kemal Atarturk (1923-1938) telah mengubah fungsi masjid berkenaan.

Hagia Sophia telah dijadikan sebagai muzium selepas Empayar Uthmaniyah tumbang. Sehinggalah pada tahun lalu, Erdogan mencadangkan agar bangunan mercu tanda popular pelancong itu ditukar kepada masjid semula.

“Ayasofya (Hagia Sophia dalam bahasa Turki) tidak lagi disebut muzium. Statusnya akan berubah. Kami akan memanggilnya masjid,” kata Erdogan dalam sebuah program siaran langsung di televisyen sekitar bulan Mac tahun lalu sebagaimana dipetik daripada portal Hurriyet Daily News pada tahun lalu.

Pada pandangan pemimpin bersuara lantang itu, mentransisikan Hagia Sophia kepada sebuah muzium merupakan kesilapan besar. Justeru, sudah tiba masanya ia diubah semula menjadi sebuah masjid.

Kemenangan bermakna

Kata-kata dan ketegasan Erdogan menjadi perhatian ramai. Media tempatan melaporkan, sebuah pertubuhan Islam tempatan turut senada dengan Erdogan dengan meminta status muzium pada Hagia Sophia turut dibatalkan oleh pihak mahkamah.

Tanggal 10 Julai lalu, penantian tentang status Hagia Sophia berakhir. Sebuah mahkamah di Turki membatalkan ketetapan yang dibuat oleh Kabinet pada tahun 1934, yang mengubah Hagia Sophia menjadi muzium. Keputusan itu sekali gus menyaksikan fungsi muzium berkenaan dialih menjadi masjid.

Berdasarkan inti pati penghakiman, Mahkamah Agung Turki antara lain menjelaskan, bangunan Hagia Sophia adalah sebuah masjid. Penggunaannya di luar fungsi tersebut tidak mungkin dibuat secara sah.

Selain itu, tempat yang menjadi tumpuan awam itu tidak boleh dihalang untuk digunakan oleh masyarakat kerana Hagia Sophia dimiliki oleh Yayasan Fatih Sultan Mehmet Khan dan telah diperkenalkan kepada masyarakat sebagai masjid.

Meskipun ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan, Erdogan enggan menoleh lagi ke belakang. Sebaliknya, beliau meminta semua pihak menghormati keputusan mahkamah.

Sambil memutuskan Hagia Sophia bakal menerima jemaah pada 24 Julai lalu, Erdogan menyifatkan ‘kebangkitan’ Hagia Sophia adalah petanda satu langkah pembebasan Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis, Palestin.

“Kebangkitan Hagia Sophia adalah kehendak umat Islam dari seluruh dunia untuk keluar dari masa-masa kehampaan. Ia adalah harapan bukan hanya untuk umat Islam, tetapi juga daripada semua masyarakat yang tertindas, korban perang dan penjajahan.

“Kebangkitan Hagia Sophia adalah seruan baharu kami sebagai bangsa Turki dan Muslim kepada seluruh umat manusia,” ujar Erdogan dipetik dalam Republika.co.id.

24 jam

Sepertimana rumah ALLAH yang lain, Masjid Agung Hagia Sophia akan dibuka untuk semua orang. Tidak kiralah sama ada masyarakat Turki ataupun pelancong Muslim dan bukan Islam, semua orang boleh memasuki bangunan unik berkenaan, kata Erdogan. Masuk juga adalah percuma!

“Kita akan membuka Hagia Sophia sebagai masjid dengan melestarikan warisan budaya bersama umat manusia,” tegas beliau yang turut memerintahkan agar bangunan yang baru sahaja bertukar status itu dibuka 24 jam sebagai tempat ibadah umat Islam.

Bagi memelihara simbol peradaban umat Islam itu, Erdogan yang pernah disenaraikan sebagai pemimpin Muslim paling berpengaruh itu turut mengerahkan sejumlah 500 penjaga tetap untuk melindungi Masjid Agung Hagia Sophia.

Tujuannya bagi membolehkan sesiapa sahaja melawat Kawasan Bersejarah Tapak Warisan Dunia Istanbul yang pernah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Hagia Sophia adalah salah satu simbol peradaban kita, Hagia Sophia akan terus berfungsi sebagai tempat ibadah bagi bangsa kita, dunia Islam dan semua Muslim,” kata Erdogan.

Hagia Sophia
SEBAHAGIAN jemaah yang hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Agung Hagia Sophia pada minggu lalu.

Peralihan fungsi Hagia Sophia kembali kepada masjid itu turut disambut baik oleh cicit kepada Sultan Mehmed II yang juga cicit khalifah Kesultanan Uthmaniyah Abdulhamid II, Sehzade Abdulhamid Kayihan Osmanogl.

Iklan

Sehzade Abdul Hamid menyifatkan pertukaran Ayasofya adalah pengisytiharan Turki mendapatkan kembali kemerdekaan nasionalnya dan bebas daripada pengawasan.

Jelas beliau, Ayasofya sangat penting bagi umat Islam. Nilai Ayasofya menjadi lebih signifikan dengan tindakan dan kata-kata daripada datuknya, Sultan Muhammad Al-Fateh yang memainkan peranan penting dalam membawa Ayasofya hingga sekarang.

“Sekiranya baginda tidak menjadikannya masjid dan Sultan Suleyman dan Selim II tidak menambah menara untuk menyokong bangunan itu, Ayasofya tidak akan berada di sini hari ini.  Ayasofya telah melihat pelbagai peradaban dan sangat penting bagi setiap mereka.

“Di setiap sudut Ayasofya, ada tanda dari Uthmaniyah. Di situ terdapat lima sultan Uthmaniyah iaitu Sultan Selim II, Sultan Murad III, Sultan Mehmet III, Sultan Mustafa I dan Sultan İbrahim.

“Sayangnya kita mengunjungi makam sultan-sultan ini dengan tiket. Selama bertahun-tahun, kami mengatakan tidak mahu memasuki Ayasofya dengan tiket, tetapi dengan wuduk. Alhamdulillah, kami gembira kerana hari ini, ia menjadi kenyataan,” ujar beliau ketika dalam satu wawancara eksklusif bersama 5Pillars baru-baru ini.

Sesungguhnya begitu besarnya erti sebuah perjuangan dalam mengembalikan fungsi Hagia Sophia kepada rumah ALLAH. Harapan umat Islam agar Masjis Agung Hagia Sophia dapat mengecapi zaman gemilangnya sebelum ini. Sama-sama kita doakan.

Kemenangan Islam dalam perjuangan tegakkan tamadun baharu

Perjuangan mengembalikan fungsi Hagia Sophia sebagai sebuah masjid telah memberikan semula hak kepada yang berhak dalam menegakkan kebenaran, kata Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Emeritus Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid.

DR MAHMOOD ZUHDI

Ujar Dr Mahmood Zuhdi, pembukaan semula Hagia Sophia sebagai masjid memberi pengertian yang besar kepada hala tuju negara tersebut .

Iklan

“Bukan sahaja di Turki, tetapi di seluruh dunia Islam kerana ia (Hagia Sophia) adalah lambang kepada kebenaran, kemenangan Islam dalam perjuangan untuk menegakkan tamadun baharu bukan sahaja di sebelah ASEAN malah di Eropah,“ katanya.

Walaupun Hagia Sophia pada asalnya merupakan sebuah gereja, namun tegasnya, penawanan rumah ibadat berkenaan tidak boleh dilihat dari sudut konsep ritual semata-mata. Sebaliknya, ia terarah kepada penukaran hala tuju tamadun manusia di dunia.

Oleh sebab itu, jelas beliau, apabila Sultan Muhammad Al-Fateh (Sultan Mehmed II) menawan Hagia Sophia, ia memberi erti bahawa tamadun manusia berada di persimpangan jalan iaitu ke arah Islamik.

“Ia menjadikan Hagia Sophia sebagai batu loncatan pada waktu itu untuk menggambarkan hala tuju Islam dalam membina suatu tamadun baharu.

“Jadi, apabila usaha Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berjaya menjadikan Hagia Sophia sebagai sebuah masjid semula, maka ia merupakan satu lembaran baharu yang terbina di atas keluhuran undang-undang yang diamalkan di Turki sekarang,“ katanya.

Justeru, kata beliau, pendekatan Erdogan yang mengembalikan hak kepada yang berhak wajar dipuji. Beliau juga menggunakan kaedah senyap dalam menyelesaikan perkara itu.

Kepada satu soalan, Dr Mahmood Zuhdi menjelaskan: “Walaupun isu Hagia Sophia dengan Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis adalah berbeza, namun ia boleh dikaitkan.

“Cuma caranya, kita perlu mengubah kaedah perjuangan iaitu daripada (kaedah) perbalahan atau perseteruan kepada perjuangan peperangan tamadun.”

Sumber & Foto: The Guardian, BBC, Hurriyet Daily News, Republika.co.id & 5Pillars