SPA dan pusat kecantikan dengan wanita ibarat berpisah tiada. Paling tidak pun, pasti ia dilakukan sendiri atau mengupah orang berkenaan datang ke rumah bagi mendapatkan khidmat spa bergerak.

Begitu juga dengan khidmat urutan yang sememangnya sinonim dengan kaum Hawa.

Apatah lagi kepada wanita yang baru sahaja melahirkan anak. Sudah menjadi tradisi mereka berurut untuk kebaikan tubuh selepas ‘bertarung nyawa’ mengeluarkan zuriat tanda cinta buat suami masing-masing.

Begitupun, bukan semua tukang urut atau pekerja spa itu wanita Islam. Ada juga pekerja yang bukan Islam turut menjadi juruterapi di tempat-tempat berkenaan.

Begitupun, sebagai wanita Islam, ada batas-batas aurat yang perlu dijaga walaupun dengan orang yang sama jantina. Apatah lagi individu itu orang bukan Muslim.

Bolehkah kita mendapatkan khidmat urutan dan lain-lain daripada wanita bukan Islam?

Dalam perihal muamalat, ALLAH SWT mengizinkan hamba-NYA bermuamalat dengan orang bukan Islam, terang pendakwah Ustaz Azhar Idrus.

Namun begitu, beliau menjelaskan, ada batas-batas yang perlu dijaga di sisi syarak. Sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh melanggar batas yang telah ditetapkan dalam Islam.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak menghalang kamu sekalian daripada berbuat baik akan orang orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu pada agama dan tidak mengeluarkan kamu sekalian dari tanah air kamu dan berlaku adil kepada mereka. Sungguhnya ALLAH kasih kepada orang-orang yang berbuat keadilan.” (Surah Mumtahanah, ayat 8)

“Antara batas syarak yang wajib dijaga ialah perempuan Muslimah tidak harus membuka auratnya dihadapan perempuan bukan Islam,” jelas beliau.

(Artikel berkaitan: Dengan anak sendiri, ibu bapa tetap kena jaga aurat depan mereka)

Ustaz Azhar Idrus turut menukilkan pandangan Imam al-Qurtubi dalam hal itu iaitu: “Tidak halal bagi perempuan yang beriman bahawa membuka ia akan suatu daripada tubuhnya di hadapan perempuan kafir melainkan bahawa adalah perempuan kafir itu ialah hambanya. Yang demikian itu ialah kerana firman ALLAH dalam Surah an-Nur, ayat ke-31 ertinya atau di hadapan hamba perempuan mereka.”

Sementara itu, Ubadah bin Nusai pula berpandangan: “Khalifah Umar RA telah menulis kepada Abi Ubaidah bin Al-Jarrah bahawasanya telah sampai berita kepada aku sungguhnya perempuan kafir zhimmi telah masuk ke tempat mandi awam yang ada perempuan Muslimah, maka hendaklah menegah yang demikian itu dari kerana sungguhnya tidak boleh perempuan kafir melihat tubuh badan perempuan Muslimah.”

Jelas Ustaz Azhar Idrus, ada sebab mengapa wanita Muslimah dilarang daripada memperlihatkan tubuhnya kepada wanita bukan Islam.

Berurut dengan wanita bukan Islam

Ia sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas RA bahawa: “Tiada halal bagi perempuan Muslimah bahawa dilihat akan tubuhnya oleh perempuan Yahudi dan Nasrani supaya tidak dapat dia ceritakan sifat tubuhnya bagi suaminya.”

Beliau turut mengemukakan pandangan Abu Ubaidah yang menyatakan: “Mana-mana perempuan yang masuk ke tempat mandi awam tanpa uzur bertujuan memutihkan wajahnya, maka ALLAH akan menghitamkan wajahnya pada hari putih segala wajah di hari kiamat.”

Begitupun, seandainya kita dalam situasi yang darurah umpamanya untuk tujuan berubat yang memerlukan auratnya dibuka dan tiada pengamal perubatan Muslimah atau lelaki Muslim ketika itu, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, perkara itu adalah diharuskan.

“Namun, ingatlah bahawa darurah itu hanya berlaku kerana untuk menyelamatkan nyawa atau menyelamatkan anggota badan.

“Adapun kerana menambah kecantikan atau merawat sakit yang tidak berbahaya, nescaya ia tidak dibolehkan,” tegasnya.

Justeru, pendakwah itu menasihatkan kaum Muslimah yang ingin berurut, carilah tempat yang dikendalikan oleh wanita Muslimah atau tukang urut Muslimah.

Berurut dengan wanita bukan Islam

“Ingatlah bahawa kita dibolehkan bermuamalah dengan orang bukan Islam, tetapi ia bukanlah bebas sepenuhnya. Hendaklah patuhi peraturan syarak yang telah ditetapkan,” tegas beliau.

Sebaiknya, utamakanlah tukang urut atau juruterapi Muslimah jika berniat mahu mendapatkan khidmat urutan, rawatan spa dan seumpamanya.

Lebih-lebih lagi yang melibatkan aurat kita di hadapan orang bukan Islam walaupun sama jantina.

Aurat wanita dengan wanita bukan Islam menurut pandangan majoriti ulama fiqh adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan.

Sebahagian ulama Mazhab Syafie termasuk sebahagian ulama mutaakkhirin mazhab itu, aurat perempuan Muslimah pada pandangan wanita bukan Islam adalah selain kepala, tangan dan kaki.

Justeru, peliharalah aurat dan maruah kita dengan sebaiknya.

Sumber: uaioriginal

Foto: Freepik