LEBIH sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, banyak kedai tidak dibuka. Yang dibenarkan beroperasi hanyalah kedai, pasar atau pasar raya yang menjual barang keperluan, selain bank, klinik dan seumpamanya.

Ia sebagaimana digariskan oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang ketika ini sedang membelenggu negara dan seluruh dunia.

Meskipun begitu, ada juga peniaga yang ingkar meneruskan operasi perniagaan secara ‘curi-curi’ dan terbuka atau melewati tempoh yang dibenarkan.

Begitupun, sebagai seorang Muslim, menjadi kewajipan kita agar mentaati arahan pemerintah yang sah selagi tidak disuruh melakukan maksiat kepada ALLAH.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman, taatilah ALLAH, taatilah rasul dan ulil amri (pemerintah) dari kalangan kamu.” (Surah al-Nisa, ayat 59)

Sabda Rasulullah SAW: “Mendengar dan taat adalah wajib kepada setiap Muslim, baik perkara ia suka atau ia benci selagi tidak disuruh melakukan maksiat. Jika ia disuruh melakukan maksiat, maka tidaklah wajib ia mendengar dan mentaatinya.” (Sahih al-Bukhari)

Dalam hal ini, PKP merupakan arahan pihak pemerintah. Justeru, peniaga yang menjalankan perniagaan secara terbuka semasa PKP ini bererti telah melanggar perintah larangan berniaga yang telah dikeluarkan pihak berkuasa yang bertindak mewakili ulil amri.

Ketahuilah bahawa perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa walaupun hukum berniaga pada asalnya adalah harus.

Hakikatnya, larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa adalah bertujuan menolak kemudaratan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dengan menguatkuasakan PKP.

Tindakan pihak berkuasa itu selaras dengan kaedah fiqh: “Tindakan pemerintah terhadap rakyat adalah terikat dengan maslahah.”

Namun begitu, bagi pihak peniaga pula, mereka ingin mendapatkan keuntungan melalui perniagaan tersebut. Jika perbuatannya tidak dihalang, ia akan membawa kemudaratan yang besar iaitu menularkan Covid-19.

Sedangkan prinsip umum fiqh menyebut: “Menolak kemudaratan adalah diutamakan daripada mengambil manfaat.”

Jual beli ketika PKP
MELANGGAR perintah larangan berjual beli barangan tertentu sewajtu PKP, hukumnya adalah haram dan berdosa meskipun jual beli itu sah berdasarkan rukun dan syarat yang sempurna.

Dari segi status hukum transaksi tersebut, ia sah jika peniaga itu memenuhi semua rukun dan syarat jual beli.

Andai kata syarat dan rukun jual beli itu tidak dipenuhi, maka jual beli berkenaan dikira tidak sah. Contohnya seperti jual beli arak, bangkai atau berunsur riba.

Hukum haram tetapi sah berjual beli sewaktu perintah larangan PKP itu adalah berdasarkan kepada hukum qiyas. Hukum itu diqiyaskan kepada hukum haram menjalankan perniagaan selepas azan kedua pada hari Jumaat sehinggalah selesai solat Jumaat.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kepada mengingati ALLAH dan tinggallah berjual beli itu. Itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 9)

Imam Ibnu Arabi ketika menafsirkan ayat tersebut menyatakan, ulama ijmak tidak ada khilaf mengenai status haram berjual beli ketika itu. Beliau juga menyebut bahawa antara ulama yang menyatakan urus niaga perlu dibubarkan ialah Imam Abu Hanifah. Namun demikian, kata beliau, Imam Syafie berpendapat, jual beli itu tetap sah dan tidak perlu dibubarkan.

Kesimpulannya, melanggar perintah larangan berjual beli barangan tertentu sewaktu PKP, hukumnya adalah haram dan berdosa meskipun jual beli itu sah berdasarkan rukun dan syarat yang sempurna.

Oleh itu, marilah kita mematuhi semua arahan pihak berkuasa agar urus niaga kita diberkati dan kita dihindarkan daripada wabak ini.

(Sumber: Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak)

Foto: Freepik & Unsplash