JIKA dahulu, lukisan mural hanya popular di sekolah. Rata-rata lukisan itu dihasilkan secara kreatif oleh guru dan pelajar.

Namun, kini lukisan mural boleh dilihat di banyak tempat termasuk bangunan-bangunan yang gah. Ia bukan sahaja mengindahkan pemandangan kepada sesiapa yang melihatnya.

Bahkan, lukisan mural berkenaan berupaya mengekspresi dan menonjolkan karya seni seseorang.

Begitupun, bukan semua benda kita boleh lukis pada dinding. Apatah lagi jika gambar yang dilukiskan itu menyentuh sensitiviti agama atau bangsa.

Begitu juga dalam agama Islam. Ada bentuk-bentuk lukisan tertentu yang dilarang.

Ia sebagaimana yang diterangkan oleh Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa dan Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Jelas pendakwah itu, kebanyakan ulama tidak membenarkan umat Islam melukis gambar-gambar makhluk yang hidup. Ia kerana lukisan berunsur itu dijanjikan azab kepada pelakunya di akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melukis atau mengukir gambar, sesungguhnya ALLAH akan mengazabnya sehingga (jika disuruh) meniupkan roh ke dalam gambar tersebut, dia tidak mampu berbuat demikian selama-lamanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelas bahawa melukis gambar makhluk bernyawa adalah dilarang sama sekali, terang beliau.

“Namun, para ulama membenarkan melukis semua jenis pemandangan alam yang indah,” katanya ketika menjelaskan tentang lukisan mural manusia di Instagram miliknya.

Justeru, beliau mencadangkan agar masyarakat memberi ruang kepada anak muda untuk melukis pemandangan alam yang indah.

“(Ia) lebih baik daripada mereka melukis gambar manusia,” jelas beliau.

Lukisan mural manusia
PENJELASAN Dr Mohd Izhar Ariff tentang lukisan mural manusia di Instagram miliknya baru-baru ini.

Bagaimana pula dengan lukisan berbentuk animasi sepertimana beberapa karakter kartun yang popular dalam kalangan kanak-kanak pada masa kini?

Iklan

Dalam kes seperti itu, kata Dr Mohd Izhar Ariff, ia tiada masalah untuk kanak-kanak.

“Memang ada ulama membenarkan berdasarkan hadis lain,” jelas beliau.

Seperkara, beliau mengingatkan, lukisan mural tidak mempunyai persamaan dengan foto yang dirakam menerusi kamera.

“Fatwa al-Azhar sudah keluar yang (mana) ia tidak sama. Melukis perlukan masa dan kos cat dan lain-lain, manakala gambar kamera tak perlu kepada usaha tangan, cat dan kos yang tinggi untuk hasilkan semua itu,” ujar beliau.

Iklan

Justeru, elakkanlah diri kita daripada melukis manusia atau makhluk bernyawa yang lain tidak kiralah sama ada untuk mural atau lukisan di mana-mana tempat pun.

Sebaiknya, lukislah benda lain seperti pemandangan atau tumbuhan agar terkeluar daripada khilaf.

Sumber: Instagram mohdizharariff_official