SESETENGAH pasar raya atau kedai serbaneka menjual minuman keras selain barangan runcit dan keperluan yang lain.

Begitupun, ada segelintir orang Islam yang bekerja di premis perniagaan berkenaan.

Mereka beranggapan tidak mengapa kerja di tempat sebegitu atas alasan “kerja hanya untuk mencari rezeki”.

Namun begitu, tidak kurang juga yang mengatakan haram makan gaji di tempat sedemikian.

Apakah pandangan Islam tentang perkara itu? Bolehkah orang Islam bekerja di premis perniagaan yang menjual barang halal dan minuman keras?

Sebagai seorang Mukmin, seharusnya kita bertakwa kepada ALLAH SWT dengan menghindari diri daripada apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah, ayat 20)

Dalam mentafsirkan ayat berkenaan, Imam Ibnu Kathir menyebut satu riwayat daripada Abdurrahim bin Ghanm RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, sesungguhnya kamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.” (Riwayat Ahmad)

Ia dikuatkan lagi dengan hadis Anas bin Malik RA:

“Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Akan tetapi, jika pendapatan seseorang itu bercampur antara yang haram dan halal, maka tidak haram apabila kita menerima harta yang diberikan kerana tidak yakin pemberian itu bersumberkan yang haram.

Justeru, bagi mereka yang bekerja di premis yang menjual barangan halal dan minuman keras dan seumpamanya, hukum pendapatan yang diperoleh hasil daripada jualan produk-produk berkenaan adalah makruh.

Iklan

Begitupun, seandainya seorang pekerja itu terlibat dengan jual beli arak contohnya di kaunter, maka hukumnya adalah haram sekalipun dengan martabat yang lebih rendah daripada minum minuman keras berkenaan.

Ia sebagaimana pandangan Syeikh Mulla Ali al-Qari menukilkannya dalam al-Mirqah Sharh al-Misykah ketika menghuraikan hadis riba: “Mereka sama dari sudut mendapat dosa, tetapi berbeza daripada segi tingkatannya.”

Sebaiknya, berusahalah agar memisahkan kaunter barangan yang halal dengan haram atau paling tidak pun mengikut pekerja.

Iklan

Menjadi tanggungjawab majikan yang prihatin agar menjaga kebajikan agama pekerja yang Muslim.

Apa pun, sebagai umat Islam, carilah pekerjaan yang tiada sebarang syubhah kerana ia bersifat lebih aman dan tenang jiwa kita.

Ketenangan itu bukan untuk orang lain sahaja, tetapi apa yang penting adalah diri kita sendiri kerana bebas dibelenggu daripada perkara yang meragukan.

(Sumber: Portal rasmi kemusykilan agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)