MENJADI adat kebanyakan masyarakat kita untuk mengikat tali pertunangan sebelum seorang lelaki dan wanita itu meneruskan fasa seterusnya iaitu perkahwinan.

Pada ketika itu, lazimnya pihak lelaki dan wanita saling bertukar-tukar hadiah pemberian berupa makanan dan barangan lain.

Kepada kaum Hawa pula, mereka akan menerima sebentuk cincin. Ia sebagai tanda wanita itu sudah ‘diikat’ dan bakal menjadi suri kepada tunangnya.

Sepanjang fasa bertunang inilah masalah kita mengenali lebih dekat hati budi pasangan masing-masing. Kadangkala ada kes yang pasangan yang sudah lama berkawan, tetapi akhirnya jodohnya tidak kuat apabila memilih jalan untuk memutuskan pertunangan.

Andai itulah yang berlaku, adakah pemberian hadiah ketika majlis pertunangan itu seperti cincin dan barang-barang lain wajib dipulangkan semula?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi perkongsian melalui Instagram miliknya baru-baru ini menjelaskan, haram meminta semula hadiah dan pemberian yang telah diberikan kepada seseorang sama ada disebabkan pertunangan atau selainnya.

Jelas beliau, pengecualian diberikan jika ia melibatkan pemberian daripada seorang bapa kepada anaknya sahaja.

Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak halal bagi seseorang bahawa memberi ia satu pemberian kemudian dia mengambil kembali pemberiannya itu melainkan bapa pada pemberian yang telah ia berikan kepada anaknya.” (Riwayat Abu Daud & at-Tirmizi)

Pemberian hadiah putus tunangMenyokong lagi hujahnya, Ustaz Azhar Idrus turut menukilkan pandangan Dr Wahbah Zuhaili tentang pemberian ketika pertunangan.

Ujar Dr Wahbah: “Dan pendapat ulama Mazhab Syafie dan Hambali sungguhnya tidak boleh bagi yang meminang meminta kembali dengan barang yang telah diberikannya sama ada barang tersebut masih ada atau sudah rosak kerana hadiah itu hukumnya seperti hibah. Dan tidak harus di sisi mereka bagi yang memberi bahawa meminta kembali pada pemberiannya itu kemudian dari diterimanya kecuali bapa pada barang yang diberikan kepada anaknya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Berdasarkan perbahasan itu, jelaslah pengharaman tentang mengambil semula pemberian yang telah diberikan sebelum ini, terang pendakwah itu.

Iklan

Berbeza pula halnya jika kita ada membuat syarat atau perjanjian ketika majlis pertunangan berkenaan antara dua pihak tersebut.

Jelas Ustaz Azhar Idrus, seandainya ada ditetapkan syarat umpamanya pemberian akan dipulangkam kembali jika tidak jadi bernikah dan kedua-dua pihak pula bersetuju, maka harus hukumnya jika barang tadi dituntut semula.

“Begitupun, sebaiknya jika putus tunang, jangan diminta semula apa yang telah diberikan kerana tsabit bagi pemberian tersebut pahala di sisi ALLAH.

“Adapun, jika bapa memberi suatu harta kepada anaknya, maka harus bapa meminta kembali dan wajib anak memulangkan semula,” jelas beliau.

Iklan

Kepada mereka yang sudah bertunang atau bakal bertunang, ambil cakna tentang perkara ini. Jangan pula sampai dilabel buruk siku dan melanggar hukum yang disyariatkan.

Sumber: Instagram uaioriginal

Foto: Freepik & 123rf