BERCAKAP pasal hutang, agak ramai juga yang mengeluh sukar untuk mendapatkan semula wang yang pernah dipinjamkan mereka. Banyak perkongsian warganet di media sosial tentang perkara itu.

Siapa yang tidak geram apabila hutang tidak dilunaskan? Perasaan itu semakin membuak-buak tatkala melihat individu yang diberikan hutang itu hidup mewah.

Namun, apabila hutang tadi ditagih, 1,001 alasan pula yang diberikan. Sudah pelbagai cara dilakukan untuk mendapatkan duit hutang itu semula, tetapi semuanya menunjukkan jalan buntu.

Tambah menyakitkan hati apabila dimaklumkan bahawa individu berkenaan sememangnya suka berhutang dan enggan membayarnya.

Namun, jika dibiarkan begitu sahaja, lama-kelamaan orang lain pula bakal menjadi mangsanya.

Apakah kita dibolehkan untuk memberitahu orang lain tentang sikap individu berkenaan yang gemar berhutang, tetapi tidak mahu membayarnya supaya mereka berhati-hati dan tidak menjadi mangsanya? Bolehkan platform media sosial digunakan untuk tujuan tersebut?

Pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, dalam bab hutang, mereka yang berhutang wajib melunaskannya apabila tiba masa membayarnya.

Bagi mereka yang sengaja enggan membayar hutang berkenaan, tegas beliau, individu berkenaan telah melakukan satu jenayah dan maksiat. Ia dikira makan harta orang secara haram yang tidak diterima amalnya.

“Orang yang mampu membayar hutang tetapi tidak juga membayarnya adalah orang yang zalim,” katanya dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Tokoh pendakwah itu turut mengemukakan sebuah hadis tentang perkara tersebut.

Rasulullah SAW bersabda: “Menunda hutang bagi orang yang mampu adalah zalim.” (Riwayat al-Bukhari)

Iklan

Jelas beliau lagi, orang yang sengaja tidak mahu membayar hutang ini boleh dikenakan hukuman. Malah, dirinya juga hakikatnya telah hilang kehormatannya.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang mana baginda bersabda: “Orang yang menunda-nunda bayar hutang itu hilang kehormatan diri dan boleh dikenakan hukuman.” (Riwayat al-Bukhari)

Oleh sebab itu, kata Ustaz Azhar Idrus, harus hukumnya kita menceritakan perbuatan seseorang yang enggan membayar hutang itu kepada orang lain supaya mereka tidak terpedaya dan dizalimi individu berkenaan.

Ia sebagai langkah berhati-hati ketika bermuamalat atau berurusan dengannya, terang beliau.

“Akan tetapi, tidak lebih daripada perbuatan enggan membayar hutang itu sahaja yang harus diceritakan kepada orang. Adapun perkara lain tidak dibolehkan,” jelasnya.

Beliau turut menukilkan pandangan Syeikh Ibnu Hajar yang menyatakan: “Ertinya diharuskan menyebut antara manusia akan seorang yang tidak mahu bayar hutang dan buruknya muamalat dengannya tetapi tidak harus menceritakan perkara yang lain daripada keduanya.” (Kitab Az-Zawajir)

Iklan

Meskipun diharuskan memberitahu orang akan perbuatan individu tersebut, namun cukuplah sekadar memaklumkan sikapnya yang satu itu iaitu enggan membayar hutang.

Jangan dibuka lagi cerita-cerita lain yang dikhuatiri membuka aib kepada individu berkenaan.

Sumber: Instagram uiaoriginal