PERKEMBANGAN teknologi pada era Revolusi Perindustrian 4.0 telah menjadi faktor meningkatnya jumlah pengikut kumpulan pengganas yang menggunakan nama Gerakan Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) atau turut dikenali sebagai Islamic State of Iraq and the Levant (ISIL) atau al-Dawla al-Islamiya Fi Iraq Wa al-Sham (Daesh).

Sebuah kajian mendedahkan, kaedah yang dilakukan oleh kumpulan pengganas iaitu daripada sekadar sebuah kumpulan kecil kepada pertubuhan yang mempunyai jaringan antarabangsa adalah disebabkan kemajuan teknologi, akses pengangkutan yang lebih mudah dan dana yang banyak.

Kombinasi itu membolehkan kumpulan pengganas membuat perancangan dan strategi yang tersusun bagi menjalankan aktiviti mereka termasuklah dengan menjalankan propaganda dan usaha merekrut anggota baharu atau menarik simpati orang lain.

Pada Mac dan Mei lalu, ISIS telah mengeluarkan video propaganda mengenai pencapaian medan perang mereka di Syria dan Iraq. Selain itu, mereka telah menggunakan video propaganda dan kandungan penulisan berkualiti tinggi yang dihasilkan secara profesional dan kemudian menggunakan mekanisme maklum balas segera dari media sosial untuk menarik perhatian kepada sesiapa sahaja yang suka, ulang kicau, mengulas, berkongsi atau memberikan komen.

Perekrut dalam talian ISIS beroperasi menggunakan sekurang-kurangnya 25 bahasa. Mereka mengenal pasti dan mengetahui keperluan khusus mangsa dengan mewujudkan hubungan akrab dan mahir menjanjikan martabat, status pejuang, cinta atau apa sahaja jika turut serta menyerang atas nama ISIS dan melakukan apa sahaja untuk perjuangan mereka.

Strategi merekrut pengikut dengan cara itu dapat menarik sejumlah besar pejuang pengganas asing hanya menggunakan kaedah dalam talian, tanpa merekrut secara bersemuka.

Sehingga kini, lebih daripada 45,000 pejuang pengganas warga asing telah melakukan perjalanan dari seluruh dunia untuk bertempur atau tinggal di bawah pemerintahan ISIS di Syria dan Iraq.

Jangan mudah terpengaruh

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa fahaman, ajaran dan ideologi ISIS adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ).

Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan berpegang dengan fahaman, ajaran dan ideologi militan tersebut.

Media sosial
UMAT Islam diingatkan agar mendalami konsep jihad sebenar dan tidak terpesong daripada landasan agama suci ini. -Gambar hiasan

Begitu juga dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Kebanyakan para ulama ASWJ di seluruh dunia telah mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan kumpulan ISIS.

Ini kerana ideologi keganasan dan sikap mereka yang mengkafirkan dan menghalalkan darah orang yang tidak sehaluan dengan mereka.

Mereka membunuh rakyat tidak berdosa dan menghalau orang bukan Islam dengan penuh kezaliman. Para ulama ASWJ di seluruh dunia juga melabelkan ISIS sebagai Khawarij pada zaman moden.

ISIS juga dilihat memanipulasi fahaman dan ideologi salah dengan menggunakan nama Islam dan telah memfitnah serta membusukkan Islam. Nama kumpulan yang digunakan tidak menggambarkan Islam yang sebenar.

Sehubungan itu, sebagai umat Islam sejati, kita perlu membawa kesedaran kepada orang sekeliling bahawa Islam tidak pernah membawa prinsip keganasan dan tidak pernah menggalakkan keganasan.

Sekiranya umat Islam mahu menggunakan konsep jihad di medan perang, maksud sebenarnya perlu difahami dan bukan dengan semangat ekstremis yang melampau dan ganas.

Jihad sebenar dalam Islam mempunyai prinsip yang amat ketat. Jihad bukan peperangan agresif untuk membunuh orang kafir. Jihad juga bukan memerangi orang bukan Islam yang tidak mahu menerima Islam.

Kekeliruan dan salah faham terhadap konsep jihad yang sebenar boleh menyebabkan hirabah iaitu aksi jenayah yang dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan orang bersenjata untuk mencipta ketakutan, membunuh atau menumpahkan darah, merampas atau merosak harta benda, tanam-tanaman, haiwan ternakan dan sebagainya.

Iklan

Ini bukan sahaja memberi kesan kepada salah faham orang bukan Islam dan negara Barat yang memandang Islam sebagai pengganas, bahkan ia akan memberi cabaran besar kepada pendakwah dan pemerintah Islam menjalankan kerja-kerja dakwah terhadap orang bukan Islam.

Kita perlu sama-sama memantau aktiviti ahli keluarga melalui media sosial dan perlu mengambil berat berhubung tingkah laku, bahan bacaan dan rakan maya mereka. Jika perlu, pantau Instagram, Twitter, Facebook dan saluran YouTube yang ahli keluarga anda ikuti.

Sayang pada agama bukan dengan cara membunuh dan memerangi orang yang tidak bersalah.

Jika mahu mengetahui cara dan kaedah untuk sayang kepada agama Islam, kita perlu mendapatkan penjelasan jelas secara bersemuka dengan guru atau orang alim yang adil dan diperakui akidahnya sebagai ASWJ.

Iklan

Jika kita tidak dapat memulakan langkah awal dengan memantau dan memerhati tingkah laku ahli keluarga di media sosial, bimbang mereka akan terjebak dan mudah terpengaruh dengan perekrut ISIS yang tidak pernah berehat merekrut pengikut baharu.

Walaupun negara ini mempunyai undang-undang untuk mengekang aktiviti keganasan, tanggungjawab kita adalah memastikan tiada ahli keluarga direkrut di alam maya oleh pengganas di luar sana.

Artikel ini ditulis oleh Majlis Agama Islam Selangor

Foto: 123rf