HATI mudah tersentuh tatkala melihat kesusahan dan kepayahan yang dialami oleh insan yang kurang bernasib baik akibat kesempitan hidup.

Ia membibitkan rasa keinsafan pada diri. Sesungguhnya, hidup ini merupakan satu perjalanan menuju ALLAH. Itulah jalan kemenangan kerana apa jua yang dilakukan tetap akan kembali kepada Sang Pencipta.

Itulah perasaan yang dirasai oleh sukarelawan misi amal daripada Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor setiap kali menyampaikan sumbangan kepada pihak berkaitan.

Terletak di Desa Putra Sungai Merab, Kajang, Selangor itu dan ditubuhkan sejak bulan Mei tahun lalu, organisasi itu merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang sangat aktif menjalankan misi amal bantuan kemanusiaan.

Jurucakapnya yang juga individu pencetus awal misi amal (MA), Ustazah Norhayati Sulaiman berkata, meskipun pertubuhan itu baru bertapak, namun pihaknya telah menjalankan pelbagai aktiviti dan program bantuan kemanusiaan dengan lancar.

“Kami mencapai persetujuan yang mana setiap ahli akan dikenakan yuran bulanan sebanyak RM10. Semuanya digunakan untuk membeli barangan keperluan asas termasuk wang tunai untuk diagihkan.

“Kami dapat bersama-sama merasai kemanisan beramal. Andai cuma diri kita seorang sahaja menyumbang jumlah yang banyak setiap bulan, tetapi tidak pada yang lain, sudah pasti agak mustahil untuk menggerakkan misi amal tersebut,” katanya.

Perjuangan menuju ALLAH
SEJAK ditubuhkan pada tahun lalu, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor telah menyantuni kira-kira 5,000 penerima.

Ustazah Norhayati menambah, sehingga kini, pihaknya telah menyantuni seramai 5,000 penerima menerusi misi amal yang dilaksanakan di sekitar Selangor, Tawau, Sabah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Langkawi, Kedah dan Pahang.

Selain misi bantuan, jelas beliau lagi, pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti lain seperti ziarah membersihkan kawasan persekitaran rumah, lawatan rumah kebajikan warga emas yang mana ahli pertubuhan berkenaan akan memasak juadah dan menjamu mereka dan menyampaikan bantuan.

“Bukan itu sahaja, kami juga memberi sumbangan tajaan yuran bulanan pelajar tahfiz yatim, sumbangan kepada surau-surau terpilih termasuklah ziarah di maahad tahfiz dan tokoh ilmuan Islam.

Iklan

“Pada malam Jumaat setiap minggu pula, kami akan mengadakan majlis tahlil yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial rasmi kami. Ia diketuai oleh qari Malaysia, Ustaz Wan Aiminuddin Hilmi serta beberapa program lain,” katanya.

Bagi menambah jumlah tabungan, ujar beliau, pertubuhan itu bergiat aktif dalam bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman kebun yang diberikan nama Urban Farming bermula pada Jun lalu.

“Alhamdulillah sekarang ini sudah mula menuaikan hasilnya,” katanya.

Iklan

Begitu pun, pihaknya tidak menolak sekiranya ada sesiapa yang ingin menghulur bantuan bagi tujuan kesinambungan aktiviti amal mereka.

***Artikel & foto disumbangkan oleh Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah