MACAM-MACAM ragam dan sikap manusia yang kita boleh nampak. Ada orang yang baik dan pemurah, tidak kurang juga yang bersifat kedekut walaupun baik.

Macam mana orang baik, tapi dikatakan kedekut tu? Bunyinya memang pelik, tapi hakikatnya memang ada orang bersifat macam tu.

Contoh paling mudah yang mungkin kita tak perasan, kita pergi ke rumah seseorang beraya misalnya, lepas tu bila minta password wifi, pelbagai alasan diberikan seolah-olah tak nak kita gunakan wifi dia.

Walhal dari sisi lain, individu itu memang baik, suka membantu orang dan sebagainya. Tapi bab wifi boleh pula dia berkira.

Walaupun perkara tu nampak remeh, tapi perilaku itu pun termasuk dalam kategori kedekut juga.

Sebenarnya, semua manusia memang ada sikap ini. Cuma antara sedar dengan tak je kita ada sifat kedekut dalam diri.

Demikian fakta yang dikongsikan oleh pendakwah Ustaz Elyas Ismail menerusi Facebook Live di laman sosial miliknya baru-baru ini.

USTAZ ELYAS

Firman ALLAH SWT: “…Sifat bakhil kedekut tak suka beri untuk tolak ansur itu adalah tabiat manusia…” (Surah al-Nisa’, ayat 128)

Jelas Ustas Elyas, ada tiga tanda-tanda nak tahu bagaimana seseorang itu kedekut iaitu;

1. Dirinya tak yakin pada rezeki ALLAH

Ya, orang kedekut ini tak yakin pada rezeki ALLAH. Andai seseorang itu pemurah dengan sedekah, tolong orang, share ilmu dan kemahiran yang ada, dia yakin ALLAH akan berikan rezeki lagi banyak lepas ini.

Bahkan, ALLAH menjanjikan rezeki yang berlipat ganda dalam pelbagai bentuk jika seseorang itu bersedekah dan berinfak sama ada dalam keadaan kita senang atau susah.

2. Anggap harta itu hak mutlak dirinya

Golongan yang bakhil ini akan anggap segala apa yang diperoleh adalah atas usahanya sendiri. Langsung tak anggap semua itu datang daripada ALLAH.

“Aku kerja penat-penat, takkan nak sedekahkah kat orang pula.”

Itu ayat yang sering kita dengar, tapi tolonglah jangan sesekali fikir begini. Hakikatnya segala apa yang dikurniakan kepada kita ini adalah milik ALLAH dan boleh ditarik pada bila-bila masa pun. Kita ni cuma sekadar pengurus harta saja.

3. Orang kedekut hidupnya tak akan tenang

Mungkin riak wajahnya nampak okey seperti tiada masalah, tapi dalam hatinya siapa yang tahu? Sebenarnya orang yang kedekut ini hidupnya tak akan tenang.

Dalam Surah al-Ma’arij, ayat 19 hingga 21 mengingatkan bahawa manusia bersifat gelisah dan kedekut bila ada masalah dalam hidupnya.

(Artikel berkaitan: Perasan hebat, lupa diri tujuan hidup di dunia ni…tunggulah balasan Tuhan!)

BERBUAT baiklah kepada orang lain dan jangan bersifat kedekut kerana ALLAH menjanjikan balasan yang sama kepada mereka yang berbuat perkara itu kepada yang lain.

Kedekut itu sama dengan berjimat cermat ke?

Ramai yang menganggap begitu, tapi kata Ustaz Elyas, sebenarnya kedua-dua sikap ini langsung tak sama. Sebaiknya, betulkan persepsi yang salah ini.

“Jangan salah faham pula. Lawan kepada sifat berjimat cermat ini adalah membazir. Membazirkan amalan syaitan.

Iklan

“(Tanda) Orang yang berjimat cermat ini berbelanja ikut kemampuan, mengutamakan yang hak dulu dan fikirkan untuk simpanan masa depan,” jelas beliau.

Ustaz Elyas turut mengingatkan agar kita menjauhkan diri daripada sifat kedekut ini. Bayangkan ALLAH akan membalas perbuatan buruk ini bukan saja di akhirat, tapi juga di dunia lagi.

Balasannya untuk orang bersifat kedekut di dunia begitu dahsyat iaitu:

1. Hilang kebahagiaan dan keceriaan dalam hidup

Semua orang nak hidup ceria, gembira, seronok dan hidup sentiasa dikelilingi kawan-kawan yang sentiasa support dan menjadi ‘bahu’ untuk kita. Tapi kalau dah kedekut, siapa nak kawan dengan kita?

Ingatlah, life is about networking (hidup adalah jaringan perhubungan). Hidup orang kedekut ni tak akan ke mana.

Sebaliknya, buatlah kebaikan kerana ulama berpesan: “Balasan daripada kebaikan adalah kebaikan selepasnya.”

2. Hidup tak pernah rasa cukup

Macam manalah tak rasa begitu kalau setiap kali nampak orang minta sedekah je, dia sudah anggap ia macam satu ancaman buatnya.

3. Didoakan kecelakaan oleh malaikat

Perkara ini ada dinyatakan dalam hadis. Rasulullah SAW bersabda: “Tiada satu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa, Ya ALLAH! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa, Ya ALLAH! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ingat bahawa yang berdoa itu malaikat, bukan manusia. Jadi berhati-hatilah.

Justeru, rasanya tiada sebab untuk kita kedekut dengan rezeki yang dikurniakan ALLAH kepada kita.

Iklan

Janganlah pernah ada rasa kedekut kerana kelak kita tak tahu siapa yang akan menolong kita nanti, lebih-lebih lagi di akhirat.

Satu lagi, janganlah kita kedekut dengan ALLAH. Walhal ALLAH tak pernah langsung kedekut dan berkira dengan kita. Ingatlah, udara yang kita hirup ini adalah kurniaan ALLAH SWT. Malah, ada banyak nikmat lain yang kita kecapi kini datangnya daripada YANG MAHA ESA.

Sumber: Facebook Ustaz Elyas Ismail