KEBANYAKAN ibu bapa hari ini berkerjaya. Justeru, masa mereka dengan anak-anak begitu terhad.

Akan tetapi, tanggungjawab mereka dalam memberi didikan kepada anak-anak tidak boleh dibiarkan begitu sahaja biarpun sibuk dengan kerja masing-masing.

Paling penting, tugas berkenaan tidak boleh diserahkan kepada guru semata-mata.

Ketahuilah bahawa Islam meletakkan kedudukan ibu bapa lebih tinggi daripada guru dalam urusan mendidik anak-anak. Ini kerana ibu bapa atau penjaga merupakan orang pertama sekali yang bertanggungjawab mendidik zuriat atau keturunan mereka.

Ia bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW yang mana baginda bersabda: “Semua kanak-kanak dilahirkan suci, tetapi ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat al-Bukhari)

Pendakwah, Senator Ustazah Asmak Husin berkata, pendidikan terbahagi kepada dua iaitu formal dan tidak formal. Dalam hal itu, ibu bapa memainkan peranan dalam pendidikan tidak formal yang dipengaruhi oleh persekitaran.

Tanggungjawab ibu bapa
USTAZAH ASMAK

“Tugas ibu bapa membentuk peribadi, pemikiran dan hala tuju anak mereka. Begitupun, kebanyakan ibu bapa pada hari ini hanya ‘menyempitkan’ peranan mereka dengan membesarkan anak, memberikan kesenangan material, pastikan anak bersekolah dan pergi kerja selainnya.

“Sedangkan, dunia sekelilingnya adalah lebih besar. Ini menyebabkan ibu bapa tidak mendidik anak memahami pendidikan tidak formal. Mereka lebih (fokus) kepada keperluan anak-anak, selebihnya hala tuju anak mereka pula diserahkan (tanggungjawab itu) kepada guru,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Hakikatnya, tambah Ustazah Asmak, tugas guru hanyalah memberikan pendidikan formal yang hanya melibatkan pembentukan disiplin ilmu kepada murid mereka.

“Guru bertanggungjawab menghasilkan orang yang berilmu dalam pelbagai bidang,” katanya.

Dalam pada itu, Ustazah Asmak turut menegur sikap sebilangan ibu bapa dan guru yang seolah-olah melepaskan amarah ketika mendenda atau menghukum anak-anak atau pelajar masing-masing.

Iklan

Islam sudah menyediakan garis panduan yang berstruktur dalam mendenda iaitu memberikan hukuman berdasarkan perkembangan dan jenis sikap mereka, terang beliau.

“Sebab itu, ibu bapa dan guru harus mengenali watak dan karakter anak berkenaan kerana setiap daripada mereka adalah berbeza. Kita ambil konsep Nabi Muhammad apabila baginda berdakwah iaitu menggunakan kaedah basyir dan nazir.

Basyir (ialah berdakwah) dalam bentuk memberikan berita gembira atau senang hati contohnya (berbuat baik) nanti dapat balasan yang bagus. Jika kaedah itu tidak sesuai, baginda menggunakan konsep berita nazir iaitu berita yang menakutkan seperti ceritakan tentang dosa dan neraka (untuk mendidik),” jelas beliau.

Ujar beliau, kedua-dua kaedah berkenaan perlu ada keseimbangan untuk memahami cara yang terbaik dalam mendidik anak-anak.

Iklan
Tanggungjawab ibu bapa
KEDUDUKAN ibu bapa lebih tinggi dalam urusan mendidik anak-anak berbanding guru. -Gambar hiasan

Beliau turut berkongsi panduan dalam mengenakan denda atau menegur anak-anak. Jelasnya, pada peringkat awal kanak-kanak, teguran dilakukan mestilah dalam bentuk yang difahami oleh mereka kerana kanak-kanak secara fitrahnya suka bermain.

“Apabila anak tadi mencapai usia 10 tahun yang mana mereka sudah faham, Nabi Muhammad SAW suruh kita rotan sebagai mendidik mereka. Ini kerana pada peringkat usia 10, 11 atau 12 tahun anak-anak dalam proses membetulkan pemikiran mereka, di samping dipengaruhi oleh keseronokan remaja.

“Selepas usia itu, ibu bapa perlu menjadi sahabat kepada anak-anak. Perlu jaga air muka mereka apabila marah dan sebagainya. Apa pun, ibu bapa dan guru perlu bijak dalam mengenakan denda. Islam mengajar kita berhikmah. Biarlah denda tadi memberi proses makna yang besar dalam menjalani tanggungjawab kepada ALLAH, manusia dan alam sekitar,” jelas beliau.