SOLAT fardu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim. Tidak kiralah bagaimana keberadaan atau keadaan kita, kewajipan itu tetap perlu ditunaikan walaupun ketika sakit atau sedang bermusafir.

Adakalanya ketika sedang solat, terdengar pula suara ibu melaung memanggil nama kita.

Ada setengah pendapat menyatakan, kita wajib menyahutnya. Pendapat lain pula menyatakan bahawa teruskan sahaja solat berkenaan.

Jika situasi itu berlaku kepada kita, ramai yang keliru tentang hal ini. Ia seolah-olah kita berada di persimpangan dilema.

Masakan tidak, solat itu merupakan satu kewajipan, manakala berbuat baik kepada ibu bapa juga adalah tuntutan agama.

Apa yang perlu kita lakukan jika ibu memanggil kita ketika sedang menunaikan solat fardu?

Menurut pendakwah Ustaz Azhar Idrus, apabila seseorang itu sudah mula menunaikan solat yang fardu, maka haram untuk kita berhenti.

Namun begitu, katanya, pengecualian diberikan sekiranya ada darurat.

Iklan

“Ini kerana tiap-tiap amalan yang wajib, maka tidak harus kita memutuskannya melainkan kerana darurah sahaja.

“Adapun jika ia melibatkan solat sunat, maka tidak haram berhenti, tetapi makruh hukumnya berhenti jika tiada darurah dan harus berhenti jika dipanggil oleh ibu bapa,” terang beliau di Instagram miliknya baru-baru ini.

Dalam kitab Fiqhul Ibadah As-Syafie, ada dinukilkan bahawa: “Dan haram atas seorang yang telah masuk ke dalam sembahyang yang fardu memutuskannya kecuali kerana darurah seperti menyelamatkan nyawa kanak-kanak atau mencegah daripada berlakunya kemudaratan yang sangat seperti kebakaran. Dan harus memutuskan sembahyang yang sunat kerana menjawab panggilan dua ibu bapa jika mereka tidak tahu dia sedang sembahyang dan kesukaran atasnya kalau tidak dijawab.”

Iklan

Melihat kepada ungkapan berkenaan, jelas Ustaz Azhar Idrus, sesiapa yang sedang menunaikan solat fardu ketika ibu bapa memanggilnya, maka tidak wajib dia menjawabnya atau berhenti daripada solat.

“Andai kata berlaku darurat seperti ibu bapa yang memanggil itu sedang kesakitan atau rebah atau seumpamanya, maka jawablah panggilan tadi.

“Begitupun, seandainya ketika itu kita sedang menunaikan solat sunat pula, tidak wajib untuk menjawab panggilan ibu bapanya. Sekiranya seruan itu dijawab, maka hukumnya adalah harus, tetapi solat tadi batal,” jelasnya.

Ingatlah, utamakan solat dahulu dalam apa-apa perkara yang dilakukan. Insya-ALLAH segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-NYA.

Sumber: Instagram uaioriginal