Oleh NURULFATIHA MUAH

KOMENTAR PEGUAM
ABDULLAH ANUAR SAHRI
Peguam Syarie

 

Baca cerita asal ini dulu Suami ‘hilang’ lebih 20 tahun, tiada khabar berita, apalagi beri nafkah. Akhirnya isteri…

KES yang berlaku kepada Salamah Tukiran dan Harun Abdullah (kedua-duanya bukan nama sebenar) membuktikan masih ada lagi masyarakat yang tidak tahu tentang tanggungjawab suami isteri dalam perkahwinan.

Peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri berkata, sedar atau tidak, sikap itu menyebabkan berlakunya perlanggaran hukum syarak dari segi pengabaian tanggungjawab dalam perkahwinan.

“Sekiranya dibiarkan berlarutan, maka kesalahan demi kesalahan akan terus bermaharajalela sehingga menyebabkan penganiayaan dalam rumah tangga,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Seandainya Salamah terus berdiam diri tanpa mengadu di mahkamah syariah untuk memohon perceraian menerusi fasakh atau taklik, Abdullah Anuar dari Tetuan Anuar Taufeq Junid Associates menjelaskan, ikatan perkahwinan wanita itu akan kekal walaupun beliau diistilahkan ibarat digantung tidak bertali.

“Ini kerana suatu ikatan perkahwinan tidak akan terlerai dengan sendirinya kecuali dengan kematian. Maka, Salamah perlu mengambil langkah untuk membubarkan perkahwinan di mahkamah.

Iklan

“Ketahuilah, hanya mahkamah atau hakim syariah sahaja yang berhak membubarkan perkahwinan beliau. Jika tidak, Salamah akan kekal statusnya sebagai isteri orang walaupun sedar dirinya seolah digantung tak bertali,” ujarnya.Mengulas lanjut tentang fasakh, pengamal undang-undang syariah itu menjelaskan, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan setelah isteri meminta cerai melalui pengadil (hakim)” ujarnya.

Katanya, fasakh hanya boleh dilakukan oleh pihak berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu. Antaranya disebabkan kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati ataupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa fasakh adalah jalan terakhir yang terpaksa dipilih oleh seseorang isteri sekiranya tidak lagi dapat meneruskan kehidupan bersama dengan suami.

Iklan

 

“Seperkara lagi, terdapat perbezaan antara fasakh dan talak. Fasakh adalah pembatalan akad daripada asas dan menghilangkan sifat halal yang menjadi kesan ke atasnya. Ia berlaku sama ada dengan sebab hal-hal mendatang ke atas akad yang menafikan perkahwinan atau perkara-perkara berhubung kepada akad yang menyebabkan ia tidak lazim daripada hukum asal. Lagi satu, fasakh tidak mengurangkan talak yang dimiliki oleh suami.

Sementelah, talak pula adalah menamatkan akad dan sifat halal masih kekal kecuali setelah talak ba’in (talak tiga). Talak tidak berlaku kecuali berdasarkan akad yang sahih dan lazim,” katanya.